oleh S. Arutchelvan
Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah dijemput oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang merupakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Perikatan Nasional (PN) untuk satu perjumpaan bersama pemimpin-pemimpin parti pembangkang. PSM telah menghadiri perjumpaan tersebut, kerana ia tidak bercanggah dengan pendirian PSM untuk hadir jika dipanggil mesyuarat oleh mana-mana parti politik.
Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melontarkan beberapa cadangan termasuk satu persefahaman merentasi parti-parti politik pembangkang. PSM menyambut baik perbincangan yang diadakan dan telah memberikan pandangan dan posisi kami. Namun begitu, tidak ada sebarang keputusan oleh PSM untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) mahupun sebarang gabungan baharu.
Selaras dengan pendirian PSM sebelum ini, PSM hanya mempunyai perikatan persefahaman politik dengan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Sebelum ini pun, PSM pernah mempunyai persefahaman politik dengan Gagasan Demokrasi Rakyat (GDR) dan Pakatan Rakyat (PR).
Sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana gabungan politik hanya boleh diambil oleh Kongres PSM selaras dengan tradisi Sentralisme Demokratik yang diamalkan oleh parti selama ini.
==========
S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).