(foto: Sinar Harian)

oleh K. Kunasekaran

1. Laporan akhbar dan ringkasan fakta

Berdasarkan laporan media bertarikh 9 Februari 2026, M. Paramaguru (49 tahun), pengerusi sebuah kuil di Dengkil, telah ditahan dan didakwa di Mahkamah Majistret Sepang di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan (Pencerobohan Jenayah). Dia dituduh menceroboh tanah milik persendirian di Jalan Selangor, Dengkil, milik Suhaili Ahmad. Walaupun pemilik berdaftar telah mengeluarkan notis pengosongan, fakta menunjukkan pihak kuil telah lama berada dalam pendudukan fizikal, mempunyai struktur bangunan, dan memiliki kemudahan asas (utiliti) yang diiktiraf kerajaan.

2. Ketidaksahan penangkapan: Pertikaian sivil lawan pencerobohan jenayah

Adalah ditegaskan bahawa tindakan polis menangkap dan mendakwa pengerusi kuil ini adalah tidak wajar kerana kes ini secara prinsipnya adalah pertikaian sivil mengenai hak pendudukan. Sabitan di bawah Seksyen 447 memerlukan bukti niat jahat (mens rea) untuk menceroboh. Memandangkan tertuduh berada di tapak tersebut atas dasar “tuntutan hak” (claim of right) sebagai pengurus kuil sedia ada, elemen jenayah tidak terpakai dan pihak polis seharusnya mengklasifikasikan kes ini sebagai “Kes Sivil” atau “Rujuk Mahkamah”.

3. Perlindungan Milikan Sebenar (Actual Possession)

Prinsip undang-undang di Malaysia memberikan perlindungan kepada pihak yang memegang milikan fizikal tanah bagi mengekalkan ketenteraman awam. Hal ini ditegaskan oleh Yang Arif Datuk Hashim Yusoff di Mahkamah Tinggi Malaya (Alor Setar) dalam kes Saad Bin Nayan & 22 Ors v. Syarikat Samak Aquaculture Sdn. Bhd. & Anor [1995] 4 CLJ 531. YA Hakim memutuskan bahawa di bawah Seksyen 99 Kanun Prosedur Jenayah, fokus utama mahkamah adalah untuk menentukan siapa yang memegang milikan sebenar (actual possession) pada waktu pertikaian, dan bukannya menentukan siapa yang mempunyai hak milik sah atau geran. Oleh itu, pihak yang berada dalam milikan fizikal (pihak kuil) tidak boleh dihalau secara paksa melalui tindakan jenayah sehingga hak mereka diputuskan oleh Mahkamah Sivil.

4. Larangan tindakan sendiri (Self-Help) dan kekerasan

Tuan tanah dilarang menggunakan bantuan polis untuk mengusir penghuni secara paksa tanpa melalui saluran mahkamah yang betul. Prinsip ini telah digariskan dengan jelas oleh Yang Arif Hakim Raja Azlan Shah (kemudiannya Sultan Perak dan DYMM Yang di-Pertuan Agong) di Mahkamah Tinggi Malaya (Kuala Lumpur) dalam kes Chan Hoh v Tham Kum & Anor [1968] 2 MLJ 56. Keputusan tersebut menetapkan bahawa sebarang tindakan mengambil milikan secara paksa atau menunjukkan kekerasan tanpa proses undang-undang yang sah adalah salah di sisi undang-undang. Maka, menggunakan laporan polis untuk mendakwa penghuni secara jenayah bagi memaksa mereka keluar adalah satu bentuk “tindakan sendiri” (self-help) yang menyalahi undang-undang.

5. Kewajipan mematuhi “due process” sivil

Seterusnya, terdapat prosedur mandatori di bawah Seksyen 7(2) Akta Relief Spesifik 1950 yang menyatakan bahawa pemilik tidak boleh mengusir sesiapa yang memegang milikan tanah tanpa terlebih dahulu mendapatkan perintah mahkamah sivil. Saluran yang sah bagi pemilik berdaftar untuk menuntut semula tanah adalah melalui permohonan sivil di bawah Aturan 89 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 bagi mendapatkan “Milikan Kosong” (Vacant Possession). Menggunakan saluran jenayah di bawah Seksyen 447 adalah cubaan memintas (bypass) kewajipan sivil ini.

6. Kesimpulan

Tindakan polis menangkap dan mendakwa pengerusi kuil tersebut di bawah undang-undang jenayah adalah satu penyalahgunaan proses (abuse of process). Memandangkan tertuduh memegang milikan sebenar, pemilik berdaftar wajib mematuhi Seksyen 7 Akta Relief Spesifik 1950 dengan memfailkan tindakan sivil di bawah Aturan 89. Pihak polis seharusnya mengklasifikasikan kes ini sebagai “Rujuk Mahkamah Sivil” bagi menghormati prinsip undang-undang yang digariskan dalam kes Saad Bin Nayan [1995] dan Chan Hoh [1968].

==========

K. Kunasekaran ialah Ahli Jawatankuasa PSM Negeri Perak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *