oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Dalam Forum Ekonomi Malaysia 2026 yang diadakan baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, menggariskan ciri-ciri utama rancangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk “RESET” sistem kesihatan Malaysia. Pada pandangan pertama, strategi baharu KKM mungkin nampaknya komprehensif dan munasabah, kerana ia cuba menangani beberapa masalah utama yang sedang melanda perkhidmatan kesihatan awam kita. Namun, kami berpendapat bahawa ia tidak menangani beberapa isu penting dengan secukupnya.

Pertama sekali, marilah kita meninjau sepintas lalu rancangan “RESET” KKM ini.

Terdapat lima komponen utama dalam rancangan “RESET” ini.

1. Skim Rakan KKM ialah komponen penting dalam “RESET”. Skim ini melibatkan pembukaan klinik khas di dalam hospital kerajaan, di mana pesakit-pesakit berbayar boleh “memotong barisan” dan berjumpa dengan doktor pakar pilihan mereka. Jika perlu, doktor pakar yang dipilih mereka akan melakukan apa jua prosedur skop, pembedahan atau prosedur lain yang diperlukan – dengan bayaran yang mungkin kira-kira 70% hingga 80% daripada bayaran yang dikenakan di hospital swasta. Alasan untuk Rakan KKM adalah tiga serangkai. Yang pertama, ia diharapkan bahawa pendapatan tambahan yang diperolehi doktor-doktor pakar kerajaan daripada klinik ini akan mendorong mereka untuk kekal dalam perkhidmatan kerajaan. Yang kedua, wang yang dikutip oleh kerajaan daripada pesakit-pesakit berbayar untuk pemeriksaan, penggunaan bilik pembedahan dan skop, ubat-ubatan dan sebagainya, akan menambah dana Kementerian Kesihatan. Dan yang ketiga, harga yang lebih rendah di klinik-klinik Rakan KKM akan bertindak sebagai benteng harga bayaran untuk hospital swasta. Hospital swasta akan dikekang daripada menaikkan bayaran ke tahap terlalu tinggi kerana pesakit-pesakitnya mempunyai pilihan untuk pergi ke klinik Rakan KKM. Dengan itu, inflasi dalam kos kesihatan di Malaysia akan dapat dikawal sehingga tahap tertentu.

2. Sebuah Tabung Kesihatan Kebangsaan akan diwujudkan untuk menerima pendapatan yang diperoleh daripada klinik Rakan KKM. Wang yang diperoleh ini tidak akan disalurkan kepada Kumpulan Wang Disatukan seperti yang berlaku pada masa ini untuk semua bayaran yang dikutip oleh hospital-hospital dan klinik-klinik kerajaan, sebaliknya akan dimasukkan ke dalam tabung ini, dan akan digunakan untuk menaik taraf sistem kesihatan awam. Peruntukan kepada KKM dalam Belanjawan 2026 ialah RM46.52 bilion. Walaupun ini merupakan peruntukan yang kedua tertinggi bagi kementerian, ia tidak mencukupi untuk menanggung semua kerja pembaikan, perolehan dan penaiktarafan yang diperlukan. Pendapatan tambahan daripada Rakan KKM akan mengisi sebahagian daripada kekurangan dana. (nota 1)

3. Komponen ketiga ialah MHIT Asas (Medical Health Insurance / Takaful) yang akan diwujudkan oleh kerajaan. Ia digambarkan sebagai polisi insurans kesihatan asas tanpa faedah tambahan dengan ciri-ciri seperti bayaran bersama dan had tahunan (misalnya RM100,000 setahun) untuk mendorong pesakit-pesakit supaya menggunakan kemudahan ini secara bijak dan mengekalkan kos pada tahap rendah. (nota 2) Selain menawarkan polisi insurans yang lebih mampu ditanggung bagi rakyat kita, MHIT Asas juga akan membantu dalam mengurangkan inflasi dalam pakej insurans kesihatan yang ditawarkan oleh sektor swasta, kerana pesakit-pesakit kini mempunyai pilihan untuk bertukar kepada MHIT kerajaan.

4. Rekod Perubatan Elektronik (EMR) ialah komponen keempat dalam “RESET”. Ini akan mengurangkan kos dan juga masa, kerana semua pemeriksaan dan rawatan yang dilakukan dalam sektor kerajaan dan sektor swasta akan dimuat naik ke dalam EMR pesakit. Ini akan mengurangkan pertindihan dalam pemeriksaan.

5. Kerajaan akan memperkenalkan sistem DRG (Diagnosis Related Group) untuk pengebilan oleh sektor swasta. Hospital swasta hanya boleh mengenakan bayaran dalam jumlah tetap bagi setiap DRG. Ini akan mengurangkan caj berlebihan oleh hospital swasta.

Kami di PSM mempunyai kritikan terhadap beberapa aspek dalam strategi “RESET” ini. Dr. Dzulkefly telah menuduh kami menyeleweng fakta dan bermain politik. Namun, kami memang mempunyai alasan yang sah, seperti yang dihuraikan di bawah.

A) Pada masa ini, hanya 25% daripada doktor pakar dengan pengalaman lebih 5 tahun selepas pengkhususan berada dalam sektor awam. Namun, 75% pesakit dalam dirawat oleh sektor awam. Oleh itu, terdapat ketidakpadanan sumber yang besar, dan pesakit-pesakit di hospital kerajaan terpaksa melalui masa menunggu yang lama untuk berjumpa dengan doktor pakar. Rakan KKM adalah baik untuk golongan T20 dan golongan atasan M40 yang mampu pergi ke sektor swasta, kerana mereka kini mempunyai lebih banyak pilihan. Jika sektor swasta lebih mahal, golongan kelas menengah atasan boleh beralih kepada Rakan KKM. Tetapi ini menjejaskan 75% pesakit Malaysia yang bergantung sepenuhnya pada sistem kesihatan awam. Akses mereka kepada doktor pakar kerajaan akan terjejas lebih lanjut lagi dan masa menunggu mereka akan meningkat lagi.

Inilah sebabnya kenapa kami meminta untuk membatalkan skim Rakan KKM. Ia pasti akan meminggirkan lagi rakyat 70% terbawah.

B) Kami tidak percaya bahawa pendapatan tambahan RM3,000 hingga RM6,000 yang dapat diperoleh doktor pakar kerajaan melalui Rakan KKM boleh menangkis amalan hospital swasta yang bersifat pemangsa. Sebagai contoh, apabila Kumpulan Sunway membuka sebuah hospital baharu di Ipoh tahun lalu, 12 orang doktor pakar dari Hospital Besar Ipoh dan 4 orang lagi doktor pakar dari hospital kerajaan lain meletak jawatan daripada perkhidmatan kerajaan untuk bekerja di Pusat Perubatan Sunway Ipoh. Sesetengah doktor pakar ini memberitahu kami bahawa mereka telah diberi jaminan pendapatan bulanan sebanyak RM70,000 bagi tahun pertama. Kumpulan Sunway berjanji untuk menambah pendapatan mereka sehingga RM70,000 sebulan jika jumlah pesakit mereka tidak mencukupi untuk mencapai sasaran ini. Kesan daripada pengambilan kerja yang agresif, 2 orang pakar anestetik, seorang pakar kardiologi, seorang pakar dermatologi, seorang pakar perubatan kecemasan, seorang pakar ENT, seorang pakar gastroenterologi, seorang pakar pembedahan am, seorang pakar geriatrik, seorang pakar pembedahan neurologi, seorang pakar onkologi, 2 orang pakar pediatrik, seorang pakar radiologi, seorang pakar perubatan pernafasan dan seorang pakar urologi meletak jawatan daripada perkhidmatan kerajaan pada tahun 2025 untuk menyertai Pusat Perubatan Sunway Ipoh. Bagaimana pendapatan tambahan RM6,000 melalui Rakan KKM dapat mengimbangi faktor tarikan ini? Cadangan kami ialah mengenakan moratorium terhadap hospital swasta yang baharu untuk 5 tahun akan datang. Ini tidak akan menambahkan apa-apa perbelanjaan tambahan bagi kerajaan. Ia juga tidak akan menjejaskan doktor pakar yang sudah pun berkhidmat dalam sektor swasta.

Di samping itu, kami meminta pada kerajaan untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan yang berasingan bagi sektor kesihatan awam. Ini sesuatu yang telah diminta oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) selama beberapa dekad. Sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan yang berasingan akan membolehkan kerajaan untuk menawarkan imbuhan yang lebih baik kepada kakitangan kesihatan – mungkin boleh berasaskan struktur gaji di Institut Jantung Negara (IJN).

C) Negara kita telah mengamalkan dasar gaji rendah selama beberapa dekad sebagai sebahagian daripada usaha negara kita untuk menarik pelaburan asing (FDI). Akibatnya, gaji median kita dalam sektor formal adalah kira-kira RM2,900 sebulan. Hanya 22% daripada isi rumah di negara kita mempunyai insurans kesihatan buat masa ini. Inilah kumpulan yang akan mendapat manfaat daripada Rakan KKM dan MHIT Asas. Kami tidak membantah sebarang program yang memanfaatkan kelas menengah atas di negara ini, jika program itu tidak meminggirkan rakyat 75% terbawah. Hakikat yang tidak dapat dipertikaikan ialah Rakan KKM akan menjadikan perkhidmatan doktor pakar lebih sukar diakses oleh golongan B40 dan kebanyakan golongan M40 dalam kalangan rakyat kita. Inilah sebabnya kenapa kami meminta supaya skim ini dibatalkan.

D) Sistem kesihatan awam kita telah mengalami kekurangan dana yang kronik selama beberapa dekad yang lalu. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),

Peruntukan belanjawan kesihatan di negara-negara terpilih 2024

NegaraBelanjawan kesihatan% daripada belanjawan keseluruhan% daripada KDNK
MalaysiaRM41.2 bilion10.5%2.14%
SingapuraAS$18.7 bilion16.8%3.74%
ThailandAS$20.9 bilion21%3.97%
Britain£258 bilion20.2%9.6%

Malah Thailand juga memperuntukkan peratusan daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu yang lebih besar kepada kesihatan awam. Namun, bukankah kita patut membandingkan negara kita dengan negara-negara maju seperti Britain, yang memperuntukkan 9% hingga 10% daripada KDNK kepada perkhidmatan kesihatan awam? Lagipun, kita mendakwa bahawa negara kita berada di ambang menjadi negara berpendapatan tinggi. Oleh itu, bukankah kita patut membandingkan diri kita dengan Britain, Jepun dan Jerman. Inilah asas cadangan kami bahawa belanjawan kesihatan harus ditingkatkan kepada 5% daripada KDNK dalam tempoh 5 tahun akan datang.

E) Negara kita bukannya sebuah negara miskin. KDNK negara kita telah meningkat sebanyak 24 kali ganda dalam tempoh 50 tahun yang lalu – dalam nilai sebenar, iaitu selepas mengambil kira inflasi. (nota 3) Bagaimana pula kita tidak dapat mencari dana untuk menjaga kesihatan rakyat kita? Jawapan kepada soalan ini terletak pada pengagihan pendapatan negara yang sangat tidak setara.

56% daripada pendapatan negara kita yang kira-kira sejumlah RM2 trilion setahun mengalir kepada 10% teratas penduduk negara kita dan syarikat korporat terbesar. 28% daripada pendapatan negara pergi kepada 90% terbawah penduduk kita, sementara kerajaan hanya memperoleh 16% daripada pendapatan negara.

Cadangan kami adalah bahawa bahagian yang dikuasai oleh syarikat korporat terbesar dan golongan T20 boleh dikurangkan kepada 51% dan tambahan 5% daripada KDNK disalurkan kepada kerajaan sebagai hasil. Ini akan menambah RM100 bilion kepada Belanjawan Kerajaan Persekutuan. Inilah yang kami mahu Kerajaan MADANI meneliti. Kami mahu mereka mempertimbangkan isu-isu berikut:

  • Mengapa hasil kerajaan telah menurun daripada 30% KDNK pada tahun 1980-an kepada hanya 16% KDNK sekarang?
  • Mengapa kadar cukai korporat menurun daripada 40% daripada keuntungan pada tahun 1980-an kepada kadar 24% daripada keuntungan sekarang?
  • Adakah persaingan dalam kalangan negara-negara ASEAN untuk FDI mengakibatkan penurunan dalam kasar cukai korporat ini? Jika ya, mengapa kerajaan Malaysia belum lagi memulakan perbincangan dengan negara-negara jiran kita dalam ASEAN mengenai bagaimana menghentikan perlumbaan ke bawah ini?

Kami fikir ini adalah soalan-soalan yang munasabah untuk diajukan kepada kerajaan kita. Dan kami berharap bahawa rakyat Malaysia akan membawa isu-isu yang dibangkitkan dalam rencana ini kepada perhatian Ahli-ahli Parlimen mereka yang akan meningkatkan usaha mereka untuk berjumpa dengan pengundi-pengundi kerana pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi. Minta Ahli Parlimen anda untuk mendesak perkara-perkara berikut:

  • Pembatalan skim Rakan KKM; (nota 4)
  • Moratorium selama 5 tahun terhadap hospital swasta baharu;
  • Penubuhan sebuah suruhanjaya kesihatan yang berasingan supaya kakitangan kesihatan awam akan memperoleh gaji yang lebih baik;
  • Meningkatkan peruntukan belanjawan Kementerian Kesihatan kepada 5% daripada KDNK.

Jika cukup ramai orang membangkitkan isu-isu ini, kerajaan terpaksa mendengar.

Sistem kesihatan sesebuah negara mencerminkan semangat negara itu – sejauh mana kita menunjukkan belas kasihan kepada pesakit, orang tua dan orang miskin? Sama ada kita membina sebuah sistem berasaskan solidariti yang memastikan setiap orang memperoleh penjagaan kesihatan yang diperlukan mereka tanpa mengira status sosial dan ekonomi mereka? Adakah kita melakukan secukupnya untuk menyokong pertugas kesihatan dalam sektor awam yang kini sedang bekerja dengan waktu yang terlalu panjang untuk berkhidmat kepada pesakit mereka?

Apa yang dipertaruhkan di sini bukan sahaja kesihatan, tetapi jiwa negara. Kami berharap anda akan menyertai kami dalam usaha melindungi dan memulihkan sistem kesihatan kita. Ini adalah tanggungjawab kita terhadap diri kita sendiri, anak-anak kita dan negara kita!

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

==========

Tandatangani petisyen “Selamatkan Sistem Kesihatan Awam” di sini.

==========

Nota:

1. Dr. Dzulkefly Ahmad berasa keberatan untuk meminta peruntukan yang lebih banyak bagi KKM kerana defisit belanjawan yang dianggarkan buat tahun 2026 ialah kira-kira RM76 bilion atau 3.5% daripada KDNK, dan jumlah hutang Kerajaan Persekutuan kini ialah RM1.3 trilion atau 65% daripada KDNK.

2. Apabila tiadanya langsung bayaran bersama, pesakit-pesakit mempunyai kurang insentif untuk bertanya pada penyedia perkhidmatan kesihatan mereka tentang modaliti pemeriksaan dan rawatan yang berbeza. Ini membawa kepada pemeriksaan berlebihan dan peningkatan dalam kos, dan akhirnya, kepada peningkatan premium insurans.

3. KDNK GDP dalam harga semasa meningkat daripada RM11.83 bilion pada tahun 1970 kepada RM1.5 trilion pada tahun 2019.

1500 dibahagi dengan 11.83 = 127 (Dokumen-dokumen Rancangan Malaysia)

Indeks harga pengguna (CPI) Malaysia meningkat daripada 23.7 pada tahun 1971 kepada 120.1 pada tahun 2020.

120.1 dibahagi dengan 23.7 = 5.1 (iaitu CPI meningkat sebanyak 5.1 kali ganda dalam tempoh 50 tahun itu)

127 dibahagi dengan 5.1 = 24.9 (iaitu KDNK sebenar meningkat sebanyak 24.9 kali ganda antara tahun 1970 dan 2019)

4. PSM tidak membantah MHIT Asas yang hendak diwujudkan oleh kerajaan, jika skim Rakan KKM dibatalkan. Kami juga tiada bantahan terhadap Rekod Perubatan Elektronik dan sistem DRG untuk caj bayaran di hospital swasta. Semua inisiatif ini, jika dirangka dan dilaksanakan secara betul, boleh menambah baik perkhidmatan kesihatan di Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *