oleh S. Arutchelvan

Setelah 4 tahun bersama (dalam penganjuran aksi perhimpunan Hari Pekerja 1 Mei 1994) dan berikutan perbincangan pertama di rumah Oktagon Dr. Nasir Hashim pada bulan Januari 1996, kami membuat keputusan untuk memohon pendaftaran Parti Sosialis Malaysia (PSM) di Pejabat Pendaftar Pertubuhan Selangor di Plaza Pekeliling pada 30 April 1998.

Jika Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) dibuka pada hari pekerja 1 Mei, kemungkinan kami akan mendaftar parti pada 1 Mei 1998. Pada tarikh keramat 30 April 1998, iaitu 27 tahun yang lalu, saya selaku Setiausaha Agung Protem PSM bersama Dr. Nasir selaku Pengerusi Protem PSM dan V. Selvam selaku Ahli Jawatankuasa Pusat telah pergi ke Pejabat ROS untuk mendaftarkan sebuah parti dengan nama Sosialis.

Tidak ada media dijemput dan hanya satu liputan kecil dalam akhbar The Star pada 1 Mei 1998 di mana dengan sinis dan pesimis ada pertanyaan sama ada parti berjenama sosialis ini boleh bertahan memandangkan beberapa cubaan parti lain telah gagal.

Sejak itu, PSM mengharungi pelbagai cabaran, antaranya mengambil masa 10 tahun untuk berdaftar. Pada tahun 2011, 6 orang kepimpinan parti ditahan di bawah Ordinan Darurat dan mengalami pelbagai kekalahan dalam pilihan raya termasuk hilang deposit.

Pelbagai desakan daripada orang awam dan kawan-kawan untuk kita mengembangkan parti, maka parti kita perlu tukar nama parti, perlu tukar logo parti dan perlu tukar warna parti. Ada juga desakan bahawa parti harus membawa golongan teknokrat dan profesional untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) dan sebagainya.

PSM juga disuruh tukar identiti parti yang dilihat sebagai parti satu kaum dan parti kaki demonstrasi sahaja. Kita juga sering digoda dalam ungkapan Lenin oleh golongan oportunis dan golongan ultra-kiri, yang mahu PSM lebih condong ke kanan dan ke kiri. PSM telah bertahan dengan amalan sentralisme demokratik dan disiplin yang kuat dalam bab ini.

Hari ini PSM masih dapat menawan hati rakyat dan menjadi relevan, walaupun hanya memperoleh 6% undi dalam PRK Ayer Kuning. Parti yang awalnya hanya parti pekerja ladang dan peneroka bandar telah berubah wajah, komposisi kaum dalam parti telah berubah, malah parti terus dapat menarik minat golongan anak muda daripada pelbagai kaum. Walaupun PSM masih parti kaki demonstrasi, PSM juga telah mengemukakan pelbagai dasar di mana ada yang sudah pun menjadi undang-undang.

Pada hari ini, pakailah lencana parti dengan bangga, kibarkan bendera parti PSM dengan megah di pejabat parti dan rumah. PSM masih wujud dan relevan.

Di lautan bendera biru di Ayer Kuning, bendera merah berkibar megah. Di lautan parti kapitalis di Malaysia, parti sosialis tidak bisa berundur.

Jumpa anda semua esok dalam aksi Hari Pekerja 1 Mei.

Kuasa Ketiga, Kuasa Kita!

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *