
oleh S. Arutchelvan
Pada hujung minggu ini, dari hari Jumaat 21 Ogos 2026, PSM akan mengadakan Kongres Nasional yang ke-28 di Dewan Capitol Selayang, Selangor. Lebih 200 orang perwakilan dijangka akan menghadiri Kongres Nasional selama tiga hari ini, yang merupakan badan pembuat keputusan tertinggi bagi parti.
PSM ditubuhkan pada tahun 1998, tetapi hanya didaftarkan pada tahun 2008 selepas satu perjuangan yang berpanjangan.
Walaupun Kongres PSM tidak menarik perhatian seperti parti-parti yang lebih besar dengan kongres mereka sering dipenuhi dengan drama, pengumuman atau kontroversi, PSM kekal sebagai parti kiri terbesar di negara kita, yang dipandukan oleh prinsip-prinsip sosialis demokratik dan berdiri sebagai satu-satunya pembangkang terhadap pendirian neoliberal yang dipeluk oleh kebanyakan parti arus perdana.
Tumpuan Kongres PSM tahun ini ialah pemilihan parti dan persiapan untuk pilihan raya umum akan datang. Sementara itu, dalam Kongres tahun ini, juga akan adanya malam kebudayaan dan gerai-gerai tambahan untuk memaparkan kerja yang dilakukan oleh parti. Biar saya jelaskan apa yang dijangkakan daripada Kongres PSM tahun ini.
1. Pemilihan parti
Semua jawatan dalam kepimpinan pusat PSM akan dipertandingkan, kecuali Pengerusi Nasional dan Bendahari Nasional.
PSM mempunyai sistem pemilihan parti yang unik di mana ahli-ahli parti digalakkan bertanding untuk sekurang-kurangnya satu jawatan jika mereka dicalonkan. Ini adalah untuk menggalakkan demokrasi dan penyertaan ahli yang lebih meluas.
Walau bagaimanapun, pada tahun ini, bagi jawatan Pengerusi Nasional, Dr. Jeyakumar telah menang tanpa bertanding selepas dua orang calon yang lain menarik diri. Begitu juga untuk jawatan Bendahari Nasional yang dimenangi tanpa bertanding selepas calon lain juga menarik diri. Madhavi, Timbalan Bendahari Nasional pada masa ini, akan menggantikan Soh Sook Hwa yang telah menyempurnakan penggal penuh khidmatnya sebagai Bendahari Nasional PSM selama 10 tahun.
Bagi jawatan Timbalan Pengerusi Nasional – yang dipegang oleh Arul pada masa ini – akan menyaksikan pertandingan lima penjuru, sementara jawatan Setiausaha Agung akan menyaksikan perlawanan yang serupa dengan pemilihan parti sebelum ini antara Sivaranjani selaku penyandang jawatan dan Suresh.
Bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Pusat, seramai 52 orang perwakilan dicalonkan untuk 9 jawatan yang dipertandingkan.
PSM mungkin merupakan satu-satunya parti yang menjalankan pemilihan untuk Jawatankuasa Tatatertib, yang bebas daripada Jawatankuasa Pusat Parti. Ini adalah untuk memastikan supaya ahli-ahli parti tidak dimangsakan jika mereka tidak bersetuju dengan pendirian parti atau menentang kepimpinan parti. Sebuah jawatankuasa lima-ahli akan dipilih. Pada tahun ini, seramai 42 orang dicalonkan untuk 5 jawatan ini. Akan ada juga pemilihan untuk dua jawatan Juruaudit Dalaman Parti, dengan 20 orang telah dicalonkan.
Selain itu, Speaker yang mengendalikan sesi perbahasan usul juga akan dipilih oleh perwakilan yang hadir di Kongres. Tahun ini, buat pertama kalinya, PSM menyerahkan pengendalian pemilihan dalamannya kepada Parti MUDA. Duta Kuba dan Duta Venezuela juga dijangka akan hadir ke majlis perasmian Kongres PSM.
2. Membahaskan Ucapan Dasar Pengerusi
Kongres Nasional PSM akan bermula pada pukul 3 petang, hari Jumaat 21 Ogos 2026. Jemputan untuk majlis perasmian Kongres Nasional PSM telah dihantar kepada parti-parti politik dan NGO-NGO serta khususnya anggota-anggota gerakan progresif – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Parti Orang Asli (ASLI). Duta Kuba dan Duta Venezuela juga dijangka akan hadir dalam majlis perasmian Kongres Nasional PSM.
Dr. Jeyakumar, Pengerusi Nasional PSM, akan menyampaikan Ucapan Dasarnya semasa majlis perasmian Kongres, di mana dia akan menyentuh pelbagai topik – daripada pergolakan antarabangsa dan dalam negara kepada hal ehwal parti.
Antara topik yang akan disentuh oleh Pengerusi Nasional PSM ialah prestasi Kerajaan MADANI yang mengecewakan, di mana perubahan secara pilihan raya tidak membawa kepada pembaharuan pilihan raya. Beliau juga akan bercakap tentang kuasa besar yang berada di tangan Perdana Menteri dan sektor korporat.
Beliau juga akan bercakap tentang gaji rendah, di mana 60% penduduk memperoleh pendapatan isi rumah yang kurang daripada RM5,000 – satu angka yang dikatakan mencukupi menurut kerajaan.
Isu-isu lain yang akan dibincangkan ialah isu-isu perkauman, dan apa yang harus diberi tumpuan oleh parti dan gerakan progresif dalam pilihan raya umum akan datang, serta sejauh mana calon parti harus bersedia. Beliau juga akan berhujah telah kepentingan media sosial.
Dalam isu antarabangsa, Dr. Jeyakumar akan membincangkan perang imperialis yang sedang dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS), ketidakseimbangan perdagangan, dan keperluan untuk Semangat Bandung yang baharu.
Sejumlah 23 orang perwakilan dari beberapa negeri akan membahaskan Ucapan Dasar Pengerusi pada hari pertama Kongres PSM.
3. Usul dan resolusi
Sejumlah 35 usul telah diterima untuk perbahasan pada asalnya, dan selepas penelitian dan pengesahan, 19 usul akan dibahaskan dalam Kongres Nasional PSM kali ini. Usul-usul ini merangkumi tiga tema utama: kempen baharu, struktur parti dan dasar parti. Antara usul-usul yang menarik ialah:
- Keperluan bagi parti berkempen untuk pilihan raya kerajaan tempatan;
- Kempen baharu untuk melawan rasisme;
- Penubuhan sebuah Skuad Merah yang kekal seperti Unit Amal PAS;
- Kempen parti harus memfokus pada gaji mampu sara hidup bukannya gaji minimum;
- Keperluan bagi perbincangan khas untuk membincangkan kelemahan dalam prosedur gangguan seksual semasa;
- Penggunaan kecerdasan buatan (AI) oleh ahli-ahli parti.
Selain 19 usul, Kongres Nasional PSM juga akan membahaskan resolusi. Resolusi ialah cadangan dan tuntutan untuk pembaharuan yang dicadangkan oleh cawangan-cawangan PSM supaya dikemukakan oleh parti kepada kerajaan sedia ada. Pada masa ini, terdapat 37 resolusi telah dibentangkan, dan selepas perbahasan, kemungkinan besar ia akan dikurangkan kepada 15.
Antara resolusi yang dicadangkan untuk ditujukan kepada kerajaan tahun ini termasuk:
- Meningkatkan gaji minimum;
- Melindungi sistem kesihatan awam dan mengawal perluasan hospital swasta;
- Mengawal harga rumah dan kadar sewa rumah;
- Keterjaminan makanan;
- Mempertingkatkan sistem pengangkutan awam;
- Pendidikan percuma;
- Sistem kehakiman yang bebas;
- Denda yang lebih tinggi untuk majikan yang melanggar undang-undang buruh;
- Menangani diskriminasi gender.
4. Perbahasan khas mengenai pilihan raya
Satu lagi sesi yang amat dinanti-nantikan ialah sesi perbincangan mengenai pilihan raya akan datang. Sesi ini akan membincangkan usaha parti baru-baru ini dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di kawasan DUN Skudai dan Rahang, serta apa yang patut dijadikan fokus utama pilihan raya umum.
Pada masa ini, PSM sedang bekerjasama dengan MUDA atas dasar Blok Progresif.
5. Adakah PSM telah berkembang?
Bagi ramai orang yang telah memerhatikan PSM, nampaknya parti ini tidak berkembang banyak kerana keputusan pilihan raya yang mengecewakan. Sebuah rencana dalam akhbar The Sun baru-baru ini menekankan semula bahawa PSM dan dasarnya masih relevan walaupun mengalami kekalahan dalam pilihan raya.
Sebagai seorang pengasas parti, saya dapat melihat perubahan landskap parti.
Pada satu ketika masa, PSM pernah dianggap sebagai sebuah parti orang India, dengan orang Melayu menjauhi diri daripada parti ini. Sejak tahun lalu, keanggotaan Melayu dalam PSM telah meningkat sebanyak 56%, menjadikan orang Melayu kumpulan terbesar dalam kalangan ahli parti baharu. Sebelum ini, 80% daripada ahli PSM merupakan mereka yang menjadi ahli selepas mengambil bahagian dalam sesebuah perjuangan tempatan – pekerja ladang, peneroka bandar dan sebagainya – tetapi hari ini, kebanyakan ahli PSM merupakan mereka yang mempelajari ideologi daripada platform dalam talian dan menjadi berminat dalam perjuangan PSM.
Parti ini terus menarik ahli-ahli muda yang melihat PSM sebagai penggerak perubahan sebenar dan masa hadapan. Ahli-ahli baharu yang berada pada usia 20-an ini tertarik dengan isu-isu yang diperjuangkan oleh parti seperti perumahan dan kesihatan.
PSM terus menjadi satu-satunya parti berhaluan kiri yang stabil di negara kita untuk mempertahankan agenda kiri. Kini, PSM cuba untuk membentuk sebuah blok progresif.
Dalam perbincangan baru-baru ini bersama beberapa orang wartawan semasa pilihan raya, wartawan-wartawan itu berkata bahawa mereka melihat PSM agak berlainan dan aktiviti yang diadakan juga berbeza dengan politik arus perdana yang hanya bercakap tentang politik perkauman atau korupsi. PSM terus menjadi suara bagi golongan terpinggir dan golongan tertindas. PSM terus memperjuangkan dasar-dasar progresif bukannya politik populis.
Pada tahun ini juga, PSM telah membeli sebuah ruang pejabat kekal yang dimiliki oleh parti. Kami berkemungkinan besar akan berpindah ke pejabat baharu ini menjelang akhir tahun ini.
PSM mungkin tidak memenangi pilihan raya sekarang, tetapi parti ini sememangnya bertumbuh semakin kuat dari hari ke hari – perlahan-lahan tetapi sudah pasti.
==========
S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).
