AIR KUNING, PERAK – 18 APRIL 2025: Kawasan DUN Ayer Kuning memerlukan penjanaan pekerjaan yang mampan dan bermanfaat kepada masyarakat untuk mengekalkan anak muda atau mendorong anak muda pulang ke kampung halaman mereka demi membangunkan kawasan ini ke arah yang sejahtera. Inilah visi buat anak muda di kawasan DUN Ayer Kuning yang dikemukakan oleh Bawani KS, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan DUN Ayer Kuning, semasa sidang media bersama Pemuda Sosialis PSM, Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Teroka by MUDA (TEROKA).

Bawani KS menyatakan sokongannya kepada tuntutan-tuntutan yang dikemukakan dalam kenyataan bersama oleh Pemuda Sosialis PSM dan TEROKA, untuk membina dan memajukan anak muda di negara kita. Tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh Pemuda Sosialis PSM dan TEROKA termasuk:

  • Melindungi hak mahasiswa yang menjadi pelatih (intern);
  • Kemasukan universiti yang saksama;
  • Memperkukuhkan pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional);
  • Menggubal Undang-undang Anti-Diskriminasi Pekerjaan untuk menjamin peluang pekerjaan yang adil;
  • Melaksanakan Pendapatan Asas Sejagat (UBI) dan mereformasikan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk memastikan akauntabiliti dan demokrasi tempatan;
  • Menangani masalah penghijrahan bakat muda.

“Terdapat banyak anak muda di kawasan DUN Ayer Kuning terpaksa merantau ke tempat lain untuk bekerja kerana tiada peluang pekerjaan di sini,” kata Bawani KS ketika membincangkan situasi golongan anak muda di kawasan DUN Ayer Kuning. “Kita perlu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di kawasan DUN Ayer Kuning yang menjamin pendapatan bermaruah dan kehidupan sejahtera.”

Bawani mencadangkan bahawa kerajaan harus memainkan peranan yang proaktif dalam menjana lebih peluang pekerjaan dalam sektor pertanian, dengan memberikan lebih banyak insentif, lebih banyak latihan dan sokongan institusi kepada golongan anak muda untuk memudahkan mereka melibatkan diri dalam pertanian yang mampan.

“Penglibatan anak muda dalam pertanian memang sangat kurang pada masa ini, kerana ia dianggap sebagai kerja yang susah,” ulas Bawani KS. “Namun, pertanian merupakan satu sektor ekonomi yang penting kerana ia melibatkan keterjaminan makanan bagi seluruh rakyat. Kerajaan perlu mewujudkan infrastruktur dan memberi lebih banyak dorongan kepada anak muda supaya mereka dapat menceburi bidang ini. Apabila pertanian setempat dapat dibangunkan secara mampan, ia juga dapat menggalakkan pembangunan pelancongan pertanian (agro-tourism) yang memajukan kawasan ini selanjutnya.”

Bawani juga mencadangkan supaya diwujudkan skim jaminan kerja yang memfokus pada bidang perkhidmatan penjagaan. “Terdapat banyak warga emas di kawasan ini yang memerlukan pelbagai perkhidmatan jagaan,” kata Bawani. “Jagaan warga emas dan juga perkhidmatan penjagaan lain merupakan kerja profesional yang memerlukan latihan dan dedikasi. Kerja ini boleh dilakukan oleh golongan anak muda yang terlatih dengan ilmu pengetahuan yang sesuai.”

Dalam semangat memajukan penglibatan demokratik anak muda dalam proses politik, Bawani mencadangkan mewujudkan majlis perwakilan anak muda di peringkat DUN untuk membolehkan golongan anak muda mengambil bahagian dalam usaha membangunkan masyarakat setempat dan memantau pelaksanaan dasar sosial yang berkaitan dengan kepentingan mereka.

Bawani KS turut menegaskan bahawa, walaupun hanya satu kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak jika dia menang dalam PRK Ayer Kuning, peranan dan tanggungjawab ADUN adalah membawa cadangan dasar yang bernas dalam DUN supaya dibincangkan dan dilaksanakan.

Turut hadir dalam sidang akhbar hari ini ialah Fayyadh Jaafar selaku Ketua Komunikasi MUDA Segambut, selaku R. Sangaran selaku Ketua MUDA Tapah, Foo Tun Xiang yang merupakan peserta TEROKA Kohort 2 dan Muhamad Irfan yang merupakan anggota Pemuda Sosialis PSM.  

One thought on “Tegakkan aspirasi anak muda dan wujudkan pekerjaan yang mampan di Ayer Kuning

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *