Seminggu selepas Indonesia menyambut hari kemerdekaannya yang ke-80, negara itu dilanda satu lagi gelombang protes besar-besaran yang mencabar kekuasaan pemerintahan Presiden Prabowo Subianto. Aksi protes yang terbaru ini tercetus apabila Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR), iaitu Parlimen Indonesia, hendak meluluskan pemberian elaun perumahan bulanan sebanyak Rp 50 juta (bersamaan kira-kira RM12,800) kepada ahli-ahli parlimen, iaitu hampir 10 kali ganda gaji minimum di Jakarta, sedangkan kerajaan Prabowo cuba mengurangkan perbelanjaan sosial.
Gelombang aksi protes terbaru tercetus pada 25 Ogos 2025, dengan para demonstran yang terdiri daripada pelajar dan pekerja, berprotes di luar bangunan Dewan Perwakilan Rakyat di Jakarta. Pihak berkuasa bertindak keras terhadap para demonstran sehingga ratusan orang ditangkap.
Pada 28 Ogos 2025, berlakunya insiden kenderaan taktikal Barracuda milik Korps Brigade Mobil (Brimob) melanggar mati seorang pemandu teksi motosikal yang berumur 21 tahun dengan nama Affan Kurniawan. Affan Kurniawan bukannya seorang demonstran tetapi hanya lalu di tempat demonstrasi. Brimob ialah pasukan tindakan khas dalam Polis Negara Indonesia (POLRI). Pembunuhan Affan Kurniawan membarakan lagi kemarahan rakyat terhadap kerajaan Indonesia dan aksi protes berterusan. Walaupun Presiden Prabowo menyuruh untuk menjalankan siasatan terhadap insiden pelanggaran mati pemandu teksi motosikal itu, ia masih tidak dapat meredakan kemarahan rakyat terhadap keganasan polis.

Sementara itu, pada 28 Ogos 2025 sehari sahaja, lebih 600 orang peserta aksi protes ditangkap oleh pihak berkuasa. Penindasan terhadap para demonstran ini mendedahkan wajah sebenar rejim pemerintahan Prabowo yang zalim.
Prabowo Subianto mula mengambil alih kuasa pemerintahan sebagai Presiden Indonesia pada bulan Oktober 2024 selepas menang dalam Pilihan Raya Presiden pada bulan Februari 2024. Prabowo merupakan seorang jeneral zaman pemerintahan kediktatoran Suharto, dan kepresidenannya dianggap oleh ramai orang sebagai pengembalian unsur-unsur pemerintahan zalim “Orde Baru” zaman Suharto.
Dengan Prabowo meneruskan dasar yang mengakibatkan peningkatan pengangguran dan kesusahan ekonomi rakyat bawahan, di samping semakin menghakis ruang kebebasan demokratik, tercetusnya siri gelombang protes yang diterajui oleh golongan anak muda dan pekerja sejak bulan Februari 2025. Antara gelombang protes yang tercetus dalam tempoh enam bulan kebelakangan ini termasuk #IndonesiaGelap dan #TolakRUUTNI yang membantah peningkatan kekuasaan pihak tentera. Para demonstran juga membantah korupsi, pencabulan hak rakyat dan pelbagai kepincangan rejim pemerintahan Prabowo. Pekerja-pekerja yang berprotes juga menuntut hak pekerja dan penambahbaikan kebajikan pekerja.
Gelombang aksi protes rakyat Indonesia akan berterusan selagi rejim pemerintahan Prabowo masih menzalimi rakyat di negara itu.
2 thoughts on “Indonesia: Pihak berkuasa menzalimi demonstran yang lawan kepincangan rejim”