
Masyarakat kita, sama ada di dalam negara atau di peringkat antarabangsa, sedang menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran yang bukannya baharu apabila kita melangkah masuk ke tahun baharu 2026. Jika kita hendak dunia kita mengelak daripada menghala ke arah kemusnahan, kita harus meneruskan perjuangan rakyat untuk pembebasan, demokrasi sejati dan keadilan sosial.
Selepas tiga tahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan di negara Malaysia, rakyat masih dibelenggu oleh pelbagai masalah, dari kemelut ekonomi yang menyusahkan rakyat, hinggalah suasana politik perkauman yang terus memecah-belahkan masyarakat majmuk kita. Ramai dalam kalangan rakyat kecewa dengan kegagalan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam menangani masalah rasuah dan melaksanakan reformasi yang sepatutnya, sementara ruang demokrasi nampaknya sedang mengecut apabila sering berlakunya insiden penggunaan jentera negara untuk menyekat suara yang mengkritik pihak berkuasa. Kerajaan MADANI pimpinan Anwar Ibrahim nampaknya tidak mempunyai idea dan visi baharu untuk memajukan negara, sebaliknya masih cuba menggunakan acuan neoliberal yang lama dalam menguruskan ekonomi negara, iaitu mengekalkan kebergantungan pada pelaburan asing dan sektor swasta. Lebih-lebih lagi, Anwar Ibrahim terus menandatangani Perjanjian Timbal Balas Perdagangan Malaysia-Amerika Syarikat yang jelas menggadaikan kedaulatan negara kita, apabila Presiden AS Donald Trump mengunjungi Malaysia. Gabungan parti pembangkang arus perdana pula gagal menawarkan alternatif yang sebenar, sebaliknya masih ghairah mempermainkan sentimen perkauman dan keagamaan yang memecah-belahkan rakyat jelata.
Di peringkat antarabangsa pula, rakyat di seluruh dunia sedang hidup di bawah bayangan krisis kapitalisme global. Krisis kapitalisme global menjelma dalam bentuk ketidaksamarataan ekonomi yang semakin ketara, krisis iklim sedunia yang semakin mengancam kemanusiaan, kemerosotan dalam ruang demokrasi, kemunculan kuasa politik pelampau kanan yang mengapi-apikan kebencian sesama manusia, dan peperangan yang membawa kemusnahan hebat. Kita sedang hidup dalam zaman yang penuh ancaman berbahaya.
Jenayah genosid yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin, perang pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, peperangan yang tidak berkesudahan di dalam negara-negara seperti Sudan dan Myanmar, peperangan sempadan yang digunakan oleh golongan pemerintah untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada masalah dalaman (seperti perang antara Thailand dan Kemboja), semuanya berlaku di bawah suasana “baharu” dunia apabila kuasa-kuasa besar dunia, seperti kuasa imperialis Amerika Syarikat (AS) dan kuasa-kuasa memuncul (seperti China dan Rusia) cuba menyusun semula struktur kekuasaan dunia demi kepentingan ekonomi dan geopolitik kelas pemerintah masing-masing tanpa mempedulikan kehidupan rakyat biasa.
Untuk menangani cabaran politik dan sosio-ekonomi yang hebat pada masa ini, kita perlu mempertingkatkan usaha untuk membangunkan kuasa politik progresif yang membawa aspirasi rakyat marhaen.
Dari segi politik pilihan raya di dalam negara, kita perlu memulakan usaha untuk membangunkan “kuasa ketiga” yang membawa agenda politik progresif yang jelas, supaya menawarkan alternatif kepada rakyat yang sudah muak dengan kegagalan dua gabungan parti politik utama (iaitu PH-BN dan PN) dalam menyelesaikan masalah rakyat dan membawa perubahan bermakna. Mungkin masih sukar untuk kita menawarkan “kuasa ketiga” yang progresif sebagai pilihan utama dalam kertas undi semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 yang akan datang, tetapi ia boleh menjadi alternatif sebenar dalam jangka masa panjang melangkaui PRU-16 jika kita mula membinanya dari sekarang dengan memantapkan lagi gerak kerja politik PSM, meningkatkan usaha membangunkan gerakan rakyat marhaen dari bawah dan membangunkan jaringan masyarakat yang mendukung dasar-dasar progresif.
Sememangnya arena pilihan raya bukan satu-satunya saluran untuk perubahan yang bermakna bagi rakyat marhaen. Kita tidak mungkin dapat memajukan segala usaha pembaharuan dengan sekadar memegang kuasa melalui kemenangan dalam pilihan raya, kerana terdapat pelbagai pihak yang hendak melindungi kepentingan elit pemerintah akan menyekat usaha ini. Kita harus terus membina kuasa rakyat dari bawah, yang mampu berorganisasi dan bermobilisasi demi perubahan yang diinginkan oleh rakyat bawahan.
Cabaran yang bakal menunggu kita adalah amat besar. Namun, kita dapat mengharungi cabaran yang hebat ini dengan pegangan politik pembebasan yang jelas dan semangat perjuangan yang kental. Hanya gerakan rakyat yang dibina dari bawah berasaskan aspirasi pembebasan, kesaksamaan dan keadilan sosial dapat menangkis ancaman hari ini dan memajukan usaha kita demi sebuah dunia yang lebih baik bagi semua orang.
