(Berikut ialah kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh PSM Batu Gajah pada 22 September 2025)

oleh K. Kunasekaran

Merujuk kepada Notis Menyemak Semula Senarai Nilaian bertarikh 21 Ogos 2025 yang telah dikeluarkan oleh Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) kepada penduduk Taman Changkat Jaya, Parti Sosialis Malaysia (PSM) Parlimen Batu Gajah hari ini, bagi pihak penduduk, telah mengemukakan surat rasmi bantahan dan permohonan penjelasan kepada Yang Dipertua (YDP) MDBG.

Surat tersebut telah diserahkan secara rasmi kepada YDP Majlis Daerah Batu Gajah pada hari ini.

PSM menerima aduan daripada penduduk yang terkejut apabila nilai tahunan hartanah mereka dinaikkan daripada RM2,160 kepada RM11,520, iaitu peningkatan kira-kira 433%, sedangkan mutu perkhidmatan majlis tidak meningkat seiring dengannya. Walaupun kadar cukai tahunan nampak hanya naik sekitar 8% (daripada RM280.80 kepada RM303.26) kerana adanya had kawalan, asas nilaian baharu yang terlalu tinggi ini akan membebankan rakyat dalam jangka panjang.

Sedangkan pada masa yang sama, PSM menerima aduan mengenai mutu perkhidmatan majlis yang tidak sepadan dengan kenaikan tersebut. Antara aduan yang dibangkitkan termasuk:

  • Kutipan sampah tidak berjadual, malah ada yang dilakukan pada waktu tengah malam sehingga mengganggu ketenteraman awam;
  • Sampah yang tidak dikutip dengan baik dihurung anjing dan kucing liar, menimbulkan masalah kebersihan;
  • Longkang tersumbat dan tidak disenggara dengan baik;
  • Kerja pemotongan rumput dan penyelenggaraan kawasan awam tidak dijalankan secara memuaskan.

Selain itu, Ahli Majlis juga didapati gagal menjalankan tanggungjawab mereka di bawah Seksyen 10(2) Akta Kerajaan Tempatan 1976 untuk mewakili kepentingan komuniti sebelum bersetuju dengan kenaikan ini.

Sehubungan itu, PSM Parlimen Batu Gajah menuntut agar MDBG:

  1. Memberikan penjelasan bertulis berhubung asas kenaikan ini;
  2. Menangguhkan pelaksanaan kadar baharu sehingga semua bantahan penduduk dipertimbangkan;
  3. Menyemak semula kadar cukai taksiran dengan prinsip adil dan munasabah;
  4. Mengadakan rundingan telus dengan penduduk sebelum sebarang kenaikan dilaksanakan.

PSM menegaskan bahawa tindakan menaikkan cukai secara mendadak tanpa justifikasi kukuh adalah bertentangan dengan semangat keadilan sosial serta niat Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

PSM akan terus bersama penduduk untuk memastikan suara rakyat didengar dan hak mereka dilindungi.

==========

K. Kunasekaran ialah Penyelaras PSM Batu Gajah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *