
SHAH ALAM, SELANGOR – 23 OKTOBER 2025: Penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan di Pandamaran, Klang, menggesa Kerajaan Negeri Selangor supaya menghentikan pengusiran paksa terhadap mereka dan menyelesaikan isu perumahan peneroka bandar di situ mengikut apa yang sudah dijanjikan. Seruan ini dibuat dalam satu memorandum yang diserahkan kepada Pejabat Menteri Besar Selangor pada hari ini.
Peneroka-peneroka Kampung Jalan Papan telah menetap di situ sejak tahun 1939. Pada awalnya, mereka diberikan lesen pendudukan sementara (TOL) oleh pihak berkuasa. Pada tahun 2004, penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan menerima notis pertama yang mengarahkan mereka untuk mengosongkan rumah kediaman mereka.
Susulan itu, Kerajaan Negeri Selangor telah menyerahkan tanggungjawab penyediaan penempatan semula ini kepada Syarikat TPPT Sdn. Bhd., iaitu sebuah anak syarikat Bank Negara Malaysia. TPPT telah diberi tanah seluas 189.67 ekar untuk tujuan pembangunan perumahan, termasuk penyediaan perumahan alternatif kepada semua peneroka Kampung Jalan Papan. Namun begitu, sekitar tahun 2009, TPPT Sdn. Bhd. telah menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada syarikat Melati Ehsan Holdings Berhad. Kini, syarikat Melati Ehsan Berhad pula berhasrat untuk merobohkan rumah-rumah peneroka secara paksa tanpa menyediakan perumahan alternatif seperti yang telah dijanjikan pada tahun 2018.
Dalam memorandum yang ditujukan kepada Amirudin Shari selaku Menteri Besar Selangor, Amirudin bin Shari, Persatuan Penduduk Jalan Papan Pandamaran mengemukakan lima persoalan:
- Mengapakah formula penyelesaian yang dicadangkan oleh mantan Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim, pada tahun 2010, dan kemudiannya dipersetujui oleh Menteri Besar yang menggantikannya, Azmin Ali, pada tahun 2018, diketepikan oleh Menteri Besar yang terkini? Apakah justifikasi untuk membelakangkan keputusan dua orang Menteri Besar Selangor terdahulu?
- Mengapakah Syarikat TPPT Sdn. Bhd., yang telah diberikan tanah oleh Kerajaan Negeri Selangor dan dipertanggungjawabkan untuk membina perumahan kos rendah bagi peneroka Kampung Jalan Papan, telah melepaskan tanggungjawab ini kepada syarikat Melati Ehsan? Adakah tindakan ini mendapat kelulusan rasmi daripada Kerajaan Negeri Selangor?
- Adakah Kerajaan Negeri Selangor akan membelakangkan dasar Kerajaan Pakatan Rakyat dahulu dan Pakatan Harapan sekarang, yang menyatakan bahawa peneroka bandar tidak akan diusir tanpa penempatan semula yang mencukupi dan selamat? Jika ya, adakah dasar ini telah digugurkan secara rasmi?
- Penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan telah dimaklumkan oleh ADUN kawasan itu bahawa walaupun terdapat pemakluman mengenai penawaran 11 ekar tanah oleh pihak pemaju, lokasi sebenar tanah tersebut masih tidak jelas. Mereka juga dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan memaksa pihak pemaju untuk membina perumahan sebagaimana keputusan dalam minit mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES). Adakah perkara ini benar dan boleh disahkan secara rasmi oleh pihak Kerajaan Negeri?
- Sekiranya rumah peneroka akan dirobohkan pada 27 dan 28 Oktober 2025, di manakah para peneroka akan ditempatkan sementara menunggu pembinaan rumah baharu mereka? Apakah pelan penempatan sementara yang telah disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor?
Penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan juga mempertikaikan tindakan pihak pemaju yang gagal menunaikan janji pembinaan rumah, sebaliknya hendak merobohkan rumah-rumah mereka tanpa penyelesaian yang munasabah.
Kerajaan Negeri Selangor pernah membuat satu keputusan penting pada 28 Februari 2018, bahawa sebanyak 181 orang yang dikenal pasti sebagai peneroka asal Kampung Papan akan ditawarkan penyelesaian seperti berikut:
- 123 orang peneroka asal akan ditawarkan rumah teres bersaiz 20’ x 70’ pada harga RM99,000;
- 58 orang peneroka lagi akan ditawarkan Rumah Selangorku Jenis B, dengan keluasan 800 kaki persegi, juga pada harga RM99,000, tanpa tertakluk kepada syarat-syarat kelayakan Rumah Selangorku.
- Selain itu, terdapat kira-kira 30 keluarga yang masih mempunyai struktur tapak rumah. Sekiranya mereka memenuhi syarat kelayakan Rumah Selangorku, mereka akan ditawarkan rumah kos sederhana dengan harga pasaran, atau Rumah Selangorku Jenis B, dengan keluasan 800 kaki persegi pada harga RM99,000.
Walaupun Kerajaan Negeri Selangor sudah membuat keputusan sebegini, syarikat TPPT Sdn. Bhd., yang pada asalnya dipertanggungjawabkan untuk menyediakan perumahan kepada peneroka Kampung Jalan Papan, tidak melaksanakan tanggungjawab tersebut. Tanggungjawab tersebut kemudiannya diserahkan kepada syarikat Melati Ehsan, tetapi sehingga kini, syarikat tersebut juga gagal membina perumahan seperti yang dijanjikan kepada para peneroka, malah mahu merobohkan rumah-rumah peneroka.
Pada tahun 2020, seramai 48 orang penduduk Kampung Jalan Papan menerima notis pengusiran daripada syarikat TPPT Sdn. Bhd. dan Syarikat Melati Ehsan. Syarikat TPPT Sdn. Bhd., yang pada asalnya menerima tanah daripada Kerajaan Negeri Selangor untuk membina perumahan alternatif bagi peneroka, gagal melaksanakan tanggungjawab tersebut. Sebaliknya, TPPT Sdn. Bhd. bersubahat dengan syarikat Melati Ehsan untuk mengusir keluar para peneroka Kampung Papan.
Proses mahkamah diteruskan, dan pada 24 Mac 2025, Mahkamah Rayuan membenarkan syarikat TPPT Sdn. Bhd. dan Melati Ehsan Berhad untuk merobohkan bangunan yang diklasifikasikan sebagai “bangunan haram”, kecuali dua buah tokong, iaitu Persatuan Poh Seng dan Mar Chor. Walaupun kesemua 48 orang penduduk telah berjaya mendapatkan perintah penangguhan sementara setakat ini, pada 21 Oktober 2025, mereka menerima notis baharu untuk mengosongkan rumah masing-masing selewat-lewatnya pada 27 Oktober 2025.




Tuntutan yang dikemukakan oleh penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan kepada Kerajaan Negeri Selangor ialah:
- Menangguhkan perobohan rumah – Mereka meminta pada Menteri Besar Selangor supaya mencampur tangan dan berbincang dengan pihak pemaju, syarikat Melati Ehsan, supaya menghentikan perobohan rumah yang dijadualkan pada 27 Oktober 2025. Menteri Besar Selangor patut menggunakan kewibawaan dan kuasa politik yang dipegangnya untuk mencari penyelesaian yang sesuai supaya mengelakkan peristiwa yang tidak diingini.
- Mengadakan rundingan tiga pihak – Mereka meminta Menteri Besar Selangor untuk mengatur satu rundingan rasmi yang melibatkan Jawatankuasa Penduduk Kampung Papan (yang mewakili penduduk asal yang masih menetap), syarikat TPPT Sdn. Bhd. dan syarikat Melati Ehsan Berhad. Tujuan rundingan ini adalah untuk menggesa pihak pemaju supaya menghormati dasar Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Harapan, iaitu peneroka tidak akan diusir sebelum penempatan semula yang munasabah disediakan.
- Melaksanakan keputusan MTES 2018 – Mereka meminta pada Menteri Besar Selangor supaya melaksanakan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat MTES pada 28 Februari 2018, sebagai penyelesaian mutlak bagi isu perumahan penduduk Kampung Jalan Papan, iaitu penduduk ditawarkan rumah teres berkeluasan 20’ x 70’ dengan harga RM99,000.
Turut hadir bersama penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan semasa penyerahan memorandum kepada Kerajaan Negeri pada hari ini ialah S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), M. Sivaranjani selaku Setiausaha Agung PSM dan Chong Yee Shan yang merupakan Ahli Jawatankuasa Pusat PSM.
“Kini ramai dalam kalangan penduduk Kampung Jalan Papan telah berusia dan uzur. Mereka telah menunggu terlalu lama untuk mendapatkan rumah alternatif yang dijanjikan,” kata Sivaranjani. “Walaupun pelbagai janji telah dibuat oleh pihak berwajib, sehingga hari ini, tiada sebarang penyelesaian konkrit dicapai. Menteri Besar Selangor harus mempercepatkan usaha menyelesaikan isu ini, demi menjaga kebajikan dan maruah penduduk yang telah lama teraniaya.”
“Kami percaya bahawa pelaksanaan keputusan MTES 2018 berkenaan Kampung Jalan Papan mampu menyelesaikan isu ini secara adil dan berperikemanusiaan, selaras dengan prinsip keadilan sosial yang dipegang oleh Kerajaan Negeri,” ulas Sivaranjani. “Keadaan terkini seolah-olah menjadi satu skandal, kerana tanah yang sepatutnya diperuntukkan untuk pembinaan rumah kos rendah kini digunakan untuk tujuan lain, sementara mereka yang sepatutnya menerima manfaat pula sedang diusir secara paksa!”
