
oleh M. Sivaranjani
Kami daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengecam sekeras-kerasnya siasatan polis terhadap S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional PSM. Siasatan ini dikatakan berkaitan laporan seorang anggota polis yang mengalami kecederaan ketika perhimpunan Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) pada 13 Ogos 2025 di hadapan Bangunan Parlimen. Perhimpunan yang disertai oleh lebih 500 orang ini bertujuan untuk menyerahkan draf Akta Skim Perumahan Pekerja Ladang kepada Parlimen Malaysia supaya hak perumahan pekerja ladang dapat dijamin dan dilindungi.
Peserta-peserta perhimpunan dihalang oleh pihak polis daripada menghampiri Bangunan Parlimen. Para peserta bukannya hendak masuk ke perkarangan Bangunan Parlimen tetapi hanya ingin berkumpul di luar pintu pagar sahaja. Malah, pihak penganjur telah pun memberitahu perkara ini kepada pihak polis, Parlimen dan wakil-wakil rakyat sebelum perhimpunan ini diadakan. Draf akta yang dibawa oleh JSML itu akhirnya berjaya diserahkan kepada pihak berwajib, termasuk Yang di-Pertua Dewan Rakyat, wakil kerajaan dan wakil pembangkang.
Jelas bahawa tindakan pihak polis yang menghalang para peserta inilah yang menyebabkan berlakunya pergelutan. PSM ingin mengingatkan pihak polis supaya menjadi pemudah cara acara-acara sebegini demi menjamin hak rakyat biasa untuk berhimpun seperti yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Lebih-lebih lagi, Arul yang hadir bersolidariti bersama pekerja-pekerja ladanglah yang ditolak sehingga jatuh ke tanah. Ini jelas terpapar dalam beberapa siaran media serta video yang dimuat naik di media sosial. Arul juga tercedera akibat penghalangan pihak polis. Kini, Arul pula disiasat apabila beliau adalah mangsa.
Jikalau kerajaan MADANI memang menjunjung semangat keadilan, patutlah mereka menghentikan apa-apa penyiasatan terhadap Arul dan mengemas kini protokol pihak polis supaya tidak lagi menghalang perhimpunan aman sebegini. Moga segala kesulitan yang dialami ini dapat dielakkan pada masa hadapan.
==========
M. Sivaranjani ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).