
oleh Dr. Cecilia Anthonysamy
Kami menyeru semua rakyat Malaysia untuk berjalan bersama kami, untuk memperingati dan merayakan Hari Liputan Kesihatan Sejagat atau “Universal Health Coverage” (UHC) pada 12 Disember 2025.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Hari UHC pada 12 Disember adalah hari kita berhimpun secara bersama-sama di seluruh dunia dengan tuntutan “kesihatan untuk semua”.
Ia memperingati ulang tahun sokongan bersejarah dan sebulat suara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Liputan Kesihatan Sejagat (UHC) pada tahun 2012.
Apa itu Liputan Kesihatan Sejagat (UHC)?
WHO mentakrifkan UHC sebagai sistem di mana semua orang mempunyai akses kepada pelbagai perkhidmatan kesihatan berkualiti yang diperlukan mereka, apabila dan di mana mereka memerlukannya, tanpa mengalami masalah kewangan. Ia merangkumi keseluruhan spektrum perkhidmatan kesihatan yang penting: promosi kesihatan, pencegahan, rawatan, pemulihan, dan penjagaan paliatif.
Seperti mana yang dikatakan oleh mantan Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA78). “Liputan kesihatan sejagat adalah hak asasi manusia untuk menerima perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, mudah diakses dan mampu milik ditanggung tanpa mengakibatkan masalah kewangan.” (NST, 22 September 2023)
Dr. Zaliha telah mengemukakan beberapa inisiatif yang mengukuhkan UHC di Malaysia, termasuk:
- PeKa B40, yang menawarkan saringan kesihatan untuk masyarakat.
- Skim Perubatan Madani, yang menawarkan konsultasi percuma, ubat-ubatan, pemeriksaan, prosedur dan rujukan melalui doktor swasta untuk kes akut.
- Model kerjasama antara sektor awam dan swasta untuk menyampaikan perkhidmatan kesihatan primer.
Walau bagaimanapun, terdapat kelemahan yang serius:
Pesakit yang dirujuk ke hospital kerajaan oleh doktor swasta di bawah skim ini dikenakan kadar bayaran pesakit swasta, bukan sahaja di klinik pakar, tetapi juga untuk semua perkhidmatan berikutnya jika dimasukkan ke hospital. Pesakit terpaksa pergi juga ke Klinik Kesihatan untuk mendapatkan surat rujukan daripada doktor kerajaan supaya dikenakan kadar yang lebih rendah dan bersubsidi.
Isu yang lebih besar kini mengancam Liputan Kesihatan Sejagat (UHC).
Rakan KKM
Tempoh masa yang lama untuk mendapatkan janji temu di klinik pakar kerajaan menjadi lebih teruk lagi dengan pengenalan Rakan KKM, di mana pesakit yang boleh membayar lebih boleh memotong barisan dan menerima keutamaan berbanding pesakit yang lebih miskin yang tidak mampu membayar caj yang sama untuk rawatan pakar.
Menurut WHO, untuk mencapai liputan kesihatan sejagat (UHC), negara-negara mesti mempunyai sistem kesihatan yang kukuh, cekap dan saksama, berlandaskan komuniti yang mereka berkhidmat. Tetapi, golongan B60, yang kini bergelut dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, termasuk keperluan makanan, pendidikan, pengangkutan dan perumahan, adalah golongan yang paling memerlukan akses yang saksama kepada perkhidmatan kesihatan. Mereka sangat bergantung kepada hospital awam kerana perkhidmatan kesihatan swasta terlalu mahal.
Jadi, kenapakah kita menyokong inisiatif perkembangan perkhidmatan kesihatan yang mewujudkan masalah kewangan kepada rakyat kita? Penyertaan sektor swasta dalam perkhidmatan hospital awam mengancam ekuiti yang merupakan asas teras UHC.
Di manakah keutamaan untuk akses yang saksama apabila rakyat kita, yang sudah pun menderita dengan masa menunggu yang lama, kini perlu membayar caj lebih mahal untuk memperolehi perkhidmatan pakar pada kadar yang lebih cepat di hospital awam melalui Rakan KKM?
Kita memerlukan sistem perkhidmatan kesihatan yang merawat semua pesakit yang memerlukan rawatan lanjutan di hospital awam secara adil dan saksama, tanpa mengira status pendapatan.
Rakan KKM adalah ancaman terhadap Liputan Kesihatan Sejagat!
Bantah Rakan KKM! Tandatanganilah kad Kempen Selamatkan Sistem Kesihatan Awam!
Ayuh! Jalan bersama PSM pada 12 Disember 2025.
==========
Dr. Cecilia Anthonysamy ialah Ahli Jawatankuasa Kempen Selamatkan Sistem Kesihatan Awam, sebuah inisiatif Parti Sosialis Malaysia (PSM).
