
oleh Dr. Jeyakumar Devaraj
Untuk memahami situasi terkini di Malaysia, kita perlu mengimbas kembali sejarah serta perkembangan politik dan ekonomi negara ini. Penjajah Portugis datang ke Asia Tenggara pada awal abad ke-16. Mereka dan pihak penjajah Belanda, yang datang ke rantau ini kira-kira 130 tahun kemudian, ada kepentingan perdagangan tersendiri — mereka ingin menguasai jalan perdagangan dan mendapatkan komoditi untuk pasaran Eropah. Justeru, mereka hanya menumpu kepada penguasaan terhadap jalan perkapalan dan pelabuhan utama, dan tidak berminat untuk menguasai kawasan pedalaman.
Revolusi perindustrian di Eropah mewujudkan permintaan yang besar untuk bahan mentah seperti timah, kopi, gula dan getah. Kuasa-kuasa kolonial kini berminat untuk menguasai tanah di Asia Tenggara supaya dapat membuka lombong dan ladang. Rakyat tempatan tidak begitu berminat bekerja seperti hamba untuk gaji yang rendah.[1] Pihak British memutuskan untuk tidak mengerah tenaga kerja masyarakat Melayu, dan sebaliknya mendapatkan tenaga buruh dari India dan China untuk membangunkan ekonomi kolonial. Ini mengakibatkan kemasukan beramai-ramai warga India dan Cina ke Malaya pada pertengahan abad ke-19.
Oleh kerana dijajah oleh kuasa perindustrian yang terulung pada masa itu, Malaya mengalami pembangunan pesat untuk lombong, ladang, jalan raya, landasan kereta api dan pelabuhan berbanding dengan Indonesia, Indochina dan Filipina. Ini mengakibatkan perubahan yang ketara dalam demografi Malaya—pada tahun 1957, jumlah migran Cina dan India membentuk lebih daripada separuh populasi keseluruhan di Malaya. Ciri kelas masyarakat Malaya juga berubah dalam era kolonial ini. Sebelum tahun 1800, kebanyakan penduduk Malaya merupakan petani dan nelayan yang mengusahakan ekonomi sara diri. Ekonomi kolonial pula mewujudkan kelas pekerja yang besar di ladang, lombong dan landasan kereta api, yang membawa kepada rangkaian aktiviti ekonomi berkaitan, seperti perkebunan pasaran, pengimportan makanan dan barangan keperluan, perniagaan runcit, penghasilan tempatan barangan pengguna, pengangkutan, dan lain-lain.[2]
Pada masa yang sama, masyarakat Melayu tempatan dilindungi daripada ekonomi kolonial. Cara hidup dan aktiviti ekonomi mereka tidak mengalami perubahan ketara. Secara luaran, pihak British “menghormati” dan menjaga raja-raja Melayu untuk mengekalkan mitos bahawa mereka hanya berfungsi sebagai “penasihat”. Tanah di Malaya adalah luas, jadi mereka tiada sebab untuk merampas tanah daripada petani-petani kecil. Namun, pihak British tetap memperkenalkan undang-undang yang menghalang petani daripada mengubah tanah pertanian mereka daripada sawah padi kepada ladang getah atau komoditi eksport lain.[3] Beras merupakan makanan ruji bagi masyarakat Melayu serta migran Cina dan India. Pihak British memerlukan bekalan beras yang murah untuk tenaga kerja migran mereka.
Strata masyarakat tempatan yang paling benci kepada penjajahan British adalah pembesar Melayu dan golongan kerabat diraja kecil yang mengenakan cukai ke atas barangan yang dihasilkan petani kecil, penggunaan sungai dan sebagainya, kerana sumber pendapatan mereka terjejas apabila British mengambil alih pentadbiran tanah di Malaya. Pada akhir abad ke-19, ada beberapa siri pemberontakan oleh golongan pembesar ini, tetapi mereka tidak mendapat sokongan besar daripada masyarakat petani (yang cara hidup mereka tidak begitu dijejaskan oleh British) atau golongan raja (yang dijaga oleh British).[4]
Parti Komunis Malaya dan perjuangan kemerdekaan
Parti Komunis Malaya (PKM) ditubuhkan pada tahun 1930. PKM berundur ke dalam hutan pada awal tahun 1942 dan menentang penjajahan Jepun sebagai Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (MPAJA). Ahli MPAJA kebanyakannya warga Cina kerana masyarakat ini yang menjadi sasaran tentera Jepun. PKM diiktiraf oleh pihak British setelah Perang Dunia Kedua tamat, dengan pemimpinnya Chin Peng menerima anugerah Order of the British Empire (OBE) di London. PKM membuka pejabat di beberapa buah bandar dan terus mengorganisasi massa.
Semangat perjuangan kemerdekaan melanda seluruh Asia, didorong oleh gerakan di China, India dan Indonesia pada penghujung Perang Dunia II. Walaupun ramai daripada golongan nasionalis Melayu dan India berada di pihak bertentangan semasa penjajahan Jepun, PKM berjaya menubuhkan gabungan payung besar yang dinamakan Majlis Bertindak Bersama Se-Malaya (All Malayan Council of Joint Action, AMCJA).[5] AMCJA merangkumi gerakan kesatuan sekerja, MPAJA, Malayan Democratic Union (MDU, yang ditubuhkan oleh warga Malaya di kawasan bandar yang berpendidikan Inggeris), Malayan Indian Congress (MIC), sesetengah ahli perniagaan Cina dan lain-lain. AMCJA kemudiannya membentuk pakatan dengan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA), iaitu gabungan nasionalis Melayu yang terdiri daripada Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS).
Gabungan AMCJA-PUTERA mengadakan beberapa siri perbincangan dan menghasilkan Perlembagaan Rakyat yang memperincikan bagaimana Malaya akan ditadbirkan selepas kemerdekaan. Walau bagaimanapun, pihak British menolak tuntutan AMCJA-PUTERA untuk memulakan perbincangan kemerdekaan. AMCJA-PUTERA memanggil untuk mengadakan aksi Hartal pada 20 Oktober 1947. Semua aktiviti di seluruh Malaya, termasuk perniagaan, berhenti untuk mogok sehari.
Sebagai tindakan balas, pihak British mengharamkan API pada bulan Julai 1947 dan memenjarakan beberapa orang pemimpinnya, termasuk Ahmad Boestamam. Pihak British kemudiannya meluluskan undang-undang untuk mengekang gerakan kesatuan sekerja militan. Kesatuan dihadkan kepada beberapa sektor ekonomi sahaja. Kesatuan Sekerja Am pada masa itu terpaksa disusun semula dan dipecahkan kepada kesatuan berdasarkan sektor, serta mendaftar dengan Pendaftar Kesatuan Sekerja (Registrar of Trade Union, RTU). Tetapi RTU menolak pendaftaran kebanyakan kesatuan sekerja yang sudah disusun semula ini. Apabila kesatuan ini cuba mengorganisasi pekerja, mereka digelar pertubuhan jenayah haram dan pemimpin mereka ditahan. Mogok disambut dengan penindasan zalim. Ada juga pekerja yang dibunuh pihak berkuasa.
Pada 17 Jun 1948, sebuah unit PKM telah membunuh tiga orang peladang British di Sungai Siput, Perak. Pihak British mengisytiharkan Darurat. Beribu-ribu orang aktivis ditahan, dan PKM masuk ke hutan. Pada awal zaman Darurat, unit-unit PKM berjaya memenangi beberapa pertempuran, mengambil alih balai polis dan juga pentadbiran bandar Gua Musang buat seketika. Pesuruhanjaya Tinggi British Henry Gurney dibunuh pada 6 Oktober 1951.
Pihak British memperkenalkan Rancangan Briggs pada tahun 1950 untuk menyekat bekalan makanan kepada kumpulan pejuang Komunis. Petani Cina di kawasan pinggiran bandar ditempatkan semula secara paksaan ke dalam 540 buah kem terkawal keselamatan yang dikelilingi kawat berduri dan pintu masuk keluar dikawal oleh polis atau tentera. Petani dibenarkan bertani pada waktu siang, tetapi dikenakan perintah kurung pada waktu malam. Pekerja ladang tidak dibenarkan untuk membeli nasi. Mereka diberikan catuan nasi masak mengikut saiz keluarga oleh pemilik ladang. Komuniti Orang Asli juga dipaksa masuk ke dalam kem sekuriti.
Dengan sekatan makanan ini, pemberontakan Komunis tidak dapat menampung unit-unit besar. Pada tahun 1952, mereka mengambil keputusan untuk berundur ke sempadan Malaya-Thailand.[6] Pihak British juga memulakan kempen propaganda di mana PKM digambarkan sebagai dikuasai oleh orang Cina dan akan mendatangkan mudarat kepada masyarakat Melayu.
Pada masa yang sama, British menubuhkan Majlis Perundangan dengan wakil daripada golongan elit tempatan—golongan bangsawan Melayu dan ahli perniagaan bukan Melayu. Pihak British mengiktiraf United Malay National Organisation (UMNO) yang ditubuhkan oleh bangsawan dan elit Melayu yang bekerja dalam perkhidmatan awam kolonial. Pilihan raya umum pertama diadakan pada tahun 1955, di mana parti Perikatan yang diterajui oleh UMNO memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Mereka berkempen dengan janji pengampunan untuk PKM dan kemerdekaan dalam masa dua tahun. Pemimpin UMNO, Tunku Abdul Rahman, menjadi Ketua Menteri Malaya yang pertama.
PKM membalas janji-janji Pilihan Raya 1955 dengan menyatakan bahawa mereka berminat dengan pengampunan. PKM sedar bahawa memenangi perjuangan bersenjata itu adalah hampir mustahil. Mereka juga mahu mendekati pengundi di Malaya. Rundingan antara pemimpin Perikatan dan PKM diadakan di Baling, Kedah, pada bulan Disember 1955. PKM bersedia untuk meletakkan senjata dan juga membubarkan organisasi mereka. Mereka mahu kebenaran untuk kembali ke Malaya dan mengambil bahagian dalam proses politik.[6] Tunku pula bertegas bahawa PKM perlu menyerah diri, ditahan dan melalui proses rehabilitasi. Perjanjian tidak dapat dicapai. Pemimpin PKM berasa bahawa Tunku mengambil pendirian tegas ini untuk menambat hati British supaya Malaya dapat mencapai kemerdekaan. PKM juga mengharapkan rundingan perdamaian akan berterusan selepas Merdeka, tetapi mereka akan terpaksa menunggu tiga dekad lagi. Pada bulan Ogos 1957, British memberikan kemerdekaan kepada Malaya di bawah kepimpinan kerajaan Perikatan.
Pembangunan ekonomi Malaysia selepas Merdeka
Semasa mencapai kemerdekaan, ekonomi Malaya tertumpu kepada pengeluaran komoditi primer. Eksport terbesarnya ialah getah, diikuti oleh bijih timah. Syarikat-syarikat perladangan kebanyakannya kemudian telah beralih kepada kelapa sawit — 5.6 juta daripada 8.4 juta hektar tanah pertanian di Malaysia digunakan untuk tanaman kelapa sawit, dengan 1 juta hektar digunakan untuk tanaman getah, kebanyakannya oleh pekebun kecil. Pada tahun 1980-an, kerajaan berjaya mengambil alih majoriti saham syarikat perladangan yang disenaraikan di Bursa Saham London. Kini, lebih daripada 60% tanah perladangan dipegang oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Pada tahun 1970-an, Ketua Menteri Pulau Pinang pada masa itu, Lim Chong Eu, mempelopori pembukaan zon ekonomi khas untuk syarikat elektronik multinasional yang mencari kos pengeluaran yang lebih rendah. Banyak syarikat multinasional (MNC) membuka kilang di Pulau Pinang, yang kemudiannya membawa kepada pembukaan rangkaian kilang sokongan. Komponen elektronik merupakan komoditi eksport terbesar di Malaysia, jauh lebih tinggi daripada kelapa sawit. Pekerjaan dalam sektor pembuatan adalah kira-kira 18% daripada jumlah pekerjaan di Malaysia, tetapi gaji masih di tahap minimum, dengan kira-kira 30% pekerja migran. Kebanyakan pembuatan di Malaysia diikat kepada rangkaian global.
Selepas Merdeka, deposit petroleum besar dijumpai di Malaysia. Kerajaan meluluskan Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang meletakkan pemilikan semua petroleum yang dijumpai di Malaysia dalam tangan Petronas, sebuah syarikat yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan. Mana-mana syarikat asing yang menjumpai petroleum di Malaysia harus berunding dengan Petronas untuk mencapai persetujuan perkongsian pendapatan. Petronas telah menyumbang kepada 20% hingga 40% hasil persekutuan selama 30 tahun yang lepas.
Dalam bidang sosial, langkah-langkah berikut telah diambil:
- Pesawah padi (~200,000 orang) dan nelayan tradisional (~80,000 orang), kebanyakannya daripada masyarakat Melayu, menerima pelbagai subsidi. Namun, mereka antara sektor termiskin di Malaysia.
- 110,000 buah keluarga luar bandar diberi 10 ekar tanah di bawah skim Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA). Hampir setengah juta hektar tanah digunakan oleh skim ini, kebanyakannya untuk menanam kelapa sawit.
- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang ditubuhkan pada penghujung zaman kolonial kini melindungi 12 juta orang ahli (daripada jumlah tenaga kerja 16 juta orang), dengan aset keseluruhan RM1.2 trilion (sebagai perbandingan, KDNK Malaysia pada tahun 2025 adalah RM1.875 trilion).
- Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ditubuhkan pada tahun 1971, selepas kelulusan akta pada tahun 1969, dan kini melindungi 9 juta orang pekerja. PERKESO memberikan pampasan untuk kecederaan di tempat kerja, dan memberikan pencen seumur hidup jika seseorang pekerja menjadi kurang upaya. Baru-baru ini, PERKESO memperluaskan perlindungan untuk merangkumi pekerja gig dan suri rumah.
- Kerajaan telah menubuhkan rangkaian hospital dan klinik dalam lingkungan jarak 3 kilometer daripada 95% rakyat Malaysia. Imunisasi kanak-kanak berada di tahap 99%. Jangka hayat purata kini di tahap 75 tahun, berbanding 66.5 tahun pada zaman baru Merdeka. Kematian bawah lima tahun kini di tahap 7.8 per 1,000 kelahiran.
- Persekolahan percuma hingga tahap menengah, iaitu 13 tahun secara keseluruhan.
KDNK sebenar Malaysia telah meningkat 24 kali ganda dari tahun 1970 hingga 2020. Akses rakyat kepada kemudahan moden — peti sejuk, kereta, mesin basuh, dapur gas, televisyen, telefon bimbit, dan sebagainya —telah meningkat dengan mendadak. Namun:
- Gaji adalah kira-kira 1/8 berbanding gaji di Eropah untuk kerja yang sama.
- Hutang isi rumah adalah 200% daripada pendapatan isi rumah. Nisbah ini lebih tinggi untuk golongan berpendapatan rendah.
- Kebanyakan rakyat bekerja lebih daripada 48 jam seminggu.
- Sebanyak 21% kanak-kanak di bawah umur lima tahun mengalami kebantutan.[7]
- Harga rumah amat tinggi, dengan pinjaman rumah membentuk komponen besar hutang isi rumah.
- Kemiskinan warga emas adalah realiti di Malaysia. Seramai 75% pesara yang berumur 65 tahun ke atas tiada simpanan.
- Walaupun penjagaan kesihatan bersubsidi boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia, sistem kesihatan negara masih kekurangan dana, dan hanya diperuntukkan 2.4% daripada KDNK. Senarai menunggu sangat lama, yang memaksa ramai keluarga membeli insurans persendirian untuk mengakses hospital swasta.
- Kira-kira 50% beras di Malaysia diimport. Gandum tidak boleh ditanam di Malaysia dan diimport sepenuhnya. Keterjaminan makanan di Malaysia amat merisaukan.
Sejak tahun 1990-an, Malaysia telah menandatangani pelbagai perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang mengancam kedaulatan dan melumpuhkan kebolehan kerajaan dalam menguruskan ekonomi negara. Sebagai contoh:
- Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN mengikat Malaysia kepada dasar tarif sifar untuk 98% barangan dari negara serantau. Ini menghalang negara kita daripada meningkatkan gaji minimum dalam jumlah yang lebih besar, kerana barangan buatan dari negara-negara ASEAN lain yang lebih murah akan memusnahkan sektor pembuatan Malaysia. Pengeluar makanan Malaysia pula menghadapi ancaman lambakan hasil pengeluaran dari negara jiran.
- Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan perjanjian lain memberikan pelabur asing pelbagai hak, seperti hak untuk memasuki sebarang sektor ekonomi tempatan, kebebasan daripada kewajipan meningkatkan kapasiti teknikal tempatan atau menggunakan input tempatan, dan kebebasan daripada apa-apa bentuk kawalan modal.
- Peruntukan Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS) wujud dalam beberapa FTA ini.[8]
Rakyat Malaysia menikmati kualiti kehidupan yang lebih tinggi dari segi material, tetapi dibelenggu tekanan ekonomi kerana gaji rendah dan kos hidup tinggi. Tekanan ini datang daripada kebimbangan dan ketidaktentuan. Namun, ini tidak perlu menjadi kenyataan tetap. Seperti yang boleh dilihat dalam Jadual 1, sebahagian besar pendapatan negara kita mengalir kepada pemilik modal.
Jadual 1: Pembahagian pendapatan negara mengikut kumpulan sosial di Malaysia
| Strata sosial | Pembahagian pendapatan negara |
| Pekerja (16 juta orang) | 29% |
| Kerajaan | 16% |
| Pemilik modal dan pengurus atasan (0.3 juta orang) | 55% |
Golongan kiri parlimen
Golongan nasionalis Melayu radikal yang ditahan pada tahun 1947 dibebaskan pada tahun 1955 sebelum Pilihan Raya Umum pertama. Boestamam dan tokoh nasionalis lain menubuhkan Parti Rakyat, manakala yang lain menyertai Parti Buruh. Kedua-dua buah parti ini bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1959 sebagai Barisan Sosialis dan memenangi 8 daripada 104 kerusi Parlimen. Mereka juga mencapai kejayaan dalam pilihan raya tempatan, memenangi majoriti kerusi dalam Majlis Bandaraya George Town Pulau Pinang dan memegang jawatan datuk bandar.
Kerajaan Perikatan kemudiannya memansuhkan pilihan raya tempatan, dan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menahan lebih daripada 1,000 orang pemimpin dan aktivis Barisan Sosialis pada tahun 1960-an, yang membantutkan perkembangan gerakan kiri.[9] Isu-isu yang berkaitan dengan bahasa dan masa depan Malaysia juga memecah-belahkan ahli-ahli beretnik Melayu dan Cina dalam Barisan Sosialis. Ahli beretnik Cina, yang kebanyakannya dalam Parti Buruh, menuntut kesamarataan bagi semua kaum di Malaysia, dengan tiga bahasa rasmi. Ahli beretnik Melayu, kebanyakannya dalam Parti Rakyat, menuntut supaya Malaysia diiktiraf sebagai sebahagian daripada Nusantara Melayu — dengan bahasa dan budaya Melayu sebagai asas pembentukan bangsa Malaysia tanpa peminggiran bahasa dan budaya kaum lain. Isu-isu ini membawa kepada perpecahan Barisan Sosialis pada tahun 1966.
Parti Buruh, yang sudah dilemahkan dengan penahanan pemimpinnya serta kecewa dengan proses parlimen, memutuskan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1969. Ramai ahli berundur ke bawah tanah dan menyertai PKM. Parti Buruh kemudiannya dibatalkan pendaftarannya. Parti Rakyat menang dua kerusi negeri di Pahang pada tahun 1969 walaupun kedua-dua orang calon sedang berada dalam tahanan ISA. Itulah kemenangan terakhir Parti Rakyat.
Ketidakseimbangan kaum di Malaysia
Seperti yang tertulis di atas, masyarakat Melayu rata-ratanya tetap miskin semasa zaman baru Merdeka. Oleh kerana mereka kekal di luar ekonomi moden, pencapaian pendidikan dan jawatan profesional masyarakat Melayu tidak mengikut nisbah populasi mereka.
Ini diiktiraf pemimpin Malaysia pada masa itu. Peruntukan khas Perkara 153 dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia untuk memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan kuota khas kepada masyarakat Melayu dalam institusi pendidikan dan untuk permit perniagaan. Sekolah berasrama dan kolej rendah ditubuhkan untuk membolehkan masyarakat Melayu mengatasi jurang pendidikan yang sedia ada. Biasiswa dan permit perniagaan juga disediakan. Masyarakat Melayu diberi keutamaan untuk jawatan perkhidmatan awam, seperti kerani, guru dan jururawat. Kini, lebih daripada 85% daripada 1.6 juta orang penjawat awam adalah daripada masyarakat Bumiputera. [10]
Tindakan afirmatif yang berasaskan kaum ini — dikenali sebagai Dasar Ekonomi Baru (DEB) —mewujudkan kelas menengah Melayu dan mula menstabilkan negara. Namun, seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 2, ketidakseimbangan masih wujud dari segi nisbah masyarakat Melayu dalam jawatan profesional tertentu.
Jadual 2: Penglibatan Bumiputera dalam pekerjaan terpilih
| Pekerjaan | 1973 | 2014 | 2023 |
| Jurutera | 13.5% | 32% | |
| Doktor perubatan | 7.6% | 46% | |
| Doktor veterinar | 30.8% | 42% | |
| Doktor gigi | 8.4% | 52.8% | |
| Akauntan | 17.9% | 32.3% | |
| Peguam | 20.3% | 38.9% |
Masyarakat Melayu, yang membentuk kira-kira 60% populasi Malaysia, serta Orang Asal Sabah dan Sarawak, yang membentuk 10% populasi, dikenali sebagai Bumiputera dalam dokumen kerajaan. Masyarakat Cina membentuk 23% populasi Malaysia, masyarakat India 7%, dan masyarakat Orang Asli Semenanjung Malaysia berjumlah sekitar 200,000 orang. Angka dalam Jadual 2 menunjukkan bahawa selepas 60 tahun kemerdekaan, masyarakat Bumiputera masih tertinggal dalam jawatan tertentu.
Ramai anggota masyarakat Bumiputera terlibat dalam sektor pertanian, iaitu sektor berpendapatan rendah. Dalam sektor formal, data simpanan KWSP menunjukkan bahawa masyarakat Bumiputera tidak menerima gaji setanding dengan pekerja lain, seperti yang boleh dilihat dalam Jadual 3. Ramai daripada mereka terpaksa mengeluarkan simpanan KWSP untuk kesinambungan hidup semasa perintah kawalan pergerakan pandemik COVID-19.
Jadual 3: Simpanan KWSP median sebelum dan selepas perintah kawalan pergerakan COVID-19 mengikut kumpulan etnik
| Kumpulan etnik | Simpanan (April 2020) | Simpanan (Disember 2020) | Penurunan |
| Bumiputera | RM15,541 | RM4,937 | -RM10,604 |
| Melayu | RM16,938 | RM5,529 | -RM11,409 |
| Bumiputera lain | RM10,591 | RM3,302 | -RM7,289 |
| Cina | RM45,756 | RM45,162 | -RM594 |
| India | RM25,724 | RM14,929 | -RM10,795 |
Pembahagian kelas komuniti Melayu dan gerakan Reformasi
Masyarakat Melayu telah mengalami perubahan mendadak dalam 65 tahun yang lepas. Kini, majoriti daripada mereka bekerja di kawasan bandar. Ikatan feudal yang mengikat mereka kepada kampung halaman telah terputus. Mereka adalah sebahagian daripada kelas pekerja bandar dan dibelenggu dengan masalah gaji rendah dan kos sara hidup tinggi.
UMNO, iaitu parti yang memimpin negara sewaktu mencapai kemerdekaan dan yang memperkenalkan tindakan afirmatif berdasarkan kaum, juga telah berubah daripada sebuah parti akar umbi yang terdiri daripada guru, wartawan dan pemimpin agama, kepada sebuah parti ahli perniagaan, kontraktor dan tokoh korporat. Banyak daripada peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk orang Melayu miskin dikawal oleh strata ahli perniagaan Melayu ini.
Krisis kewangan 1997–1998 mengakibatkan perpecahan dalam elit UMNO. Terlalu ramai kroni kapitalis memerlukan dana kerajaan, yang membawa kepada perselisihan tentang kroni mana satu yang patut diselamatkan, keperluan mengambil pinjaman Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), dan sebagainya. Perdana Menteri pada masa itu Mahathir Mohamad memecat timbalannya, Anwar Ibrahim, atas alasan melakukan kesalahan perbuatan seksual. Ini mencetuskan gerakan Reformasi. Anwar berkempen tentang isu tadbir urus, rasuah dan elit yang membolot dana yang sepatutnya digunakan untuk mengangkat Melayu miskin. Beliau menggunakan kefahamannya dalam hal agama Islam untuk memperkuatkan kritikannya. Ramai daripada populasi Melayu bandar menyertai gerakan Reformasi ini.
Anwar dipenjarakan pada tahun 1999.[11] Mahathir meletak jawatan pada tahun 2003. Pada tahun 2009, Najib Abdul Razak menjadi perdana menteri. Skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) meledak pada tahun 2016. Ini memberi nafas baharu kepada gerakan Reformasi. Budaya rasuah yang dikatikan dengan elit UMNO sudah menjadi pengetahuan umum pada masa itu. UMNO hilang kekebalannya, dan gabungan politik Anwar, Pakatan Harapan, berjaya memenangi Pilihan Raya Umum pada tahun 2018. [12]
Keadaan terkini gerakan kiri di Malaysia
Kini, Parti Sosialis Malaysia (PSM) merupakan parti kiri yang paling aktif di Malaysia. Namun, oleh kerana asal usul PSM sebagai kumpulan aktivis pelajar yang berjuang untuk hak pekerja ladang, yang kebanyakannya daripada masyarakat India, komposisi keahlian parti kami adalah 60% orang India. PSM mula berjuang bersama kumpulan daripada masyarakat lain pada penghujung tahun 1990-an, dan keahlian Cina dan Melayu kini semakin bertambah. Kami perlukan lebih ramai kadre daripada pelbagai kumpulan etnik.
Selain daripada PSM, ada beberapa buah gerakan kiri lain di Malaysia:
- Veteran PKM dan Parti Buruh. Bilangan veteran ini lebih besar daripada keahlian PSM. Mereka terdiri daripada bekas ahli PKM yang dibenarkan kembali ke Malaysia selepas Perjanjian Damai Hatyai 1989 dan menubuhkan organisasi Persatuan Kawan Karib dan Persatuan Persahabatan Abad ke-21. Mereka kerap mengadakan majlis makan malam dan pertemuan sosial, tetapi tidak aktif secara politik, melainkan penerbitan memoir dan biografi yang memperincikan peranan mereka dalam perjuangan kemerdekaan. Ada antara mereka yang menyokong majlis makan malam dana PSM.
- Parti Rakyat Malaysia (PRM). PRM tidak sekuat dahulu. Mereka masih meletakkan beberapa orang calon dalam PRU, tetapi tidak membuat banyak kerja lapangan selain daripada kenyataan media sekali-kala. PSM sedang cuba memujuk mereka untuk membentuk gabungan kuasa ketiga.
- Sosiais Alternatif (SA). SA ialah kumpulan kecil yang bersekutu dengan Committee for a Workers’ International (CWI). Mereka sering menerbitkan analisis yang kukuh, tetapi kekurangan idea konkrit untuk bergerak ke hadapan dengan keadaan sedia ada. Mereka masih mengamalkan pendekatan “penyusupan” (entryism), yang menyukarkan untuk melibatkan mereka dalam aktiviti bersama. Mereka juga percaya bahawa PSM membawa kelas pekerja ke arah jalan sesat dengan dasar reformis dan penyertaan dalam pilihan raya.
- Terdapat juga ramai individu berhaluan kiri dalam media, NGO, akademia dan masyarakat sivil yang menyokong kempen dan aktiviti PSM. Kami berminat bekerjasama dengan individu-individu ini kerana ada banyak kerja yang perlu dilakukan.
Cabaran yang dihadapi gerakan kiri di Malaysia
Gerakan kiri di Malaysia telah dipatahkan dua kali dalam tempoh 80 tahun lepas. Pihak British berjaya menumpaskan pemberontakan bersenjata tahun 1948. Empat tahun kemudian, PKM telah diasingkan secara efektif daripada masyarakat Malaya. Kerajaan Perikatan menggunakan ISA untuk menahan beratus-ratus orang pemimpin Barisan Sosialis and aktivis kesatuan sekerja pada tahun 1960-an, dan melumpuhkan gerakan kiri parlimen. Seperti kata pepatah, sejarah ditulis oleh pemenang. Gerakan kiri telah dikambinghitamkan dalam propaganda rasmi selama 80 tahun dalam media cetak dan juga buku teks sekolah.
Akibatnya, persepsi masyarakat terhadap gerakan kiri amat negatif. Ramai rakyat Malaysia percaya bahawa gerakan kiri bersifat autoritarian, anti-demokratik dan ganas. Pemberontakan bersenjata PKM, autoritarianisme Kesatuan Soviet selepas tahun 1930-an, rejim genosidal Khmer Rouge dan juga propaganda Barat semua menyumbang kepada pembentukan persepsi ini.
Agama mempunyai pengaruh besar ke atas populasi Malaysia. Kira-kira 80% masyarakat Melayu yang dikaji selidik beberapa tahun lalu berkata bahawa Islam adalah komponen identiti mereka yang terpenting, diikuti oleh kaum dan kewarganegaraan. Ada dalam kalangan masyarakat Melayu yang bimbang bahawa mereka akan menjadi terlalu “sekular” dan “akidah” mereka akan terjejas jika menyertai PSM. Konservatisme agama tidak terhad kepada masyarakat Islam. Sebagai contoh, dalam Pilihan Raya Kecil Ayer Kuning pada bulan April 2025, calon kami Bawani KS diserang kerana beliau seorang ateis.[13]
Respons PSM kepada persepsi ini adalah dengan mengutarakan bahawa:
- Kami berusaha untuk mewujudkan masyarakat yang lebih demokratik. Ini dilakukan di tempat kerja melalui pembentukan kesatuan, di peringkat komuniti melalui majlis komuniti, dan dengan pemulihan pilihan raya tempatan.
- Kami mengambil bahagian dalam pilihan raya, dan mengorganisasi kempen yang dibenarkan di bawah undang-undang negara.[14]
- Dalam pelbagai perjuangan rakyat PSM dalam 30 tahun lepas, tidak ada satu ketika PSM memulakan apa-apa bentuk keganasan.
Berkenaan persepsi bahawa golongan kiri menentang agama, PSM menegaskan bahawa kami bukan anti-agama. Tiada langsung apa-apa keperluan untuk meninggalkan agama kepercayaan diri sendiri untuk menjadi ahli PSM. Kami percaya bahawa agama itu adalah hal peribadi individu dan tidak sepatutnya ada paksaan untuk mengikut atau meninggalkan apa-apa agama. PSM terdiri daripada ahli-ahli yang menganut pelbagai agama, serta ahli ateis dan agnostik. Kami juga menekankan bahawa sosialisme, yang bertunjangkan solidariti bersama semua, termasuk golongan miskin dan yang dipinggirkan, adalah lebih dekat dengan prinsip agama daripada kapitalisme.
Ramai yang menganggap bahawa golongan kiri tidak ada kapasiti untuk menguruskan ekonomi moden. Malangnya, ada sedikit kebenaran dalam persepsi bahawa parti yang lebih kiri daripada parti demokrat sosial adalah idealistik dan tidak berpijak pada bumi nyata. Ada ramai dalam gerakan kiri yang tidak berfikir secara mendalam tentang pentadbiran dan program dalam lima tahun pertama selepas memenangi kuasa. Kita perlu beralih daripada kritikan kapitalisme dan imperialisme semata-mata dan menjelaskan dalam bahasa mudah bagaimana kita akan mengubah realiti sedia ada kepada satu realiti yang akan memberi kesaksamaan kepada semua. Kami perlukan pelan peralihan realistik yang boleh diterima rakyat biasa, bukan hanya setakat menjaja kepercayaan.
Dalam konteks Malaysia, penting untuk kami menjelaskan posisi kami tentang isu-isu berikut:
- Bagaimana dengan dana asing yang sudah dilaburkan ke dalam Malaysia? Kini, ekonomi kita berlandaskan eksport dan kita perlukan akses kepada pasaran. Nilai eksport Malaysia bersamaan dengan 75% KDNK. Pemisahan daripada sistem global yang terlalu cepat akan mengakibatkan kadar pengangguran yang tinggi dan kesengsaraan ekonomi.
- Adakah kami akan berusaha untuk mewujudkan ekonomi terancang seperti di Kesatuan Soviet, ataupun eknonomi pasaran dikawal selia yang membahagikan sumber mengikut mekanisme bekalan dan permintaan seperti di China?
- Apakah peranan perusahaan kecil dan sederhana dalam pelan ekonomi kami? Ramai daripada firma ini dimilik oleh masyarakat Cina. Adakah kami akan menjalinkan hubungan strategik dengan firma ini untuk mengukuhkan kebolehan berdikari Malaysia?
- Bagaimana untuk mengelakkan pemimpin gerakan kami dipengaruhi atau dibeli oleh kepentingan perniagaan?
- Adakah kami akan mengenakan tarif untuk melindungi industri penghasilan tempatan supaya dapat melaksanakan perintah gaji lebih tinggi? Jika ya, bagaimana kita boleh keluar daripada perjanjian perdagangan dan pelaburan yang telah ditandatangani? Perjanjian ini mengikat kita kepada rejim tarif sifar.
- Patutkah kami mengekalkan gaji rendah untuk memastikan industri kita tetap kompetitif, tetapi meningkatkan gaji sosial (penjagaan kesihatan bersubsidi, pengangkutan awam, pendidikan tinggi percuma, perumahan sosial, dan sebagainya)? Atau melaksanakan cukai pendapatan negatif untuk meningkatkan gaji semua pekerja ke tahap asas?
- Bagaimanakah kita akan mengurus defisit fiskal dan hutang negara RM1.2 trilion?[15] Pembayaran hutang kini berada di tahap RM56 bilion, atau 17% pendapatan kerajaan. Adakah kami akan menaikkan cukai korporat secara unilateral, atau bersama dengan ASEAN dan negara lain?
- Bolehkah kami menggunakan mekanisme pembiayaan hutang? Jika ya, ke tahap apa?
Ini adalah antara isu yang kita perlu perjelaskan jika gerakan kiri ingin mengambil alih pengurusan ekonomi moden yang dikait rapat dengan ekonomi kapitalis global. PSM sedang mendalami isu ini melalui Biro Kajian Dasar parti, tetapi ada banyak isu yang masih perlu dikupas.
Komen yang sering ditujukan kepada PSM, iaitu “kamu hanya aktivis yang memperjuangkan hak golongan terpinggir, teruskanlah menjadi NGO dan membuat kerja baik ini”, ada asasnya. Dalam erti kata lain, ramai yang tidak yakin tentang kebolehan PSM dalam menguruskan ekonomi, dan bimbang bahawa ini akan membawa kepada pelarian modal, pengangguran dan ketidakstabilan sosial. Kami perlu menjawab keresahan ini dengan memperjelaskan pemahaman kami mengenai isu ini, dan mencapai konsensus tentang kadar peralihan kepada sosialisme.
Selain daripada persepsi negatif daripada rakyat Malaysia, gerakan kiri juga berdepan dengan polarisasi etnik yang ketara. Selepas gerakan kiri dilumpuhkan pada akhir tahun 1960-an, semua parti politik utama — sama ada parti kerajaan atau pembangkang — adalah berasaskan etnik atau agama. Politik perkauman selama 50 tahun telah mewujudkan masyarakat yang sangat berpecah-belah. Populasi Melayu (kira-kira 60% populasi) rata-rata lebih miskin daripada masyarakat Cina (23%). Masyarakat Melayu masih resah jika tindakan afirmatif akan ditarik. Mereka bimbang menjadi “warganegara kelas kedua” dalam negara sendiri.
Ahli perniagaan Cina pula tidak berpuas hati kerana mereka tidak dilayan secara adil walaupun mencipta kekayaan untuk negara. Komuniti petani Cina yang telah mengusahakan tanah dari zaman sebelum Merdeka terus diusir dengan pampasan yang tidak memadai apabila tanah yang diusahakan oleh mereka digunakan untuk pembinaan rumah dan kilang. Masyarakat Cina bimbang bahawa sekolah vernakular mereka akan ditutup, dan kod pemakaian Islamik akan dipaksakan ke atas mereka.
Masyarakat pribumi Sabah dan Sarawak — Kadazan, Murut, Sulu, Bajau, Iban, Bidayuh, Kenyah, Kayan, Penan, dan lain-lain (10%) — berasa bahawa mereka dipinggirkan oleh kerajaan, dan hak tanah adat mereka tidak diendahkan. Masyarakat India (7%) tidak berpuas hati kerana tidak dimasukkan dalam program tindakan afirmatif dan tidak mendapat pekerjaan perkhidmatan awam, walaupun ada ramai yang memerlukan bantuan. Mereka juga bimbang bahawa lebih daripada 500 buah sekolah Tamil akan ditutup. Perobohan kuil Hindu juga sering mewujudkan ketegangan.
PSM cuba menyampaikan kepada rakyat bahawa:
- Ketidakpuasan hati dan kebimbangan semua komuniti adalah berasas, dan perlu ditangani dengan semangat solidariti. Perlembagaan Persekutuan Malaysia mengandungi formula yang agak seimbang untuk menyelesaikan kebanyakan isu ini. Namun, beberapa isu terus diungkitkan dan dimainkan oleh ahli politik untuk meraih undi.
- Kelas pekerja daripada semua komuniti perlu bersatu untuk menuntut agihan ekonomi yang lebih adil.
- Parti politik utama yang memainkan isu perkauman adalah pengkhianat kepada kelas pekerja, kerana mereka sengaja mengalihkan perhatian daripada isu teras: 55% kekayaan yang dicipta oleh kelas pekerja disalurkan kepada golongan 3% teratas; manakala 97% rakyat Malaysia pula hanya ditinggalkan dengan 29% kekayaan.
Selain daripada isu di atas, penindasan oleh pihak berkuasa masih berterusan. Ini kerap digunakan untuk melumpuhkan gerakan kiri pada zaman lampau.[16] Kebarangkalian kuasa autoritarian ini digunakan ke atas gerakan kiri masih tinggi, terutamanya jika kita berjaya meraih cukup sokongan daripada rakyat dan mengancam status quo.
Ternyata bahawa gerakan kiri di Malaysia berdepan dengan cabaran yang perit. Walau bagaimanapun, PSM percaya bahawa kami ada idea yang betul untuk membawa negara ini ke hadapan. Dan kami sedang bekerja keras untuk membina gabungan parti dan gerakan rakyat progresif yang boleh memenangi kuasa.
==========
Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Tulisan ini diterbitkan dalam laman sesawang Tricontinental: Institute for Social Research dan diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Jason S Ganesan. Tulisan asal dalam bahasa Inggeris boleh dibaca di sini.
==========
Nota:
1. Kadar kematian tahunan bagi pekerja migran di dalam ladang pernah mencecah 10% kerana malnutrisi, malaria, penyakit lain, dan gigitan ular.
2. Kevin Hewison dan Jim Glassman, Class, Economy and Politics in South East Asia (University of the Philippines Center for Integrative and Development Studies, 2024).
3. Enakmen Tanah Padi 1917.
4. Dato’ Maharaja Lela membunuh residen Perak James W.W. Birch pada tahun 1875, yang membawa kepada Perang Perak. Beliau Dibunuh oleh British pada tahun 1877. Ada pembesar lain seperti Mat Kilau dan Dato’ Bahaman yang melawan penjajahan British.
5. Pihak Jepun menggalakkan nasionalis India membentuk Tentera Kebangsaan India (INA) di bawah pimpinan Subash Chandra Bose. Tentera ini melawan di sisi Jepun di sempadan Burma-India.
6. Chin Peng, Alias Ching Peng: My Side of History (Media Masters, 2003).
7. UNICEF. Children Without: A Study of Urban Child Poverty and Deprivation in Low-cost Flats in Kuala Lumpur (UNICEF, 2018).
8. Mekanisme ISDS membolehkan pelabur asing membawa kes terhadap negara hos kepada tribunal di Hong Kong, Eropah dan Amerika Syarikat.
9. ISA membolehkan Menteri Dalam Negeri menahan orang yang disyaki menjadi ancaman kepada keselamatan negara selama dua tahun tanpa perlu membawanya ke mahkamah. Tempoh ini boleh dilanjutkan mengikut kehendak menteri. Ada individu yang pernah ditahan selama 20 tahun di bawah akta ini. ISA dimansuhkan pada tahun 2013.
10. Bumiputera adalah istilah yang digunakan untuk etnik Melayu yang merupakan 60% populasi Malaysia dan masyarakat pribumi Sabah dan Sarawak yang membentuk 10% populasi.
11. Anwar didakwa melakukan jenayah liwat. Beliau dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan pada tahun 2004.
12. Keputusan Barisan Nasional dalam PRU dari tahun 2004 hingga 2022. Perlu dinyatakan bahawa ada ahli BN yang meninggalkan gabungan selepas PRU 2018, dan juga selepas PRU 2022.
| Tahun | Kerusi dimenangi BN |
| 2004 | 198 |
| 2008 | 140 |
| 2013 | 132 |
| 2018 | 79 |
| 2022 | 30 |
13. Kami hanya mendapat 6.3% undian. Namun kami berjaya mencapai matlamat kami — pendedahan dalam media arus perdana dan video tentang kerja kami di media sosial.
14. PSM mengorganisasi kempen yang menonjolkan isu yang memberi kesan kepada rakyat. Semasa menulis rencana ini, kempen terakhir kami adalah kempen pencen warga emas untuk menangani isu kemiskinan warga emas. Kami sedang menjalankan kempen untuk menyelamatkan sistem kesihatan awam negara yang dibiarkan merosot.
15. KDNK Malaysia adalah RM1.8 trilion pada akhir tahun 2024.
16. Enam orang ahli PSM ditahan di bawah Ordinan Darurat pada tahun 2011 dan disiasat kerana “cuba mewujudkan kembali pemberontakan bersenjata.” Seperti ISA, Ordinan Darurat membolehkan orang yang disyaki ditahan tanpa perbicaraan. Selepas berkempen dengan hebat selama sebulan, enam orang ahli PSM ini akhirnya dibebaskan.
