
PUTRAJAYA – 1 JULAI 2025: Penduduk-penduduk Kampung Jawa, Klang, menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya mencampur tangan dalam menyelesaikan isu pampasan berkaitan pengambilan tanah bagi projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE). Seruan itu dibuat dalam sebuah memorandum yang diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri pada hari ini.
Turut hadir bersolidariti bersama-sama penduduk-penduduk Kampung Jawa semasa penyerahan memorandum ialah Suresh Balasubramaniam, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Mereka yang berkenaan merupakan pemilik-pemilik tanah Lot 10433 di kawasan Kampung Jawa, Klang, Selangor. Mereka mengusahakan perniagaan kecil seperti bengkel, stor, kedai runcit dan kedai membaiki kereta di situ.
Pejabat Daerah dan Tanah Klang menerbitkan warta kerajaan pada tahun 2015 di bawah Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 untuk mengambil tanah Lot 10433. Walaupun nilai pampasan yang diberikan itu kurang daripada nilai yang ditentukan oleh juruukur persendirian yang dilantik oleh pemilik-pemilik tanah berkenaan, mereka pada dasarnya bersetuju dengan pampasan yang ditawarkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Klang dan tidak memfailkan tindakan mahkamah.
Namun, Pejabat Daerah dan Tanah Klang telah menarik balik tawaran pampasan yang asal itu pada tahun 2021, dan menyatakan bahawa tiada pampasan untuk struktur yang terletak di atas tanah Lot 10433. Oleh sebab mempunyai pertikaian terhadap penilaian pampasan tanah oleh Pejabat Daerah dan Tanah Klang yang dibuat pada bulan Mei 2023, pemilik-pemilik Lot 10433 Kampung Jawa memfailkan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Struktur-struktur di atas tanah Lot 10433 Kampung Jawa telah dirobohkan apabila orang suruhan yang diupah oleh West Coast Expressway Sdn Bhd memasuki kawasan itu. Orang suruhan daripada sebuah syarikat bernama Ambang Kota Enterprise telah membawa masuk jentolak untuk merobohkan struktur di situ.

“Tindakan ‘flip-flop’ oleh Pejabat Daerah dan Tanah Klang dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor dalam tempoh masa 6 tahun jelas menunjukkan terdapat perubahan dasar atau pendirian berkenaan pampasan struktur pemilik tanah di Lot 10433 khususnya,” begitu tulisnya memorandum yang diserahkan oleh Jawatankuasa Bertindak Pemilik-pemilik Lot 10433 Kampung Jawa. “Ke manakah perginya kini pampasan yang telah diperuntukkan pada tahun 2017?”
Jawatankuasa Bertindak Pemilik-pemilik Lot 10433 Kampung Jawa juga menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap penglibatan syarikat West Coast Expressway Sdn Bhd secara langsung dalam pengusiran pemilik-pemilik tanah Lot 10433. Pada awal bulan Jun 2025, 19 orang pemilik tanah di Kampung Jawa mendakwa bahawa syarikat itu menggunakan kekerasan untuk mengusir mereka dan pengusiran itu dilakukan tanpa kebenaran yang sah. Syarikat West Coast Expressway Sdn Bhd dituduh melakukan operasi pada waktu malam untuk mengusir penduduk.
“Tujuan pembinaan WCE nampaknya bukan semata-mata untuk menyediakan lebuh raya, tetapi merupakan satu lagi projek untuk mengaut keuntungan untuk golongan mahakaya Malaysia,” kata Suresh Balasubramaniam. “Tan Sri Surin Upatkoon, individu yang ke-18 terkaya di Malaysia, memiliki 27.5 % saham dalam WCE. Pemilik syarikat Mamee Double Decker, Tan Sri Pang Tee Chew juga memiliki 9 % saham dalam WCE. Penganugerahan projek WCE pada tahun 2012 kepada Kumpulan Europlus Bhd telah menjadikan seorang pemiliknya mengaut keuntungan cepat bernilai ratusan juta ringgit.”
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat WCE Holdings Bhd, Lyndon Alfred Felix, kutipan tol WCE adalah sekitar RM400,000 hingga RM 500,000 sehari. Pada tahun 2025, kutipan tol WCE telah bertambah 2 kali ganda, dan ini dijangka akan berlipat ganda lagi selepas WCE dibuka sepenuhnya. Pada tahun 2013, WCE diberikan konsesi paling lama dalam sejarah lebuhraya di Malaysia, iaitu selama 60 tahun untuk mengaut keuntungan.
Kerajaan Persekutuan telah menjanjikan pada tahun 2012 akan menanggung pampasan sebanyak RM980 juta kepada pemilik-pemilik tanah yang terjejas oleh projek pembinaan WCE.
Jawatankuasa Bertindak Pemilik-pemilik Lot 10433 Kampung Jawa meminta Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan mencampur tangan segera untuk menyelesaikan isu pampasan yang dihadapi oleh pemilik-pemilik tanah berkenaan. Tuntutan yang dikemukakan dalam memorandum yang ditujukan kepada Perdana Menteri ialah:
- Memberikan pampasan yang sewajarnya untuk struktur dan tanah milik orang berkenaan.
- Menyiasat bagaimana pampasan yang telah diperuntukkan pada tahun 2017 boleh hilang pada tahun 2023.
- Menyiasat sama ada Pejabat Daerah dan Tanah Klang dan PTG Selangor terlibat sama dalam bersekongkol dengan syarikat WCE untuk menafikan hak pemilik tanah mendapatkan pampasan yang sepatutnya.
- Menyiasat jika terdapat pengaruh rasuah atau politik dalam penafian pampasan yang sepatutnya.
“Kita semua sedar pembukaan jalan raya atau lebuh raya bukan satu penyelesaian masalah trafik di Malaysia. Kami berharap Perdana Menteri dapat menjadikan Malaysia sebuah negara yang progresif dengan mengurangkan kenderaan persendirian dan memperbanyakkan serta mempermudahkan pengangkutan awam.” tambah Suresh Balasubramaniam semasa penyerahan memorandum.