
oleh Gandipan Nantha Gopalan
Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengambil maklum penjelasan EXCO Kesihatan Awam dan Alam Selangor bahawa Selgate Specialist Hospital Rawang (SSHR) sememangnya dikategorikan sebagai hospital swasta, walaupun Selgate Corporation merupakan syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
PSM juga mengambil maklum bahawa Kerajaan Negeri Selangor menganggap Selgate sebagai rakan strategik yang boleh membantu melalui program seperti Saringan Selangor, promosi kesihatan, harga berpatutan dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Namun bagi PSM, persoalan pokok bukan sama ada Selgate boleh menjalankan CSR atau menawarkan diskaun kepada rakyat. Persoalannya adalah mengapa sebuah kerajaan negeri memilih untuk terus mengembangkan sektor hospital swasta ketika sistem kesihatan awam sendiri sedang berdepan dengan tekanan yang serius.
Sumber dan pengaruh yang ada pada Kerajaan Negeri sepatutnya digunakan untuk memperkukuhkan keseluruhan sistem kesihatan awam, melalui penjagaan primer, pencegahan penyakit, kesihatan komuniti, sokongan kepada tenaga kerja kesihatan dan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk meningkatkan kapasiti perkhidmatan awam.
Malaysia sudah berdepan kekurangan doktor pakar dan petugas kesihatan berpengalaman. Hospital baharu tidak semestinya menambah kapasiti sebenar sekiranya ia bergantung kepada tenaga kerja yang sama yang sedang diperlukan oleh hospital awam. Pengembangan sektor swasta boleh meningkatkan persaingan dalam mendapatkan tenaga kesihatan yang terhad dan seterusnya menambahkan tekanan ke atas sektor awam.
Justeru, dalam keadaan sistem kesihatan awam sedang bergelut mendapatkan tenaga kerja dan sumber yang mencukupi, PSM berpandangan bahawa pembukaan atau pengembangan hospital swasta baharu adalah bercanggah dengan kepentingan kesihatan rakyat.
PSM telah mengambil pendirian yang jelas melalui Kempen “Selamatkan Sistem Kesihatan Awam” pada 2025: moratorium lima tahun terhadap hospital swasta baharu, peningkatan peruntukan kesihatan awam dan langkah untuk mengawal pengkomersialan kesihatan. Pendirian ini turut ditegaskan semula dalam Kongres Nasional PSM ke-28 pada 2026.
Maka, PSM tidak boleh menerima hujah bahawa beberapa program CSR atau saringan percuma boleh menjadikan pengembangan hospital swasta selari dengan kepentingan rakyat. Program CSR boleh membantu sebahagian rakyat untuk sementara waktu, tetapi ia tidak mengubah sifat asas hospital tersebut sebagai hospital swasta.
Lebih penting, CSR tidak boleh dijadikan penampan untuk menutup persoalan dasar yang lebih besar: mengapa kerajaan membantu mengembangkan sektor swasta ketika sektor awam sedang memerlukan lebih banyak tenaga, sumber dan sokongan?
PSM menuntut kerajaan negeri Selangor:
- Hentikan sebarang pengembangan atau pembukaan baharu hospital swasta melalui syarikat milik atau dikawal kerajaan negeri.
- Hentikan penggunaan modal dan sumber kerajaan negeri untuk memperbesar kapasiti hospital swasta dan alihkan keutamaan kepada pengukuhan kesihatan awam.
- Kerajaan Negeri perlu mendedahkan jumlah modal dan sumber awam yang digunakan untuk pengembangan perniagaan kesihatan Selgate serta justifikasi mengapa pelaburan tersebut lebih diutamakan berbanding keperluan kesihatan awam.
- Kerajaan Negeri perlu mengadakan perbahasan awam mengenai dasar penglibatan syarikat milik kerajaan dalam sektor kesihatan dan menghentikan pengembangan model kesihatan yang berasaskan keuntungan.
PSM ingin menegaskan: kami tidak menentang pembinaan kapasiti kesihatan. Kami menentang penambahan kapasiti melalui pengembangan sektor swasta ketika sistem kesihatan awam sedang bergelut.
Kerajaan Negeri Selangor mungkin tidak mempunyai kuasa untuk membina hospital KKM. Tetapi kerajaan negeri mempunyai pilihan tentang ke mana modal dan pengaruh negeri disalurkan. Dalam pilihan tersebut, PSM memilih untuk tidak menambah hospital swasta. Perkukuh sistem kesihatan awam kita!
==========
Gandipan Nantha Gopalan ialah Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Tandatangani petisyen dalam talian untuk kempen “Selamatkan Sistem Kesihatan Awam” di sini.
