PSM sentiasa mengambil berat terhadap sistem kesihatan awam di negara kita.
Pada tahun 2004, apabila kerajaan BN mengumumkan penswastaan dispensari di hospital-hospital kerajaan, iaitu membuka kedai-kedai farmasi di hospital-hospital kerajaan (untuk memberi pesakit “pilihan” untuk membeli ubat-ubatan), PSM telah menganjurkan perhimpunan besar-besaran di hadapan Kementerian Kesihatan di Putrajaya untuk membantah rancangan itu. Rancangan tersebut telah ditarik balik dan tidak dikemukakan semula sehingga hari ini.
Selepas itu, PSM telah menerajui pembentukan Gabungan Membantah Penswastaan Perkhidmatan Kesihatan (GMPPK), sebuah gabungan yang terdiri daripada parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk menentang sebarang percubaan penswastaan sistem kesihatan awam. Gabungan ini telah mengadakan banyak aktiviti untuk meningkatkan kesedaran rakyat tentang kecenderungan kerajaan BN dalam menswastakan sistem kesihatan awam. Salah satu aksi yang dilakukan ialah protes serentak di empat buah hospital yang dikenal pasti untuk pelaksanaan Skim Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh. Skim itu telah ditangguhkan beberapa bulan oleh kerana protes tersebut, tetapi dilancarkan secara senyap selepas itu.
Pada bulan September 2022, Forum Kesihatan Rakyat, sebuah gabungan yang dianggotai oleh PSM dan 4 buah NGO, telah menerbitkan sebuah dokumen yang bertajuk “Pelan Induk untuk Reformasi Kesihatan di Malaysia” (Blueprint for Health Care Reform in Malaysia). Dokumen yang mempunyai 32 muka surat ini telah menganalisis kelemahan yang wujud dalam sistem kesihatan awam dan mengemukakan cadangan-cadangan yang terperinci tentang bagaimana setiap kelemahan yang dikenal pasti itu dapat diatasi. Antara syor yang dibawa dalam dokumen Pelan Induk ini adalah:
- Hentikan Skim Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh kerana ia menjejaskan akses pesakit biasa (yang tidak berbayar) kepada doktor pakar di hospital kerajaan.
- Mengenakan moratorium terhadap hospital swasta baharu supaya dapat memperlahankan penghijrahan doktor pakar dari hospital kerajaan ke sektor swasta.
- Mewujudkan sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan Khas untuk kakitangan kesihatan supaya terma kerja yang lebih baik dapat ditawarkan kepada mereka.
- Meningkatkan peruntukan tahunan Kementerian Kesihatan kepada 5% KDNK.
Pelan Induk ini telah dikemukakan kepada Menteri Kesihatan pada masa itu dan Menteri Kesihatan sekarang. Kami juga telah bermesyuarat dengan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan memberitahunya tentang sebab-sebabnya kami mengetengahkan syor-syor yang disenaraikan di atas. Tetapi malangnya, adalah jelas bahawa Kerajaan MADANI menolak semua syor yang dikemukakan oleh pihak PSM, Forum Kesihatan Rakyat dan juga beberapa buah NGO lain. Sebaliknya, Kerajaan MADANI sedang melaksanakan program-program yang bertentangan dengan syor-syor yang kami kemukakan.
Oleh itu, PSM telah mengambil keputusan untuk membawa isu-isu ini kepada perhatian rakyat jelata. Kami ingin menjelaskan kepada rakyat Malaysia tentang betapa bahayanya program-program yang dipromosi oleh Kerajaan MADANI. Kami berharap bahawa rakyat akan memberi tekanan kepada kerajaan untuk menghentikan program-program yang akan menjejaskan lagi sistem kesihatan awam.
Kempen PSM akan memberi fokus kepada 4 isu utama:
1. Hentikan Skim Rakan KKM
Datuk Seri Dr. Dzulkefly sendiri telah mengumumkan bahawa pesakit dengan penyakit batu karang terpaksa menunggu selama 11 bulan untuk tarikh pembedahan dan tempoh menunggu selama 21 bulan untuk kanak-kanak dengan lubang dalam jantung. (The Star, 24/7/25) Dalam situasi sebegini, bukanlah sesuatu yang sukar sangat untuk menjangkakan apa yang akan berlaku jika skim Rakan KKM dilancarkan di semua hospital besar. Sudah tentu tempoh menunggu untuk pesakit yang tidak mampu membayar akan meningkat secara mendadak.
2. Moratorium terhadap hospital swasta baharu untuk lima tahun akan datang
Setiap kali sebuah hospital swasta baharu dibuka, pengusaha hospital swasta itu akan menarik doktor pakar dari hospital kerajaan. Perkara ini berulang di Sunway Medical Centre yang baru dilancar di Ipoh. Sunway telah merekrut doktor pakar daripada sektor kerajaan dengan janji pendapatan bulanan mereka akan ditambah (top-up) sehingga RM70,000 untuk tahun pertama. Ini bererti, jika pendapatan doktor pakar itu tidak mencapai RM70,000 untuk mana-mana bulan dalam tahun pertama, pemilik hospital swasta itu akan menambahkannya kepada jumlah itu. Sunway Medical Centre telah berjaya menarik 15 orang pakar kerajaan dengan tawaran sebegini. Selagi pendekatan perniagaan diutamakan dan lebih banyak hospital swasta dibenarkan untuk dibuka, masalah kekurangan doktor pakar di hospital kerajaan tidak akan dapat ditangani.
3. Peningkatan peruntukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada 5% KDNK
Pada masa ini peruntukan KKM hanyalah 2.3% KDNK. Ini jauh lebih rendah berbanding negara-negara lain. Pada tahun 2024, Britain memperuntukkan sebanyak 9.6% KDNK kepada sistem kesihatan awam di negara itu. Singapura memperuntukkan 3.74% KDNK kepada sistem kesihatan awam pada tahun 2024 dan Thailand 3.97% KDNKnya. Mengapa Malaysia tidak boleh berbuat demikian? Jika kita mengambil langkah-langkah tegas untuk menghentikan ketirisan dana sebanyak RM30 hingga 40 bilion setahun, kita pun boleh meningkatkan peruntukan KKM.
4. Wujudkan siling untuk caj-caj hospital swasta
Pada masa ini, walaupun wujudnya siling bagi bayaran yang dikenakan oleh doktor swasta, langsung tiada siling untuk caj-caj bayaran yang dikenakan oleh hospital swasta seperti X-ray, pengimbasan CT dan MRI, pemeriksaan darah, penggunaan dewan bedah, ubat-ubatan, peranti perubatan dan perkhidmatan/bekalan lain. Caj doktor merupakan hanya 30% daripada jumlah bil hospital swasta. Pihak pengurusan hospital swasta memperolehi 70% daripada jumlah yang dibayar oleh pesakit. Caj-caj ini harus dipantau dan dikawal.
PSM bercadang untuk membawa analisis kami kepada perhatian rakyat di seluruh negara melalui ceramah, risalah, kenyataan akhbar, mesej di media sosial dan sebagainya. Kami berharap bahawa rakyat jelata akan sedar tentang kesan buruk pendekatan yang sedang diambil oleh kerajaan untuk “berniaga” dengan kesihatan, dan rakyat akan mendesak kerajaan untuk menghentikan program-program yang akan menyusahkan rakyat. Sehingga hari ini, Kerajaan MADANI telah menolak syor-syor PSM. Mungkin dengan suara rakyat yang lebih lantang, kerajaan akan akur.
==========
Kenyataan akhbar ini dikeluarkan oleh Gandipan Nantha Gopalan, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Kempen Selamatkan Sistem Kesihatan Awam.
One thought on “PSM lancarkan kempen Selamatkan Sistem Kesihatan Awam”