(foto: Greenpeace)

oleh Sachin Nair

Sudah berbulan-bulan lamanya PSM, pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak kerajaan supaya mengambil tindakan yang lebih konkrit bagi menangani punca utama jerebu rentas sempadan, termasuk melaksanakan syor-syor yang terkandung dalam Laporan SUHAKAM bertajuk “Silent Enemy”. Hari demi hari, udara yang kita nafas menjadi semakin tercemar dan toksik. Apakah respons kerajaan terhadap perkara ini?

Menurut Perdana Menteri, kerajaan telah melakukan segala yang mampu dan menolak kemungkinan untuk mengambil langkah yang lebih tegas terhadap Indonesia. Respons ini benar-benar mengecewakan dan menyedihkan. Kerajaan secara efektif telah melucutkan hak kita untuk menikmati udara bersih. Kerajaan jelas tidak bersedia mengambil langkah-langkah yang perlu bagi menangani punca utama jerebu rentas sempadan.

Bukan sahaja kerajaan Malaysia enggan mengambil sebarang tindakan—sama ada melalui saluran perundangan mahupun diplomatik—terhadap kerajaan Indonesia, malah kerajaan juga gagal memastikan syarikat-syarikat Malaysia yang menyumbang kepada kebakaran hutan di Indonesia dipertanggungjawabkan. Sementara Agensi Alam Sekitar Negara (National Environmental Agency) Singapura baru-baru ini mengeluarkan notis kepada 10 buah syarikat di Singapura di bawah Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan negara itu, kerajaan Malaysia pula sekadar mempertimbangkan untuk menggubal undang-undang serupa, tanpa sebarang rancangan konkrit untuk melaksanakannya dalam masa terdekat.

Penggubalan Akta Udara Bersih bagi menghukum individu-individu dan syarikat-syarikat yang bertanggungjawab terhadap jerebu, sama ada di dalam negara mahupun yang merentasi sempadan, sudah lama tertangguh. Hakikat bahawa kerajaan masih lagi mempertimbangkan keperluan untuk menggubal undang-undang ini menunjukkan sikap tidak peduli mereka terhadap krisis alam sekitar ini. Jika Singapura mampu menggubal undang-undang sedemikian, tiada alasan mengapa Malaysia tidak boleh melakukan perkara yang sama.

Dorongan untuk bertindak kini menjadi lebih kuat memandangkan kita sedia maklum bahawa terdapat syarikat-syarikat Malaysia yang mempunyai kaitan dengan kebakaran hutan di Indonesia. Perkara ini disokong oleh penemuan terkini daripada Greenpeace Indonesia dan Malaysia. Penemuan tersebut sekali gus menyangkal kenyataan (kosong) Menteri Komunikasi pada 16 Oktober 2026, yang mendakwa bahawa kebakaran di Indonesia berlaku di luar kawasan konsesi syarikat-syarikat kelapa sawit Malaysia yang beroperasi di sana.[6]

Tindakan (atau ketiadaan tindakan) kerajaan Malaysia sejak beberapa bulan kebelakangan ini menunjukkan bahawa mereka sememangnya tidak berhasrat untuk menangani punca utama pencemaran jerebu rentas sempadan. Mereka gagal melihat jerebu yang berterusan dan semakin buruk ini sebagai apa yang sebenarnya berlaku: satu krisis alam sekitar. Tindakan mereka yang berdiam diri hanya memburukkan lagi krisis ini.

PSM sekali lagi mendesak kerajaan Malaysia untuk melaksanakan tanggungjawabnya dengan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi menangani jerebu rentas sempadan secara tuntas.

==========

Sachin Nair ialah Penyelaras Biro Alam Sekitar, Krisis Iklim dan Orang Asli (BAKO) PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *