(foto: Mounir Neddi / Wikipedia)

Gelombang protes Generasi Z (Gen Z) telah sampai di Maghribi apabila golongan anak muda di negara itu mula turun berdemonstrasi di jalanan pada 27 September 2025. Golongan demonstran menuntut penambahbaikan terhadap pendidikan dan kesihatan awam, sementara mempertikaikan pembaziran wang kerajaan dalam projek-projek yang dibangunkan untuk pertandingan bola sepak Piala Negara-negara Afrika 2025 dan Piala Dunia FIFA 2030.

Aksi protes terbaru di Maghribi dianjurkan oleh “GenZ 212”, sebuah rangkaian yang terdiri daripada golongan anak muda dan masyarakat akar umbi. Mereka yang berprotes itu tidak berpuas hati dengan masalah kemerosotan dalam sistem kesihatan, pendidikan dan keadaan hidup rakyat biasa. Golongan anak muda menolak korupsi sistemik, di samping berjuang untuk kebebasan, keadilan sosial dan kehidupan bermaruah.

Tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh golongan demonstran Gen Z di Maghribi termasuklah pendidikan percuma yang berkualiti tinggi, kesihatan awam yang mudah diakses, perumahan yang lebih mampu milik, pengangkutan awam yang lebih baik, subsidi untuk barangan keperluan asas, peningkatan gaji, penambahbaikan pencen dan peluang pekerjaan untuk golongan anak muda. Dalam satu kenyataan yang disiarkan di Discord, penganjur aksi protes GenZ 212 berkata, “Hak untuk kesihatan, pendidikan dan kehidupan bermaruah bukannya satu slogan kosong tetapi satu tuntutan serius!”

Aksi protes pada awalnya tercetus di bandar-bandar utama seperti Casablanca, Marrakesh dan Rabat, kemudian merebak ke bandar-bandar lain di seluruh negara Maghribi.

Pasukan keselamatan Maghribi telah menggunakan kekerasan untuk menyuraikan protes jalanan dan melakukan tangkapan besar-besaran terhadap demonstran. Ratusan orang telah ditangkap. 3 orang demonstran ditembak mati oleh pihak berkuasa pada 1 Oktober 2025 selepas sebuah balai Gendarmerie (tentera yang diberi tugasan polis) di bandar Lqliâa diserbu oleh golongan demonstran.

Maghribi sedang menghadapi masalah pengangguran anak muda yang tinggi, dengan kadar pengangguran anak muda mengikut statistik rasmi mencecah 35.8%. Sementara itu, orang ramai juga semakin tidak berpuas hati terhadap masalah korupsi yang berleluasa dan ketidaksaksamaan sosial yang semakin teruk di negara Afrika Utara itu. Walaupun ekonomi negara itu mengalami pertumbuhan yang memberangsangkan, ramai orang tidak merasakan kekayaan negara itu diagihkan secara adil.

Kemarahan rakyat menjadi lebih hebat lagi pada bulan September 2025 selepas dilaporkan 8 orang wanita mati semasa melahirkan anak di sebuah hospital awam di bandar Agadir, di mana tragedi itu dianggap sebagai kegagalan sistem kesihatan di negara itu. Sistem pendidikan awam di Maghribi juga mengalami pelbagai masalah kerana kekurangan dana.

Pada masa yang sama, kerajaan Maghribi membelanjakan berbilion-bilion dolar pembangunan infrastruktur untuk membolehkannya menjadi tuan rumah kepada pertandingan bola sepak Piala Negara-negara Afrika 2025 dan Piala Dunia FIFA 2030. Penganjuran acara sukan besar-besaran seperti Piala Dunia FIFA juga melibatkan perampasan tanah yang mengusir banyak keluarga miskin. Perbelanjaan wang yang begitu besar dalam penganjuran acara sukan antarabangsa pada ketika dana awam diperlukan untuk memperbaiki kesihatan, pendidikan dan pekerjaan rakyat, telah menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat tentang keutamaan kerajaan semasa. Adanya orang melaungkan slogan dengan pertanyaan yang kritikal, “Stadium di sini, tetapi di mana dia hospital?” Adanya juga slogan, “Kami tidak mahu Piala Dunia! Utamakan kesihatan!”

Rakyat berhak untuk mengecam kerajaan yang gagal menangani masalah rakyat. Namun, tindak balas kerajaan yang melakukan penangkapan besar-besaran, menggunakan kekerasan untuk mematahkan aksi protes dan enggan berdialog dengan masyarakat jelas menunjukkan bahawa kerajaan Maghribi sekarang ini tidak mempunyai penyelesaian sebenar untuk krisis semasa, sebaliknya bergantung pada keganasan negara untuk mematahkan gelombang protes rakyat. Ini sesuatu yang tidak dapat diterima oleh mereka yang berprotes pada masa ini, terutamanya golongan Gen Z yang menuntut masa hadapan lebih baik.  

Aksi demonstrasi terkini di Maghribi merupakan gelombang protes yang terbesar sejak tahun 2011-2012. Gelombang protes yang tercetus di Maghribi pada tahun 2011, semasa “Musim Bunga Arab”, telah berjaya mendesak Raja Mohammed VI yang memerintah negara itu untuk melepaskan sebahagian kuasanya kepada parlimen.  

Gerakan protes di Maghribi telah mendapat inspirasi daripada protes Gen Z di negara-negara seperti Nepal dan Madagaskar. Mereka menggunakan media sosial seperti Discord untuk menyelaraskan aksi protes mereka, di samping menyebarkan mesej melalui platform seperti TikTok dan Instagram.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *