
SHAH ALAM, SELANGOR: Kira-kira 250 orang berhimpun di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 17 November 2025 untuk menyatakan bantahan terhadap pembinaan insinerator atau loji pembakaran sampah di kawasan Batu Arang, Daerah Gombak, Selangor.
Aksi protes ini dianjurkan oleh Jaringan Rawang Tolak Insinerator (JRTI) dan disokong oleh pelbagai organisasi masyarakat sivil serta penduduk-penduduk tempatan yang bakal terkesan jika Kerajaan Negeri Selangor terus membenarkan pembinaan insinerator sisa-ke-tenaga (WTE) di Batu Arang. JRTI mewakili penduduk-penduduk Batu Arang serta kawasan yang berdekatan, termasuk Bandar Tasik Puteri, Kota Puteri, Bandar Seri Coalfields, M-Residence, Bandar Country Homes dan sebagainya.
“Perhimpunan ini diadakan kerana suara penduduk mengenai risiko projek insinerator ini telah diketepikan,” kata Abdul Hanan Abd Mokti, jurucakap JRTI. “Kebimbangan kesihatan dan alam sekitar tidak diendahkan. Keputusan Kerajaan Negeri Selangor untuk meneruskan juga projek ini jelas tidak mencerminkan kepentingan rakyat.”
“Penduduk telah menyuarakan bantahan melalui pelbagai saluran rasmi, termasuk sesi pendengaran awam, petisyen, borang bantahan serta memberi respons terhadap laporan penilaian alam sekitar (EIA) dan laporan penilaian impak sosial (SIA), namun maklum balas dan bukti yang dikemukakan tetap tidak diberikan pertimbangan yang sewajarnya,” ulas Abdul Hanan.

Walaupun Amirudin Shari selaku Menteri Besar Selangor pernah berkata pada tahun 2023 bahawa Kerajaan Negeri Selangor bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan penduduk-penduduk Batu Arang supaya mendengar sendiri kebimbangan dan bantahan penduduk-penduduk, sehingga hari ini, Amirudin Shari masih belum bertemu dengan penduduk-penduduk Batu Arang, malah cuba mengelakkan diri daripada pertemuan dengan penduduk-penduduk Batu Arang.
Penduduk-penduduk di Batu Arang dan kawasan-kawasan sekitarnya telah membantah projek pembinaan insinerator WTE secara konsisten sejak awal lagi. Antara usaha yang telah dilakukan ialah:
- Lebih 10,000 tandatangan petisyen dihantar kepada Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2023;
- 4,500 borang bantahan terhadap penukaran status tanah Lot 3847 daripada “Perumahan” kepada “Industri”;
- 1,446 borang bantahan terhadap Draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035;
- Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) mengesahkan bahawa lebih 90% penduduk membantah; dan
- Lebih 12,000 borang bantahan terhadap Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) dihantar kepada Jabatan Alam Sekitar pada bulan Jun 2025.
Bantahan yang disampaikan oleh penduduk-penduduk Batu Arang dan kawasan sekitar melalui pelbagai saluran ini jelas menunjukkan bahawa mereka tidak pernah memberikan persetujuan sosial terhadap projek insinerator ini.



Dalam memorandum yang ditujukan kepada Menteri Besar Selangor, penduduk-penduduk Batu Arang dan kawasan sekitar menuntut supaya:
- Kerajaan Negeri Selangor menangguhkan semua tindakan lanjut berkaitan projek insinerator di Batu Arang sehingga pertemuan rasmi diadakan dengan wakil penduduk;
- Menteri Besar Selangor mengadakan pertemuan rasmi dengan wakil JRTI dan komuniti Batu Arang dalam masa terdekat untuk mendengar sendiri penjelasan, kebimbangan, dan cadangan daripada masyarakat setempat;
- Sebuah Jawatankuasa Khas Dewan Negeri ditubuhkan untuk menyemak semula keseluruhan proses kelulusan projek; dan
- Kerajaan Negeri Selangor memastikan ketelusan dan penyertaan awam yang bermakna dalam semua proses perancangan berkaitan kesihatan, alam sekitar dan keselamatan rakyat.
“Kami juga ingin menegaskan bahawa bantahan ini bukan sekadar ‘not in my back yard’ (jangan di belakang rumah saya) atau NIMBY,” tambah Abdul Hanan. “Kebimbangan penduduk adalah berasaskan risiko kesihatan, pencemaran udara, pelepasan bahan toksik dan ketidakpastian jangka panjang berkaitan operasi insinerator. Ini selari dengan laporan penilaian risiko, pendapat pakar bebas serta pengalaman antarabangsa yang menunjukkan keperluan penilaian lebih teliti sebelum sebarang keputusan dilakukan. Penolakan ini adalah kerana rakyat mahukan penyelesaian pengurusan sisa yang lebih selamat, mampan, telus dan berpaksikan pengurangan sisa serta ekonomi kitaran.”
Memorandum juga diserahkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ketua Pembangkang DUN Selangor, serta ADUN Rawang dan ADUN Kuang. Turut hadir bersolidariti semasa aksi protes di hadapan Pejabat Menteri Besar Selangor pada 17 November 2025 ialah Suresh Balasubramaniam, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).
