
Pada ketika parti pelampau kanan “Alternatif untuk Jerman” (AfD) semakin berkembang pengaruhnya dan menang di satu negeri demi satu negeri di bahagian timur Jerman, Die Linke, Parti Kiri di Jerman, muncul sebagai parti terbesar dalam Dewan Perwakilan Berlin.
Pilihan raya Dewan Perwakilan Berlin, iaitu parlimen negeri bagi ibu negara Jerman, telah diadakan pada 20 September 2026. Berlin ialah sebuah bandar raya bebas dan salah sebuah negeri komponen Persekutuan Jerman, maka ia mempunyai sebuah parlimen negeri dan Datuk Bandar Berlin setaraf dengan kedudukan Presiden Menteri (iaitu ketua menteri) bagi sebuah negeri di Jerman. Peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya Dewan Perwakilan Berlin kali ini ialah 74.22%, lebih tinggi berbanding 62.90% pada tahun 2023.

Die Linke berjaya meraih sebanyak 468,060 undi dalam undian mengikut senarai parti, bersamaan 25.65%, membolehkan ia muncul sebagai parti yang terbesar dalam Dewan Perwakilan Berlin. Undian yang diperoleh oleh Die Linke dalam pilihan raya Berlin kali ini telah meningkat sebanyak 13.45 titik peratusan berbanding 12.20% diperolehnya pada tahun 2023. Dengan ini, Die Linke menguasai 47 daripada 158 kerusi dalam Dewan Perwakilan Berlin, bertambah sebanyak 25 kerusi berbanding 22 kerusi yang dimenanginya pada tahun 2023. Ini juga merupakan keputusan yang terbaik bagi Die Linke di Berlin sejak ia ditubuhkan pada tahun 2007.
Kesatuan Demokratik Kristian (CDU), parti konservatif yang memerintah Berlin dengan membentuk kerajaan campuran dengan Parti Demokratik Sosial Jerman (SPD) selepas menjadi parti terbesar dalam Dewan Perwakilan Berlin pada tahun 2023, hanya meraih undian sebanyak 18.77% (merosot sebanyak 9.46 titik peratusan berbanding 28.23% pada tahun 2023) dan memenangi 34 kerusi (kurang 18 kerusi berbanding 52 kerusi pada tahun 2023).
AfD, parti pelampau kanan yang semakin berkembang pengaruhnya malah baru menang di negeri Sachsen-Anhalt dua minggu sebelum ini, muncul sebagai parti ketiga besar dalam Dewan Perwakilan Berlin dengan meraih undian sebanyak 16.26% (+7.17 titik peratusan berbanding tahun 2023) dan menguasai 29 kerusi (bertambah 12 kerusi berbanding tahun 2023).
Dua buah lagi parti yang memenangi kerusi ialah Pakatan 90/Hijau (Grüne) dan SPD, masing-masing meraih 14.29% (-4.10 titik peratusan) dan 12.11% (-6.28 titik peratusan), dan masing-masing memenangi 26 dan 22 kerusi. Perikatan Sahra Wagenknecht (BSW), sebuah parti yang berpecah keluar daripada Die Linke tetapi mengambil pendirian yang lebih konservatif, gagal memenangi kerusi kerana hanya meraih undian 4.72%, iaitu gagal mencapai ambang 5% untuk memperoleh kerusi perwakilan mengikut undang-undang pilihan raya Jerman.
Elif Eralp, pemimpin Die Linke di Berlin, dijangka akan menjadi Datuk Bandar yang pertama bagi parti itu di Bandar Raya Berlin, tetapi pembentukan kerajaan mungkin akan mengambil lebih masa lagi, kerana Die Linke tidak menguasai majoriti dalam Dewan Perwakilan dan ia memerlukan rundingan dengan parti lain. Dengan CDU telah menyatakan bahawa ia tidak akan bekerjasama dengan Die Linke dan tidak mungkin untuk Die Linke duduk dalam kerajaan yang sama dengan pelampau kanan AfD, pembentukan kerajaan campuran “merah-merah-hijau” dengan SPD dan Grüne adalah berkemungkinan. Lebih-lebih lagi, pernah wujudnya kerajaan campuran “merah-merah-hijau” di Berlin sebelum ini, pada tahun 2016-2021, tetapi diterajui oleh SPD pada masa itu. Oleh itu, jika kerajaan campuran “merah-merah-hijau” berjaya ditubuhkan kali ini, sudah pasti ia akan diterajui oleh Die Linke buat pertama kalinya dalam sejarah.

Die Linke telah berkempen dalam pilihan raya Dewan Perwakilan Berlin kali ini dengan mengetengahkan program untuk menjadikan Berlin sebuah bandar raya yang mampu didiami oleh rakyat biasa. Die Linke berkempen untuk menangani masalah sewa rumah yang melampau tinggi, menurunkan tambang pengangkutan awam dan mengatasi gangguan dalam pengurusan sisa.
Walaupun Die Linke memperoleh kemenangan yang memberangsangkan di Berlin, suasana politik di negara Jerman masih amat murung kerana ia sedang dibayangi oleh perluasan pengaruh AfD yang semakin hebat. Selain memenangi pilihan raya di negeri Sachsen-Anhalt (dengan meraih undian 43.79% dan memenangi 39 daripada 83 kerusi parlimen negeri itu), AfD juga muncul sebagai parti terbesar dalam parlimen negeri Mecklenburg-Vorpommern, dengan meraih undian sebanyak 38.22% dan memenangi 32 daripada 71 kerusi parlimen negeri itu.
AfD telah mempermainkan sentimen nasionalis sempit, xenofobia, anti-Islam dan anti-migran untuk meraih sokongan pengundi Jerman, yang kebanyakannya semakin kecewa dengan keadaan ekonomi yang murung di negara itu. Kedua-dua buah negeri Sachsen-Anhalt dan Mecklenburg-Vorpommern terletak di wilayah yang membentuk sebahagian daripada Jerman Timur semasa Perang Dingin, begitu juga dengan Berlin (walaupun sebahagian bandar Berlin ditadbir oleh Jerman Barat semasa Perang Dingin), yang mengalami jurang pembangunan yang lebar berbanding negeri-negeri yang merupakan sebahagian daripada Jerman Barat. Kemenangan AfD di dua buah negeri di wilayah bekas Jerman Timur itu menghantar isyarat yang mencemaskan kepada politik negara Eropah Tengah yang pernah dicengkam oleh pemerintahan Nazi itu.
Walaupun kemenangan Die Linke di Berlin agak memberangsangkan, pencapaiannya dalam pilihan raya kedua-dua negeri Sachsen-Anhalt dan Mecklenburg-Vorpommern agak mengecewakan. Die Linke hanya meraih undian 8.56% (-2.44 titik peratusan berbanding tahun 2021) dan memenangi 8 kerusi (kurang 4 kerusi berbanding tahun 2021) dalam pilihan raya negeri Sachsen-Anhalt; sementara hanya meraih undian 6.54% (-3.23 titik peratusan berbanding tahun 2021) dan memenangi 5 kerusi (kurang 4 kerusi berbanding tahun 2021). Hanya menang di ibu negara adalah tidak mencukupi. Cabaran bagi golongan kiri di Jerman masih hebat di bawah bayangan ancaman kemaraan kuasa pelampau kanan.
