(Dari kiri) Suhaizan Kaiat (Pengerusi JKPK Kesihatan), Dr. Jeyakumar Devaraj (Pengerusi Nasional PSM) dan Gandipan Nantha Gopalan (Ahli Jawatankuasa Pusat PSM).

Berikut ialah isi kandungan memorandum yang diserahkan oleh Jawatankuasa Kempen Selamatkan Sistem Kesihatan Awam kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) Kesihatan pada 25 Februari 2026.

Memorandum ini telah diterima oleh Suhaizan Kaiat selaku Ahli Parlimen Pulai merangkap Pengerusi JKPK Kesihatan, bersama-sama Tan Kar Hing selaku Ahli Parlimen Gopeng merangkap Naib Pengerusi JKPK Kesihatan dan Onn Abu Bakar selaku Ahli Parlimen Batu Pahat yang juga merupakan salah seorang Ahli JKPK Kesihatan.

==========

Kami mengemukakan memorandum ini dengan penuh hormat dan dalam semangat kerjasama, selaras dengan peranan penting Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) Kesihatan sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap dasar serta pelaksanaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tujuan memorandum ini adalah untuk menarik perhatian Ahli Parlimen terhadap beberapa perkembangan dasar yang, pada pandangan kami, berisiko menjejaskan kelestarian sistem kesihatan awam sekiranya tidak dinilai secara menyeluruh oleh Parlimen. Isu-isu utama yang kami bangkitkan ialah pelaksanaan Skim Rakan KKM, pertumbuhan pesat hospital swasta dan pelancongan kesihatan, krisis kekurangan doktor pakar dalam sektor awam, serta keperluan peningkatan peruntukan kesihatan kepada 5% KDNK.

Ketidakseimbangan struktur: Pesakit awam vs pakar awam

Malaysia sedang menghadapi ketidakseimbangan yang serius antara keperluan pesakit dan pengagihan doktor pakar. Sekitar 75% pesakit dalam dirawat di hospital awam, namun hanya kira-kira 25% doktor pakar berpengalaman lebih lima tahun berkhidmat dalam sektor awam. Ketidakseimbangan ini menyebabkan masa menunggu yang panjang, penangguhan prosedur kritikal dan tekanan berterusan terhadap petugas kesihatan.

Berdasarkan perkongsian Dr. Dzulkefly Ahmad di Parlimen pada bulan Julai 2025, sebanyak 9,233 orang pesakit berada dalam senarai menunggu untuk pembedahan katarak di 56 buah hospital kementerian di seluruh negara dengan tempoh menunggu purata selama tiga bulan. Selain itu, seramai 2,661 orang pesakit menunggu prosedur berkaitan batu karang buah pinggang seperti percutaneous nephrolithotomy dan retrograde intrarenal surgery di 13 buah hospital yang mempunyai residen pakar, dengan tempoh menunggu purata selama 11 bulan. Bagi pembedahan kardiotorasik utama, termasuk pembedahan pintasan arteri koronari dan pembedahan injap jantung, terdapat 2,293 orang pesakit dalam senarai menunggu dengan tempoh purata tujuh bulan. Sementara itu, pembedahan kardiotorasik pediatrik mencatatkan 603 kes elektif yang masih menunggu dengan tempoh menunggu purata paling lama, iaitu 21 bulan.

Dalam konteks ini, pertumbuhan agresif hospital swasta memburukkan lagi keadaan. Setiap pembukaan hospital swasta baharu lazimnya disertai dengan pengambilan doktor pakar dari hospital kerajaan dengan tawaran imbuhan yang jauh lebih tinggi. Sebagai contohnya, pihak pengurusan Sunway Medical Centre Ipoh yang baru dilancarkan telah berjaya merekrut 12 orang doktor pakar kerajaan dengan tawaran skim “top up” sehingga RM70,000 sebulan untuk tahun pertama perkhidmatan. Dalam keadaan sedemikian, insentif tambahan beberapa ribu ringgit melalui skim dalaman seperti Rakan KKM sukar menandingi tarikan sektor swasta.

Jika trend ini berterusan, kapasiti sektor awam untuk memenuhi keperluan majoriti rakyat akan terus terhakis.

Skim Rakan KKM: Sistem dua lapis

Kami memahami bahawa Skim Rakan KKM diperkenalkan dengan niat untuk mengekalkan doktor pakar dalam sektor awam dan menjana pendapatan tambahan bagi menaik taraf kemudahan kesihatan. Namun, berdasarkan pengalaman skim terdahulu seperti Skim Perkhidmatan Pesakit Bayaran Penuh (FPP), beberapa kebimbangan wajar diberi perhatian serius.

Kajian menunjukkan bahawa dalam model dwi-amalan, pesakit berbayar menikmati masa menunggu jauh lebih singkat berbanding pesakit awam. Ini menimbulkan risiko wujudnya sistem dua lapis dalam hospital kerajaan: satu untuk yang mampu membayar, satu lagi untuk majoriti rakyat.

Dalam keadaan sumber pakar yang terhad, pengagihan masa dan tenaga kepada pesakit berbayar berpotensi meningkatkan lagi masa menunggu pesakit tidak berbayar. Ini bercanggah dengan prinsip Liputan Kesihatan Sejagat (UHC) yang menjamin akses saksama tanpa mengira kemampuan kewangan.

Selain itu, pelaksanaan melalui entiti korporat menimbulkan persoalan tadbir urus: sejauh mana kemudahan yang dibeli melalui unit pesakit berbayar boleh diakses oleh pesakit awam? Bagaimana ketelusan aliran pendapatan dan perbelanjaan akan dipastikan? Adakah ini membuka ruang kepada perkembangan logik pasaran dalam institusi awam?

Kami mencadangkan agar JKPK Kesihatan menjalankan penilaian impak yang menyeluruh dan mengadakan sesi pendengaran awam sebelum perluasan skim ini diteruskan.

Pelancongan kesihatan dan moratorium hospital swasta sekurang-kurangnya untuk 5 tahun

Kempen Malaysia Year of Medical Tourism 2026 serta penggunaan dana awam untuk mempromosikan pelancongan kesihatan menimbulkan persoalan keutamaan dasar.

Walaupun pelancongan kesihatan menyumbang kepada ekonomi, ia turut:

  • Meningkatkan permintaan terhadap doktor pakar di hospital swasta;
  • Menggalakkan pelaburan dalam fasiliti premium;
  • Mendorong kenaikan kos rawatan swasta.

Kapasiti katil hospital swasta dijangka meningkat secara signifikan dalam beberapa tahun akan datang. Tanpa kawalan, pertumbuhan ini akan mempercepatkan penghijrahan doktor pakar dari sektor awam.

Sehubungan itu, kami mencadangkan moratorium lima tahun terhadap pembukaan hospital swasta baharu. Langkah ini bukan bertujuan untuk menghukum sektor swasta sedia ada, tetapi untuk menstabilkan ekosistem tenaga kerja kesihatan negara. Moratorium sementara akan memberi ruang kepada kerajaan untuk memperkukuhkan sektor awam tanpa tekanan persaingan agresif dalam perekrutan doktor pakar.

Keperluan meningkatkan peruntukan kesihatan awam kepada 5% KDNK

Sistem kesihatan awam Malaysia telah lama beroperasi dengan kekangan kewangan. Peruntukan kesihatan negara berada sekitar 2-2.3% KDNK, lebih rendah berbanding banyak negara lain. Kekurangan dana kronik menjejaskan:

  • Pengambilan dan pengekalan tenaga kerja;
  • Naik taraf infrastruktur dan peralatan;
  • Kualiti serta capaian perkhidmatan.

Kami mencadangkan pelan peningkatan berperingkat kepada 5% KDNK dalam tempoh lima tahun. Ini adalah pelaburan strategik dalam produktiviti nasional, kesejahteraan rakyat dan kestabilan sosial.

Perbincangan mengenai sumber hasil wajar melibatkan kajian semula struktur percukaian dan pengagihan hasil negara. Dalam jangka panjang, pembiayaan mampan sistem kesihatan memerlukan komitmen fiskal yang lebih kukuh.

Realiti kewangan

Kami memang sedar, Kerajaan Malaysia sedang menanggung hutang sebanyak RM1.2 trilion pada masa ini, dan defisit dalam Belanjawan 2026 adalah dijangka lebih kurang 3.5% KDNK. Tetapi adalah penting untuk kita menyiasat mengapa ini berlaku dalam sebuah negara yang telah mengalami pertumbuhan KDNK pada kadar 3% hingga 8% setahun untuk 30 tahun yang lalu.

Peningkatan KDNK per kapita (sebenar) di Malaysia

KDNK

Tahun 1970 = RM10.7 bilion

Tahun 2019 = RM1,500 bilion

1,500 dibahagi 10.7 = 140.2 

Inflasi = 540%

140.2 dibahagi 5.04 = 25.96 (dalam nilai sebenar) 

Populasi: 10 juta ke 32 juta

25.96 dibahagi 3.2 = 8.11 (dalam nilai sebenar per kapita) 

Mengikut analisis kami, pada tahun 2019, KDNK per kapita dalam nilai sebenar (iaitu selepas mengambil kira kesan inflasi) adalah lapan kali lebih besar berbanding tahun 1970. Tetapi, pendapatan kerajaan, diukur sebagai nisbah kepada KDNK menurun daripada 30% KDNK pada tahun 1980-an kepada 16% KDNK kini, seperti yang ditunjukkan dalam carta di bawah.

Sebab utama untuk fenomena ini (yang berlaku di hampir semua negara di dunia kita) adalah kerana cukai korporat di Malaysia, yang merupakan sumber utama bagi pendapatan kerajaan, telah dikurangkan secara berperingkat daripada 40% terhadap keuntungan korporat pada tahun 1988 kepada 24% terhadap keuntungan korporat tahun ini. Malaysia terlibat dalam satu “perlumbaan ke paras terbawah” dengan negara-negara jiran kita di ASEAN kerana kita sedang bersaing untuk pelabur asing. Cukai korporat di negara Thailand adalah 20% keuntungan korporat pada masa ini, dan ia hanya 17% di Singapura.  

Perlumbaan ke paras terbawah ini tidak ditakdir oleh Tuhan. Mungkin ia disyorkan dan digalakkan oleh Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Apakah halangan kepada usaha berdialog dengan negara-negara jiran kita di ASEAN untuk menghentikan perlumbaan ini, yang menyekat kapasiti kerajaan untuk menjaga rakyat dan alam sekitar? Inilah soalan kami kepada Kerajaan MADANI dan juga kerajaan-kerajaan negara jiran.

Pada kami, sebarang usaha untuk memindahkan beban kewangan kepada bahu rakyat awam melalui potongan gaji wajib untuk membiayai perbelanjaan kesihatan, ataupun melalui cukai seperti GST, adalah tidak bertanggungjawab di sebuah negara di mana gaji telah ditekan ke paras yang rendah – pekerja kilang elektronik di Bayan Lepas menikmati gaji yang hanya satu perlapan gaji pekerja kilang elektronik di California walaupun mesin dan teknologi yang digunakan oleh mereka adalah sama.

Pada kiraan kami, pengagihan pendapatan nasional adalah seperti yang ditunjukkan dalam satu lagi carta di bawah:

Kami faham, jika Malaysia meningkatkan cukai korporat atau cukai terhadap individu kaya secara bersendirian, ada kemungkinan pelabur akan berpindah ke negara jiran dan penjanaan kerja di negara kita akan merudum. Tetapi, jika peningkatan cukai korporat boleh diselaraskan antara Malaysia, Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina, kesan negatif terhadap ekonomi kita dapat diminimumkan.

Adakah konsep ini dibawa untuk perbincangan dalam kalangan pemimpin dan perancang ekonomi negara? Memang, cadangan ini akan mengambil masa untuk dapat konsensus dalam kalangan negara-negara ASEAN. Tetapi adakah usaha untuk membincangkan isu penting ini telah bermula? Itulah soalan kami kepada Kerajaan MADANI.

Cadangan tambahan untuk pertimbangan JKPK

Selain perkara di atas, kami mencadangkan:

  1. Penangguhan dan kajian semula Skim Rakan KKM sehingga analisis impak dibentangkan kepada Parlimen.
  2. Moratorium lima tahun terhadap hospital swasta baharu.
  3. Penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan yang berasingan bagi membolehkan struktur imbuhan lebih kompetitif dan fleksibel.
  4. Memperkenalkan siling caj hospital swasta, termasuk caj penggunaan dewan bedah, ujian diagnostik dan peranti perubatan.
  5. Audit Parlimen terhadap kesan pelancongan kesihatan terhadap tenaga kerja pakar awam.

Sistem kesihatan bukan sekadar isu teknikal atau fiskal; ia mencerminkan komitmen negara terhadap keadilan sosial. Malaysia telah membina sistem kesihatan awam yang dihormati di rantau ini. Namun, tanpa campur tangan dasar yang tegas dan berpaksikan kesaksamaan, kita berisiko mewujudkan sistem dua darjat yang meminggirkan majoriti rakyat.

Kami percaya JKPK Kesihatan mempunyai peranan penting untuk memastikan setiap dasar dinilai dari segi kesan jangka panjang terhadap keadilan akses dan kelestarian sistem.

Kami berharap memorandum ini dapat menjadi asas kepada dialog lanjut dan penelitian mendalam oleh Jawatankuasa.

Kesihatan adalah hak rakyat.

==========

Jawatankuasa Kempen Selamatkan Sistem Kesihatan Awam ialah inisiatif Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk mengetengahkan 4 tuntutan utama, iaitu hentikan Skim Rakan KKM, moratorium terhadap hospital swasta baharu untuk lima tahun akan datang, tingkatkan peruntukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada 5% KDNK, dan wujudkan siling untuk caj-caj hospital swasta. Tandatangani petisyen dalam talian kempen ini di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *