oleh Gandipan Nantha Gopalan
Parti Sosialis Malaysia (PSM) membantah sekeras-kerasnya tindakan universiti awam yang membuka laluan penswastaan seperti UKMShape (UKM), SATU (UM) dan UiTMSeatPlus (UiTM) yang mengenakan yuran terlalu tinggi kepada pelajar.
PSM berpandangan bahawa pendidikan tinggi adalah satu hak, bukan barang komersial. Universiti awam dibina atas satu kontrak sosial bahawa mereka berkhidmat kepada rakyat, bukan kepada pasaran. Justeru, tempat-tempat yang disediakan dalam universiti awam sepatutnya diutamakan untuk pelajar lepasan STPM dan Matrikulasi, bukan dijual kepada mereka yang mampu membayar berpuluh ribu ringgit ataupun kepada yang mampu berhutang dengan PTPTN.
Tindakan universiti awam menawarkan tempat kepada laluan komersial ini mencerminkan satu bentuk penswastaan secara senyap (creeping privatisation) yang bertentangan dengan semangat pendidikan percuma dan akses saksama untuk semua. Semangat ini turut dikongsi oleh Perdana Menteri kita. Kita tidak harus membiarkan penswastaan secara senyap ini berlaku yang selalunya menjurus kepada pengkomersialan institusi pendidikan secara sepenuhnya.
PSM menegaskan bahawa pendidikan tinggi harus dibiayai secara menyeluruh oleh negara, kerana para graduan inilah yang akan berkhidmat kepada masyarakat di seluruh pelosok negara termasuk di kawasan pedalaman, kampung dan negeri-negeri yang kurang membangun. Bagaimana masyarakat boleh mengharapkan graduan untuk turun ke lapangan demi rakyat jika mereka dipaksa untuk menanggung beban hutang pendidikan yang tinggi?
Justeru, PSM menuntut agar semua rancangan laluan komersial universiti awam haruslah dihentikan segera dan dialihkan semula kepada pelajar lepasan STPM dan matrikulasi. PSM juga ingin menegaskan bahawa universiti awam tidak sepatutnya berdiam diri tentang ketidakcukupan peruntukan kerajaan. Sebaliknya, pihak pengurusan universiti harus bangkit menuntut pembiayaan yang mencukupi demi memastikan mereka dapat menjalankan fungsi awam mereka dengan baik. Jika pengurusan universiti awam memilih untuk melawan demi menuntut pembiayaan adil daripada kerajaan, PSM akan berdiri teguh bersama mereka.
PSM juga bersolidariti dengan kumpulan-kumpulan mahasiswa yang sedang membawa isu ini kepada perhatian rakyat dan mengambil pendirian menentang laluan penswastaan ini. Universiti awam haruslah kembali kepada peranannya sebagai institusi pendidikan rakyat, bukan entiti perniagaan. Pendidikan adalah hak rakyat. Jangan gadaikan masa depan generasi muda kepada logik pasaran.
==========
Gandipan Nantha Gopalan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).