oleh R. Saratbabu Raman

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyeru Menteri Sumber Manusia yang baharu supaya menyegerakan pelaksanaan perlindungan 24 jam di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang telah diluluskan di Parlimen pada penghujung tahun lalu melalui pindaan kepada Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Pindaan ini merupakan satu langkah besar dan positif bagi kaum pekerja. Namun, tanpa pelaksanaan segera dan jelas, ia masih belum memberi kesan sebenar kepada pekerja. PSM menegaskan bahawa fokus kini harus beralih daripada pengumuman dasar kepada tindakan pentadbiran.

Malaysia mempunyai lebih 16 juta tenaga buruh, dengan sekitar dua pertiga daripadanya berada dalam sektor formal dan mencarum kepada PERKESO. Ini bermakna jutaan pekerja menyumbang secara konsisten kepada sebuah dana keselamatan sosial yang sepatutnya memberi perlindungan yang menyeluruh apabila berlaku musibah pada pekerja.

Dari sudut dasar kerajaan, perlindungan 24 jam bukan hanya soal kebajikan, tetapi cara untuk melindungi rakyat daripada risiko kewangan apabila berlaku kemalangan atau kecederaan. Negara yang mempunyai sistem perlindungan sosial yang kukuh biasanya lebih cepat memulihkan keadaan ekonomi selepas krisis, kerana keluarga pekerja masih mempunyai sumber pendapatan walaupun pencari nafkah mengalami kecederaan atau hilang upaya.

PERKESO, yang diasaskan sejak zaman Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein, mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan wang caruman pekerja digunakan bagi memberi perlindungan yang terbaik, dan bukan disekat oleh syarat atau tafsiran yang terlalu ketat.

Justeru, PSM menyeru Menteri Sumber Manusia baharu untuk:

  1. Umumkan tarikh kuat kuasa yang jelas bagi perlindungan 24 jam.
  2. Kemukakan pelan persediaan sistem tuntutan dan pastikan pegawai yang menilai kes mencukupi serta bersedia.
  3. Jalankan kempen penerangan nasional supaya pekerja memahami hak baharu mereka.

Hak pekerja tidak boleh ditangguhkan hanya kerana urusan dalaman yang belum selesai. Pelaksanaan segera adalah tanggungjawab yang harus diambil oleh kerajaan.

==========

R. Saratbabu Raman ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Biro Pekerja PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *