oleh S. Arutchelvan

Bawani KS, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan DUN Ayer Kuning, telah meraih sebanyak 1,106 undi, bersamaan 6.07% daripada jumlah undi yang sah. Ini berlaku walaupun peratusan keluar mengundi yang lebih rendah, iaitu 58.07% berbanding 74.85% dalam pilihan raya yang lalu. PSM teruja dengan keputusan yang menunjukkan prestasi lebih baik bagi calon PSM berbanding pilihan raya yang lalu. Dalam pilihan raya lalu, PSM memperoleh 2.5% daripada jumlah undi, dan kali ini meningkat lebih dua kali ganda walaupun peratusan keluar mengundi yang lebih rendah.

PSM bukannya pemain baharu dalam politik Malaysia. Apabila kami memasuki gelanggang PRK Ayer Kuning, kami sedar bahawa sistem pengundian “pemenang undi terbanyak” (first-past-the-post) tidak berpihak kepada mana-mana parti ketiga atau kuasa ketiga. PSM menyertai pertarungan ini untuk menguji undi popular kami, dan menggunakan pilihan raya kecil ini untuk mengetengahkan beberapa isu penting berkaitan kemelut komuniti-komuniti terpinggir serta isu-isu yang melibatkan 80% rakyat Malaysia – kesihatan, alam sekitar dan perumahan. Sebanyak 8 sidang akhbar telah diadakan, mengenai masalah yang dihadapi oleh golongan petani, Orang Asli dan anak muda. Isu-isu ini mengatasi isu-isu yang dibangkitkan oleh parti pemerintah dan parti pembangkang yang lebih memfokus pada perkara yang berpaksikan keperibadian serta isu yang diilhamkan perkauman seperti penternakan babi.

Walaupun dua buah gabungan gergasi menggunakan keseluruhan jentera mereka yang besar, PSM dan rakan sepakatannya tidak mudah mengalah. Parti pemerintah dan parti penyandang tanpa segan silu menggunakan jentera kerajaan secara maksimum. Menteri-menteri yang datang diiringi oleh polis untuk berkempen, dan melanggar peraturan pilihan raya. Gabungan BN-PH membelanjakan wang yang banyak dalam jamuan makan malam, dengan perbelanjaan untuk sebuah jamuan makan malam mungkin lebih banyak berbanding semua wang yang dibelanjakan oleh PSM dalam kempen pilihan raya ini. Inilah jurang perbezaannya. Selain itu, mereka juga berjaya mewujudkan ketakutan dalam kalangan pengundi, menghalang ceramah anjuran PSM dan menanggalkan bendera PSM.

Walaupun menghadapi pelbagai rintangan, PSM dan rakan-rakan seperjuangannya berjaya mengatasinya di setiap aspek. Kami telah menaikkan 3,000 batang bendera merah untuk melawan lautan bendera biru. Kami menaikkan sepanduk-sepanduk dan bunting mengenai isu-isu rakyat dan ini membuat pihak lawan kami gelisah dengan ratusan bendera PSM diturunkan. Kami mengeluarkan risalah dalam tiga bahasa dan setanding dengan dua buah gabungan besar.

Walau bagaimanapun, Bawani KS sebagai satu-satunya calon wanita dan aktivis yang tampil berani serta mengadakan sebuah kempen yang penuh bersemangat, beliau berjaya menawan hati ramai orang. Ramai orang juga menyertai PSM. Beliau berterima kasih kepada penyokong-penyokong, dan berkata bahawa walaupun kami kalah, kami telah menawan hati ramai rakyat Malaysia.

Kami ingin berterima kasih kepada MUDA dan PRM, begitu juga dengan URIMAI atas sokongan mereka sepanjang kempen pilihan raya ini. Kerjasama ini boleh diperkukuhkan dalam pilihan raya akan datang dengan parti-parti lain untuk membina sebuah kuasa ketiga yang sebenar.

Hati kami bersama ribuan rakyat di luar sana yang mahu melihat Bawani menang. Mereka melakukan segala yang mereka mampu untuk memenangkan Bawani dan memberi pengajaran kepada Kerajaan Madani. Kempen kami ditaja sepenuhnya oleh rakyat. Kami menerima banyak sokongan kewangan antara RM10 hingga RM20 daripada ramai rakyat biasa. Ramai warga Malaysia kelas menengah turut menyalurkan wang ke dalam akaun bank PSM untuk membantu kempen kami. Kami berterima kasih kepada mereka semua dan akan menyediakan akaun penuh setelah semua urusan kewangan diambil kira. Pihak media juga bermurah hati dan memberikan kami liputan yang adil.

Politik Malaysia masih jauh lagi daripada memberi pengiktirafan kepada calon dan parti yang berasaskan merit dan rekod prestasi. Politik berasaskan perkauman masih mendominasi kehidupan kita. PSM berazam untuk melawan dalam pertempuran ideologi ini dan terus berjuang di sepanjang garis perjuangan ini. Kita memerlukan sebuah dunia yang lebih baik untuk rakyat terbanyak, bukannya segelintir kecil.

Kami hilang deposit, tetapi prinsip dan integriti kami kekal utuh serta relevan.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

One thought on “Keputusan PRK Ayer Kuning: Teruja dan menggalakkan bagi PSM

  1. PSM, you have done Great despite losing your deposit in the PRK Ayer Kuning. The number of votes received by YB Bawani is more than double that of the previous Election even though the voter turn out was only abt 58 percent compared to 74 percent previously. This result in itself is a victory for PSM, Urimai, Muda and others.
    This 3rd Force is the silent awakening of the rakyat to put many wrongs Right!

    I , for one, think the majority Non Malay votes
    still went to BN despite so many issues plaguing the rakyat. This is due to the ‘heavy machinery’ of the BN component party.
    Though the candidate from BN was from UMNO, but the rakyat voted for MIC & MCA for the BN win, lest anyone should forget.
    So this win by BN is actually for UMNO, MCA MIC!
    As for PSM, I believe the outcome would have been very different if the Election was in an urban constituency. The rural setting is a Good testing ground and you have succeeded in gauging the rakyat’s sentiments.
    Therefore my analysis is that, PSM may have better fortunes contesting in an urban constituency the next time.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *