
Berikut ialah kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Pemuda Sosialis PSM dan Teroka by MUDA (TEROKA), pada 18 April 2025 sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning.
***********
Pemuda Sosialis, sayap anak muda Parti Sosialis Malaysia (PSM), bersama Teroka by MUDA (TEROKA), hari ini menyatakan kesepakatan dalam memperjuangkan agenda anak muda demi masa depan negara. Kami tampil bukan sekadar untuk mengkritik, tetapi untuk mengemukakan penyelesaian yang membina dan berpaksikan realiti semasa.
Fokus utama kami meliputi enam bidang kritikal: memperjuangkan hak mahasiswa, mewujudkan peluang pekerjaan yang adil, menangani penghijrahan bakat muda, memperkukuh pendidikan STEM dan TVET, menuntut sistem pendidikan yang praktikal serta memperkenalkan reformasi struktur dalam pentadbiran tempatan dan ekonomi rakyat.
1. Intern bukan buruh percuma
Setiap tahun, ribuan mahasiswa menjalani latihan industri selama 4 hingga 6 bulan, bekerja 8 hingga 9 jam sehari tanpa menerima bayaran setimpal. Kami mencadangkan agar kerajaan mewajibkan semua majikan membayar elaun minimum yang setara dengan gaji minimum negara. Intern juga wajar dilindungi di bawah PERKESO dan diberikan akses kepada caruman KWSP. Ini bukan sahaja adil, malah penting untuk membina asas perlindungan sosial bagi tenaga kerja masa depan.
2. Kemasukan universiti yang saksama
Kami menuntut satu sistem pengambilan pelajar ke IPTA yang seimbang dan inklusif, dengan nisbah 50:50 antara merit akademik dan latar belakang sosioekonomi. Pelajar cemerlang dari semua etnik dan kawasan terpinggir wajar diberi tempat tanpa diskriminasi. Mereka juga harus ditawarkan biasiswa penuh atau pinjaman pendidikan berdasarkan keperluan sebenar, berasaskan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI).
3. Pendidikan berasaskan kemahiran nyata
Sistem pendidikan mesti memberi tumpuan kepada penguasaan kemahiran praktikal dan bukan hanya pencapaian akademik. Kami menggesa agar TVET diperkukuh serta program externship dan internship diperluas agar graduan bukan sahaja berilmu, tetapi juga berkemahiran tinggi dan bersedia menyumbang secara langsung dalam sektor pekerjaan.
4. Undang-undang Anti-Diskriminasi Pekerjaan
Diskriminasi dalam iklan kerja berdasarkan kaum, agama atau bahasa masih berlaku secara terbuka. Kami menggesa agar Rang Undang-Undang Anti-Diskriminasi Pekerjaan digubal dan dikuatkuasakan. Proses pengambilan pekerja harus dijalankan secara telus, adil dan berlandaskan kecekapan, bukannya identiti.
5. Pendapatan Asas Sejagat dan Reformasi PBT
Demi memastikan jaminan sosial dan kesejahteraan jangka panjang, kami mencadangkan pelaksanaan Pendapatan Asas Sejagat (UBI). Kami juga menuntut agar peruntukan belanjawan negeri diagihkan secara lebih adil berdasarkan sumbangan kepada persekutuan, kuasa pentadbiran tempatan (PBT) diperkasakan termasuk kuasa cukai dan pilihan raya PBT disegerakan bagi memastikan akauntabiliti dan demokrasi tempatan.
6. Menawan kembali bakat tempatan
Penghijrahan graduan perlu ditangani secara sistematik. Kami mencadangkan insentif untuk menggalakkan kerja jarak jauh, mewujudkan peluang untuk Malaysia menjadi hab bakat global serta menarik kepulangan warga Malaysia di luar negara — khususnya dalam sektor teknikal dan R&D. Kerajaan juga perlu memperluas program peningkatan kemahiran, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi di Johor bagi warga Malaysia di Singapura dan menghidupkan sektor-sektor kritikal yang sering dipinggirkan seperti penjagaan warga emas, pertanian moden dan pemuliharaan alam sekitar.
Tuntutan ini lahir daripada kerjasama strategik antara Pemuda Sosialis dan TEROKA, dengan asas perjuangan yang jelas: keadilan sosial, kesaksamaan peluang dan pembangunan mampan.
One thought on “Seruan anak muda dalam PRK Ayer Kuning: Bina masa depan yang lebih cerah untuk anak muda”