(foto: CBS News)

oleh Naufal Durokhman

Tahun lalu, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri New York yang bernama Zohran Mamdani mengumumkan pencalonannya sebagai calon Datuk Bandar di salah satu kota paling terkenal di dunia. Namun, ketika itu, ramai memandang rendah terhadap pencalonannya sehinggakan ada yang menganggapnya tidak mampu melepasi pemilihan awal calon Datuk Bandar New York daripada Parti Demokrat. Beliau menghadapi banyak tentangan terutamanya daripada pencabar terkuat, iaitu Andrew Cuomo yang merupakan mantan Gabenor Negeri New York yang terpaksa meletak jawatan pada tahun 2021, disebabkan oleh dakwaan gangguan seksual.

Namun, segalanya berubah semasa pemilihan awal calon Datuk Bandar New York pada 24 Jun lalu, di mana Mamdani mencipta kejutan dengan memenangi pemilihan tersebut apabila memperoleh undian sebanyak 56% berbanding Cuomo sebanyak 43%. Semestinya ini merupakan suatu kejutan yang sangat besar memandangkan Cuomo merupakan calon kegemaran yang dijangka bakal memenangi pemilihan ini dengan mudah di samping disokong oleh jutawan New York. Namun, itu berubah pada saat pemilihan tersebut. Dan ini semestinya memberi suatu nafas yang baharu kepada golongan kiri dan progresif dalam Parti Demokrat yang berjuang untuk membina semula parti selepas kekalahan teruk kepada Parti Republikan dalam Pilihan Raya Presiden 2024. Kemenangan ini bukan sekadar soal Mamdani menentang Cuomo sahaja, tetapi ia melibatkan kemenangan antara politik yang dibiayai oleh jutawan dan politik yang tumbuh dari akar marhaen.

Semalam, telah terciptanya suatu rekod yang baharu di mana Zohran Mamdani telah memenangi pilihan raya Datuk Bandar New York menewaskan Andrew Cuomo serta Curtis Sliwa. Meskipun Cuomo cuba melakukan kejutan pada saat-saat akhir melalui dukungan Trump serta jutawan lain seperti Elon Musk, namun majoriti pengundi New York menolak politik perkauman dan elitisme yang mengelilingi Cuomo sepanjang kempen kali ini. Bagi mereka, New York memerlukan pemimpin yang berani melawan sistem demi memberi kesejahteraan kepada rakyatnya, bukan tunduk kepada individu-individu tertentu.

Sebenarnya, ia merupakan suatu fenomena yang baharu yang belum pernah terjadi di AS sejak kebelakangan ini. Dalam akhbar The Guardian, Nesrine Malik menjelaskan bahawa kemenangan Mamdani dalam pemilihan awal calon Parti Demokrat pada bulan Jun lalu menunjukkan dua sisi kepada kita semua.

Di satu sisi, seorang pemuda dengan semangat progresif dan melabelkan dirinya sebagai sosialis demokratik berjaya menewaskan golongan tua “establishment” moderat, liberal, centrist dan disokong oleh jutawan. Di sisi lain pula, terdapat kecaman serta ucapan-ucapan yang berbaur perkauman seperti Marxist, Islamofobia, dan pengganas sehinggakan ada yang mendakwa kemenangan Mamdani merupakan suatu kemenangan yang mengerikan. Di samping itu, ada suara-suara ekstrem yang mendakwa kemenangan Mamdani ini sebagai salah satu bentuk “pengambilalihan Kota New York oleh seorang Muslim dan anti-Yahudi”. Sampai ke tahap itu mereka menyebarkan naratif sedemikian bagi menimbulkan ketakutan dalam masyarakat New York.

Namun, kecaman ataupun “ketakutan” yang paling ketara disebarkan oleh penentang Mamdani ialah beliau merupakan seorang sosialis demokratik. Bagi penentangnya, istilah tersebut membawa maksud komunisme dan Mamdani dilihat akan mentadbir bandar New York seperti China, Cuba dan Vietnam. Ramai orang yang keliru bahawa sosialis demokratik dan komunis merupakan dua perkara yang berbeza.

Sosialis demokratik merupakan suatu ideologi politik yang menggabungkan antara prinsip demokrasi dan sosialisme. Ini berbeza dengan sosialisme tradisional yang diamalkan di negara-negara komunis yang lain seperti Cuba dan Korea Utara kerana secara harfiahnya, sosialis demokratik ini menerima sebarang bentuk pemerintahan yang demokratik dan sah, bukannya melalui revolusi ataupun mentadbir secara autoritarian.

Apa yang menarik daripada fahaman sosialis demokratik ini ialah tentang bagaimana dalam fahaman ini menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab negara itu untuk mengagihkan kekayaan kepada rakyat secara sama rata melalui cara mengenakan cukai terhadap golongan jutawan. Itu mengingatkan penulis mengenai salah satu manifesto kempen Mamdani, di mana beliau berjanji akan menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada penduduk New York dengan belanja operasi bas tersebut menggunakan hasil daripada cukai yang dikenakan sebanyak 1% terhadap golongan jutawan.

Kemenangan Mamdani ini juga sebenarnya mencerminkan kemarahan masyarakat New York yang melihat kepada jurang perbezaan antara yang kaya serta yang miskin itu semakin lebar, dan lagi membuatkan orang ramai marah ialah di mana segelintir daripada elit Wall Street itu terus mengaut keuntungan dan dikecualikan daripada membayar cukai, manakala penduduk berpendapatan pertengahan serta rendah itu terus diselubungi dengan masalah kos sara hidup tinggi serta kenaikan harga sewa rumah yang tidak berpatutan.  

Banyak lagi manifesto serta janji-janjinya yang ditawarkan oleh Mamdani kepada masyarakat New York ketika berkempen, termasuk penjagaan kanak-kanak universal, membekukan kadar sewa, menyediakan rumah mampu milik serta mewujudkan pasar raya yang dikendalikan oleh bandar raya. Kalau kita fikirkan, itulah sebenarnya yang diperlukan oleh rakyat marhaen.

Akhir sekali, kemenangan Mamdani dalam pemilihan Datuk Bandar New York semalam sebenarnya bukanlah sebahagian daripada kisah seorang ahli politik muda di Amerika, akan tetapi ia juga merupakan salah satu bentuk penolakan rakyat terhadap politik wang dan ketakutan. Ia mengingatkan kita bahawa dalam setiap demokrasi, pertempuran antara jutawan dan marhaen itu masih belum selesai. Seperti mana yang pernah disebut oleh Mamdani dalam ucapannya ketika berkempen sekitar dua atau tiga hari yang lalu, “Jutawan akan melakukan apa sahaja untuk membeli demokrasi, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjadi benteng demokrasi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *