SKUDAI, JOHOR – 2 JULAI 2026: Amir Syafiq Ameer Soekre, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk kerusi DUN N48 Skudai dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, membuat aduan polis terhadap Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, atas tindakannya yang menyalahgunakan kuasa Menteri untuk menyogok pengundi dan mempengaruhi pilihan raya.

Aduan polis ini dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara hari ini. Turut hadir untuk membuat aduan polis ialah Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional PSM.

Pada 25 Jun 2026, iaitu dua hari sebelum penamaan calon PRN Johor, dalam satu program di Taman Ungku Tun Aminah, Nga Kor Ming telah mengumumkan bahawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperuntukkan dana sebanyak RM216.44 juta kepada negeri Johor, termasuk dana untuk membaik pulih 10 blok rumah pangsa di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai. Semasa pengumuman peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan itu, Nga Kor Ming telah diiringi oleh Kartiyaini Jeyapalan, bakal calon Pakatan Harapan (PH) untuk kerusi DUN N48 Skudai dalam PRN Johor pada masa itu. Malah, Kartiyaini memuat naik gambarnya bersama Nga Kor Ming dalam program anjuran kerajaan itu di akaun instagramnya yang digunakan untuk berkempen sepanjang PRN Johor. Oleh itu, langsung tidak hairan bahawa ramai orang menganggap pengumuman peruntukan dana itu sebagai satu tindakan penyalahgunaan kuasa kerajaan untuk meraih undi bagi calon daripada parti politik tertentu.

“Pengumuman yang dibuat dua hari sebelum penamaan calon Pilihan Raya Negeri Johor ke-15 tersebut ialah satu perbuatan yang menyalahi undang-undang berkaitan pilihan raya, antara lainnya, kesalahan penyogokan di bawah Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana ia berniat untuk mendorong pemilih atau pengundi di negeri Johor, terutamanya di kawasan N48 Skudai, supaya mengundi untuk calon daripada Pakatan Harapan,” kata Amir semasa membuat aduan polis. “Seksyen 10(a) ini diwujudkan untuk memastikan pemilihan ADUN dan Ahli Parlimen adalah adil kepada semua pihak, termasuk calon yang bukan daripada parti kerajaan. Wakil rakyat harus dipilih atas kebolehan mereka mewakili pengundi di dewan perundangan, bukannya berdasarkan sogokan daripada peruntukan kerajaan.”

Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menyatakan bahawa:

“Orang yang berikut hendaklah disifatkan bersalah atas kesalahan menyogok: (a) Tiap-tiap orang yang sebelum, semasa atau selepas sesuatu pilihan raya, secara langsung atau tidak langsung… berjanji untuk mendapatkan atau berusaha untuk mendapatkan, apa-apa wang atau balasan bernilai  kepada atau untuk mana-mana pemilih atau pengundi, atau kepada atau untuk mana-mana orang bagi pihak mana-mana pemilih atau pengundi atau kepada atau untuk mana-mana orang lain, bagi mendorong mana-mana pemilih atau pengundi supaya mengundi atau tidak mengundi, atau yang secara rasuah melakukan apa-apa perbuatan yang disebut terdahulu oleh sebab pemilih atau pengundi itu telah mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana pilihan raya.”

“Tindakan Nga Kor Ming ini dengan jelasnya telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya,” ulas Amir. “Saya menggesa pihak polis untuk menyiasat perkara ini dan memajukan hasil siasatan tersebut kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya dan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.”

Dr. Jeyakumar juga membuat aduan polis terhadap aktiviti jamuan makan durian yang dianjurkan oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) di Yong Peng pada 27 Jun 2026, iaitu hari penamaan calon PRN Johor, kerana ia jelas telah melanggar Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menyatakan bahawa:

Tiap-tiap orang yang, secara rasuah, dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain, sama ada sebelum, semasa atau selepas sesuatu pilihan raya, secara langsung atau tidak langsung memberikan atau mengadakan atau menyebabkan supaya diberikan atau diadakan, atau yang menyertai hal memberikan atau mengadakan itu, atau yang membayar atau mengaku janji akan membayar kesemuanya atau sebahagiannya, belanja bagi memberikan atau mengadakan apa-apa makanan, minuman, makanan atau minuman ringan atau bekalan, atau apa-apa wang atau tiket atau apa-apa cara atau tipu daya lain untuk membolehkan apa-apa makanan, minuman, makanan atau minuman ringan atau bekalan didapatkan, bagi atau untuk mana-mana orang bagi maksud untuk mempengaruhi secara rasuah orang itu atau mana-mana orang lain supaya memberikan atau tidak memberikan undinya dalam pilihan raya itu atau oleh sebab mana-mana orang itu atau mana-mana orang lain telah mengundi atau tidak mengundi atau akan mengundi atau tidak akan mengundi dalam pilihan raya itu, dan tiap-tiap pemilih atau pengundi yang, secara rasuah menerima atau mengambil apa-apa makanan, minuman, atau makanan atau minuman ringan atau bekalan itu atau mana-mana wang atau tiket itu atau yang menggunakan apa-apa cara atau tipu daya lain itu untuk membolehkan makanan, minuman, makanan atau minuman ringan atau bekalan itu didapatkan bersalah atas kesalahan menjamu.”

“Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 diwujudkan untuk memastikan pemilihan ADUN dan Ahli Parlimen adalah berdasarkan kebolehan calon untuk mewakili

pengundi di dewan perundangan secara yang berkesan,” kata Dr. Jeyakumar. “Apabila orang-orang kaya menganjurkan jamuan makan untuk menarik kehadiran orang ramai ke program sebuah parti, parti politik itu berhutang budi kepada orang-orang kaya tersebut. Ini menghakiskan amalan demokrasi di negara kita kerana amalan penganjuran jamuan makan ataupun konsert ataupun pemberian hadiah lain wujudkan perhubungan mesra antara golongan kaya raya dan ahli politik kita, dan memudahkan akses kaum

terkaya kepada pemimpin politik sekali gus mempengaruhi dasar mereka.”

Parti-parti komponen PH, termasuk DAP, sering mendakwa pihak lawan menyalahgunakan kuasa dan jentera kerajaan dalam pilihan raya sebelum ini, apabila mereka belum lagi menjadi kerajaan. Sekarang ini, selepas menjadi kerajaan, secara gandingan dengan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, pemimpin-pemimpin PH masih meneruskan amalan menyogok pengundi sebegini. Ini jelas bertentangan dengan apa yang diperjuangkannya dahulu. Pemberian “gula-gula” pilihan raya dengan menggunakan dana awam merupakan penyelewengan kuasa yang serius dan menjejaskan keadilan pilihan raya sehingga merosakkan demokrasi berparlimen di negara kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *