
oleh Bawani KS
Kemenangan Zohran Kwame Mamdani sebagai Datuk Bandar terpilih bagi Bandar Raya New York menunjukkan bahawa masyarakat boleh memilih pemimpin berdasarkan merit, visi dan keberkesanan bukan semata-mata latar belakang kaum, agama atau tuduhan politik. Mamdani seorang Muslim migran keturunan India-Uganda, pernah dituduh komunis oleh Presiden Amerika Donald Trump walaupun beliau sebenarnya seorang sosialis dan diugut dengan penarikan dana persekutuan untuk Bandar Raya New York. Namun, rakyat tetap memilihnya kerana komitmen beliau terhadap keadilan sosial, hak pekerja, transit percuma, perumahan mampu milik dan reformasi keselamatan awam. Kemenangan ini membuktikan bahawa pemimpin yang dipilih secara langsung oleh rakyat mampu menegakkan dasar yang berpihak kepada rakyat bawahan, menangani ketirisan dan menolak pengaruh golongan elit atau bilionair.
Di Malaysia, sejak Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Athi Nahappan mengenai kerajaan tempatan, rakyat telah bersuara untuk menegakkan pilihan raya kerajaan tempatan. Namun, pilihan raya ini masih tidak dikembalikan. Sungguhpun Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan DAP meluluskan Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Perai) 2012 dan mengambil tindakan mahkamah, proses pelaksanaan pilihan raya tempatan masih tertangguh. Hal ini menunjukkan bahawa walaupun wujud kesedaran dan keinginan untuk mengembalikan kuasa rakyat dalam menentukan pemimpin tempatan, isu politik dan pentadbiran masih menjadi halangan utama.
Tokoh politik utama turut menyuarakan pandangan mereka mengenai pilihan raya kerajaan tempatan. Tun Dr. Mahathir Mohamad menolak pelaksanaannya kerana bimbang ia akan disalahgunakan untuk agenda kaum atau politik sempit, manakala Datuk Seri Hadi Awang pula berpendapat bahawa ia tidak perlu sekiranya hanya membuka ruang kepada pihak sekular atau bercampur untuk menguasai kuasa tempatan tanpa mengambil kira nilai Islam dan keharmonian komuniti. Namun, rakyat di New York membuktikan bahawa pengundi mampu membuat keputusan berdasarkan merit dan keadilan sosial bukan perkauman atau ketakutan yang ditanam oleh elit politik. Jika Kuasa Veto Rakyat di New York boleh mengangkat seorang Datuk Bandar Muslim di bandar majoriti bukan Islam kerana dasar dan visinya, mengapa Malaysia Madani masih terikat dengan alasan perkauman untuk menolak demokrasi tempatan?
Sebaliknya, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menegaskan bahawa perancangan untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan bukan fokus utama beliau buat masa ini. Beliau menjelaskan terdapat tujuh fokus keutamaan lain, antaranya membangunkan peranan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar lebih berintegriti dan berwibawa, memperkukuh kewangan dan daya ekonomi PBT, perancangan perumahan komprehensif, pemerkasaan komuniti, pengurusan sisa pepejal berkesan, agenda bandar pintar dan selamat serta kesiapsiagaan pasukan Bomba dan Penyelamat.
Ketiadaan pilihan raya kerajaan tempatan telah membawa kepada beberapa isu serius yang menjejaskan aspirasi dan hak penduduk setempat. Kes Sungai Ara (Mahkamah Persekutuan, 2023) berlaku apabila majlis tempatan meluluskan projek perumahan selaras dengan pengezonan di bawah Pelan Dasar 1996 tanpa penyertaan awam. Jawatankuasa perancang negeri mengecualikan dirinya daripada proses kelulusan, memberikan arahan bahawa projek khas tidak memerlukan rujukan lanjut kepada Majlis Perancangan Fizikal Negara (NPPC). Mahkamah menegaskan bahawa jawatankuasa perancang negeri mempunyai kewajipan untuk mendapatkan nasihat daripada NPPC bagi pembangunan di kawasan sensitif termasuk puncak dan lereng bukit serta keputusan pembangunan mesti mematuhi pelan struktur negeri. Penghakiman ini menegaskan kepentingan penyertaan awam, perlindungan alam sekitar dan prinsip bahawa kepentingan awam mendahului kepentingan swasta dalam pembangunan.
Begitu juga, Kes Taman Rimba Kiara (Mahkamah Persekutuan, 2023) membuktikan risiko salah guna kuasa apabila projek pembangunan perumahan di kawasan taman rekreasi ditentang oleh penduduk setempat kerana tidak dibincangkan secara telus. Mahkamah Persekutuan menegaskan bahawa pihak berkuasa tempatan tidak boleh mengubah guna tanah atau meluluskan pembangunan tanpa prosedur telus dan penyertaan awam. Kedua-dua kes ini menekankan bahawa tanpa pilihan raya tempatan, penduduk tidak mempunyai saluran langsung untuk mempengaruhi keputusan yang menjejaskan kehidupan harian, persekitaran dan komuniti mereka.
Isu lain seperti konsesi parkir di beberapa buah negeri menunjukkan bagaimana kuasa kerajaan tempatan boleh dialihkan kepada pihak swasta tanpa penglibatan rakyat, menimbulkan risiko ketirisan, salah guna kuasa dan keputusan yang tidak berpihak kepada komuniti. Keadaan ini menegaskan bahawa hanya melalui pilihan raya kerajaan tempatan, penduduk dapat memastikan wakil mereka menguruskan sumber awam dan pembangunan dengan akauntabiliti dan ketelusan.
Kini dengan pelancaran I LITE YOU oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mencahayakan bandar bagi menarik pelancongan antarabangsa, langkah ini perlu dialu-alukan. Menteri Nga Kor Ming perlu mengambil pengajaran daripada kebijaksanaan pengundi New York yang memilih seorang Datuk Bandar Muslim di bandar yang majoritinya bukan Islam dan mengimport aspirasi itu ke Malaysia untuk mencahayakan demokrasi di Malaysia.
Sudah tiba masanya langkah BRING BACK THIRD VOTE (Kembalikan Undi Ketiga) diambil untuk memastikan wakil rakyat tempatan dipilih secara langsung. Pilihan raya kerajaan tempatan bukan sekadar formaliti; ia adalah keperluan demokrasi, akauntabiliti dan ketelusan. Pengalaman Mamdani di New York, keputusan Kes Sungai Ara dan Kes Taman Rimba Kiara serta isu konsesi parkir dan majlis tempatan menunjukkan bahawa pemimpin dan badan perancang yang dipilih serta diawasi rakyat secara langsung mampu menegakkan dasar yang benar-benar berpihak kepada rakyat bawahan, menangani ketirisan, memastikan perlindungan alam sekitar dan mengelakkan salah guna kuasa.
Pilihan raya tempatan juga boleh mencahayakan demokrasi supaya masyarakat melepaskan diri daripada belenggu perkauman yang sering ditakutkan oleh pihak tertentu. Di Malaysia, isu ketirisan, salah guna kuasa dan pembangunan yang tidak melibatkan rakyat hanya menunjukkan bahawa masa untuk mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan telah tiba. Rakyat berhak menentukan pemimpin mereka demi masa depan komuniti yang lebih adil, telus dan saksama.
==========
Bawani KS ialah Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Pengerusi PSM Perak.
