
KUALA LUMPUR: Kira-kira 200 orang berarak di jalanan ibu negara pada 8 Mac 2026 untuk menyambut Hari Wanita Sedunia dengan pelbagai seruan demi menegakkan hak wanita dan kesamarataan gender. Perarakan Wanita Malaysia telah dianjurkan secara bersama oleh aktivis-aktivis daripada pelbagai latar belakang sejak tahun 2017, untuk menyuarakan tuntutan berkaitan hak wanita dan kesamarataan gender. Tema Perarakan Wanita Malaysia tahun ini ialah “Bangkit: Bantah” (Edisi Malam).
Para peserta aksi telah berhimpun di hadapan Pasar Raya SOGO sebelum berarak ke Dataran Merdeka. Mereka yang berarak telah membawa pelbagai sepanduk dan plakad yang mengetengahkan tuntutan hak wanita, di samping melaungkan pelbagai slogan dengan penuh bersemangat. Setelah tiba di Dataran Merdeka, para peserta berbuka puasa bersama dan kemudiannya disusuli ucapan daripada wakil-wakil masyarakat sivil yang memfokus pada 7 tuntutan utama yang dibawa dalam Perarakan Wanita Malaysia tahun ini.

7 tuntutan yang dikemukakan dalam aksi Perarakan Wanita Malaysia tahun ini ialah:
1. Hentikan semua konflik bersenjata dan genosid; pembebasan untuk semua
- Mendesak Malaysia untuk mempertahankan dasar luar yang berprinsip, yang menyokong penentuan nasib sendiri, hak asasi manusia, dan keadilan antarabangsa;
- Menuntut institusi-institusi Malaysia agar menyokong gerakan BDS (Boikot, Penyahlaburan dan Sekatan) serta menyahlabur daripada syarikat transnasional yang mengaut keuntungan daripada peperangan, termasuk Lockheed Martin, Boeing, BlackRock, Caterpillar dan BAE Systems;
- Membatalkan pameran senjata NATSEC 2026 yang meraih keuntungan daripada pembunuhan beramai-ramai dan jenayah perang di Palestin, Sudan, Papua Barat, Myanmar dan wilayah lain;
- Menamatkan penglibatan Malaysia dalam campur tangan kolonial dan imperialis melalui latihan ketenteraan bersama seperti Rim of the Pacific Exercise (RIMPAC) dan bentuk ketenteraan lain yang memberi kesan kepada Venezuela, Iran, Kuba dan Palestin melalui Lembaga Keamanan yang diterajui Trump;
- Menamatkan penyertaan Malaysia dalam perjanjian perdagangan dan keselamatan imperialis (neoliberal), termasuk menarik diri daripada Perjanjian Perdagangan Timbal Balik yang mencabuli kedaulatan petani, pekerja dan masyarakat Orang Asal di Malaysia;
- Membina perjuangan massa untuk menentang kapitalisme yang mewujudkan kondisi penindasan dan ketidakadilan;
- Memiliknegarakan sektor-sektor ekonomi utama secara demokratik di bawah kawalan pekerja bagi menentang agenda imperialis dan kapitalis yang berteraskan pengumpulan kekayaan dan peluasan kuasa.
2. Pastikan keadilan ekonomi dan hak buruh untuk semua pekerja di sektor formal dan bukan formal tanpa mengira kewarganegaraan, dokumen atau ketidakupayaan
- Perlindungan untuk buruh migran daripada dieksplotasi secara kewangan dan penderaan;
- Membina satu pelan ekonomi yang komprehensif dan mesra jantina untuk mengagihkan semula usaha perlindungan dan menyokong Wanita yang bekerja dalam sektor penting;
- Melindungi migran yang telah berkahwin dengan memadamkan halangan struktur yang menghalang mereka bekerja, memberikan status sah untuk hidup dan hak untuk bekerja tanpa dikawal oleh pasangan terdekat, dan menjanjikan akses penuh kepada hak buruh dan perlindungan agar membina kesejahteraan kekeluargaan, keterangkuman sosial dan maruah;
- Menyeru agar semua pekerja ekonomi gig diperaku sebagai pekerja yang dilindungi di bawah Akta Kerja 1955.
3. Hapuskan semua bentuk keganasan dan diskriminasi terhadap golongan minoriti gender dan seksual oleh pihak kerajaan dan bukan kerajaan, serta memastikan perlindungan, hak dan penyertaan penuh mereka dalam masyarakat
- Menamatkan serta-merta serbuan penguatkuasaan agama, operasi rentas sempadan antara pihak berkuasa sivil dan Syariah, amalan perangkap serta penahanan sewenang-wenangnya yang menyasarkan golongan minoriti jantina dan seksual;
- Menghentikan sokongan, pembiayaan dan promosi kerajaan terhadap program “penukaran” atau “pemulihan” yang menyasarkan golongan minoriti seksual dan jantina;
- Melaksanakan moratorium serta-merta di peringkat nasional terhadap penangkapan, siasatan dan pendakwaan yang berasaskan orientasi seksual, identiti jantina atau ekspresi jantina;
- Mengiktiraf hak setiap individu di Malaysia untuk menentukan identiti jantina mereka sendiri tanpa keperluan perubatan yang bersifat invasif, penghinaan kehakiman atau penghakiman moral;
- Memastikan jaminan perlembagaan mengenai kesamarataan, maruah dan kebebasan diri terpakai sepenuhnya kepada individu transgender dan kepelbagaian jantina;
- Menyediakan latihan kepada badan kehakiman dan penguat kuasa mengenai sensitiviti jantina, hak perlembagaan dan prinsip tanpa diskriminasi;
- Menamatkan diskriminasi terhadap golongan minoriti seksual dan jantina dalam kemudahan kesihatan awam dan swasta di Malaysia, khususnya terhadap mereka yang hidup dengan HIV;
- Menjamin akses sejagat, mampu milik dan bebas stigma kepada pencegahan, ujian, rawatan HIV, perkhidmatan kesihatan mental serta penjagaan kesihatan yang mengesahkan jantina.
- Mengiktiraf persilangan antara kelas, status migran, identiti jantina dan kerentanan kesihatan, serta memperluas pembiayaan untuk perkhidmatan kesihatan berasaskan komuniti.
4. Pastikan keadilan iklim melalui penyelesaian yang responsif terhadap gender dan menekankan kepimpinan, penciptaan dunia dan sistem-sistem pengetahuan Orang Asal
- Menamatkan aktiviti-aktiviti yang merosakkan alam seperti penebangan hutan dan perampasan tanah yang tidak sah yang menyebabkan Orang Asli dan Orang Asal hilang tempat tinggal mereka dan dipinggirkan;
- Menangani krisis iklim yang berlandaskan kaedah yang mesra jantina dengan menampung secara ikhlas kepimpinan, pengetahuan dan penentuan keputusan oleh Wanita dan perempuan Orang Asli dan Orang Asal.
5. Mempertahankan semua hak kanak-kanak untuk hidup, berkembang dan bermain dengan bekerjasama dengan mereka untuk membina komuniti-komuniti dan ruang-ruang yang mesra kanak-kanak
- Menitikberatkan pandangan kanak-kanak dan mengamalkan kaedah yang menggalakkan penyertaan kanak-kanak untuk menyebarkan keputusan dan polisi yang melibatkan mereka;
- Menamatkan segala keganasan yang dibantu teknologi terhadap kanak-kanak dengan menekan pelantar-pelantar yang berkenaan yang membenarkan algoritma mereka mengutamakan keuntungan daripada keselamatan kanak-kanak.
6. Mansuhkan undang-undang zalim dan penapisan disahkan oleh kerajaan yang mengehadkan hak kebebasan bersuara dan berhimpun
- Mengugurkan atau mengubah suai undang-undang yang mengehadkan kebebasan bersuara seperti Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan;
- Menambah baik Akta Perhimpunan Aman untuk menjamin hak untuk menunjuk perasaan secara aman, menamatkan sebarang hukuman terhadap pihak penganjur dan penunjuk perasaan dan mewajibkan satu cara yang lebih mesra dan berlandaskan hak asasi manusia ketika menguruskan atau mengawasi perhimpunan awam.
7. Bina proses-proses akauntabiliti yang lebih kukuh untuk semua teknologi baharu muncul, termasuk kecerdasan buatan (AI), yang menumpu terhadap hak-hak rakyat dan bukannya syarikat
- Membina satu sistem akauntabiliti yang mengembangkan keupayaan memerintah secara demokratik, sistem dan struktur yang lebih kuat dengan prinsip-prinsip yang menekankan keselamatan, supaya sistem kecerdasan buatan dapat digunakan dengan lebih telus dengan pengungkapan disampaikan kepada para pengguna yang menggunakan kecerdasan buatan dalam sektor yang sangat kritikal;
- Mengkaji impak kecerdasan buatan untuk menjamin hak asasi manusia adalah terbabit dalam kitaran hidup kecerdasan buatan dan kebaikan terhadap masyarakat lebih dominan berbanding penjanaan keuntungan;
- Merangkumi pelbagai kaum dan lapisan masyarakat untuk menghapuskan sebarang diskriminasi yang terkandung dalam data kecerdasan buatan yang melambangkan diskriminasi kaum atau keagamaan yang sudah ada di dalam masyarakat.

























Aktivis-aktivis PSM turut menyertai Perarakan Wanita Malaysia tahun ini untuk memberi sokongan kepada usaha perjuangan hak wanita dan kesamarataan gender. Aktivis-aktivis PSM Perak juga mengadakan satu perhimpunan di Ipoh untuk menuntut kesaksamaan gender, penghentian keganasan berasaskan gender dan penghapusan sistem patriarki.

