AIR KUNING, PERAK – 16 APRIL 2025: “Siapa yang mampu membeli rumah berharga RM400,000 di kawasan DUN Ayer Kuning?” Inilah soalan yang dibangkitkan oleh Bawani KS, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan DUN Ayer Kuning, semasa mengadakan sidang akhbar khas pada hari ini di hadapan sebuah tapak pembinaan rumah yang tidak mampu dimiliki oleh kebanyakan penduduk Air Kuning dan kawasan sekitar.

Tapak projek perumahan di mana sidang akhbar itu diadakan sedang dibina rumah yang dijual dengan harga dari RM398,000 hingga RM528,000 seunit.

“Rumah untuk diduduki rakyat merupakan satu keperluan asas dan hak asasi manusia,” tegas kata Bawani, yang juga merupakan Timbalan Setiausaha Agung PSM merangkap Pengerusi PSM Negeri Perak. “Malangnya, harga rumah sedang melambung tinggi, dan kos sewa rumah juga sangat tinggi bagi rakyat biasa.”

“Spekulasi tanah oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut menaikkan harga rumah,” ulas Bawani. “Banyak kerajaan negeri melupuskan tanah kerajaan kepada GLC mereka sendiri. Selepas itu, GLC itu mengaut keuntungan dengan melaksanakan projek perumahan usaha sama dengan pemaju swasta. Masalah dengan model pembangunan sebegini adalah harga rumah terus meningkat, sementara rakyat biasa yang sengsara dan masih tidak mampu memiliki rumah sendiri.”

Bawani juga membangkitkan isu sewa rumah tinggi yang dihadapi oleh golongan lapisan B20 sehingga perlu mengurangkan perbelanjaan asas, seperti makanan, sehingga mengakibatkan masalah kekurangan zat dalam kalangan ahli-ahli keluarga mereka termasuk kanak-kanak. “Stok rumah dengan sewa rendah sedang berkurangan kerana ‘pembangunan’ yang membina rumah dengan harga jualan tinggi. Sementara itu, rumah-rumah di kawasan kampung ‘setinggan’, di mana rumah dapat disewa dengan kos rendah, sedang dirobohkan dan digantikan dengan rumah yang mempunyai geran tanah tetapi dengan harga yang tinggi. Lapisan masyarakat B20 memang menghadapi banyak masalah dalam mendapat rumah sewa dengan kos yang mampu bayar.”

Bawani mengemukakan syor-syor berikut untuk mengatasi masalah perumahan yang dihadapi oleh rakyat bawahan di kawasan DUN Ayer Kuning dan negeri Perak:

  • Kerajaan Negeri Perak harus membina lebih banyak rumah PPR (Program Perumahan Rakyat) di semua bandar di Perak untuk disewa kepada lapisan masyarakat B20 dengan sewa yang murah. Golongan B20 memang tidak mampu membeli rumah mereka sendiri. Jika dikenakan sewa rumah yang tinggi pula, mereka terpaksa mengurangkan perbelanjaan asas yang lain untuk ahli-ahli keluarga, seperti pengurangan makanan yang boleh mengakibatkan masalah kekurangan zat dalam kalangan ahli-ahli keluarga mereka.
  • Kerajaan Negeri Perak harus menubuhkan Amanah Perumahan yang bukan bermotifkan keuntungan untuk menyediakan rumah yang berkualiti dan mampu milik (dengan harga kurang daripada RM70,000 seunit) kepada keluarga-keluarga yang tidak memiliki rumah. Tanah kerajaan perlu disediakan secara percuma dan kos-kos yang berkaitan dengan birokrasi kerajaan harus diminimumkan. Rumah yang dibina melalui Amanah Perumahan ini tidak boleh disewa kepada pihak ketiga dan hanya boleh dijual semula kepada Amanah Perumahan tersebut dengan harga yang berpatutan. Pendekatan ini dapat mengelakkan spekulasi dalam sektor perumahan.
  • Golongan peneroka bandar, yang dipanggil sebagai “setinggan” oleh kerajaan, harus diberi geran bagi tanah di mana rumah mereka dibina. Masih terdapat beribu-ribu buah keluarga di negeri Perak yang menduduki rumah di atas tanah kerajaan. Keluarga-keluarga ini merupakan golongan miskin bandar. Penganugerahan geran tanah untuk perumahan kepada mereka akan membantu dalam meningkatkan kedudukan sosio-ekonomi dan kualiti kehidupan mereka.
  • Kerajaan harus mengenal pasti keluarga-keluarga yang tinggal di rumah di atas tanah swasta dengan membayar sewa tanah, dan mengaturkan rundingan dengan pihak tuan tanah untuk menjual tanah tersebut kepada keluarga-keluarga yang memiliki rumah itu. Pendekatan ini akan mengurangkan risiko keluarga-keluarga penyewa tanah ini daripada diusir secara paksa pada masa akan datang.

Bawani juga mengatakan bahawa salah satu perkara yang dibawa dalam manifestonya untuk kawasan DUN Ayer Kuning adalah, menukarkan lot perumahan dalam “hak milik induk” di beberapa tempat di situ kepada hak milik individu.

Turut hadir dalam sidang akhbar khas pada hari ini ialah S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Nasional PSM, Soh Sook Hwa selaku Bendahari Nasional PSM, Nik Aziz Afiq Abdul selaku Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, Agastim a/l Maria Soosai yang merupakan aktivis PSM Sungai Siput dan M. Sukumaran yang merupakan Penyelaras Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML).

Agastim telah berkongsi tentang usaha perjuangan penduduk-penduduk Kampung Veerasamy di Sungai Siput (U) untuk mendapatkan geran tanah bagi rumah mereka. Sukumaran pula mengetengahkan tuntutan masyarakat ladang yang sudah menetap di kawasan ladang bergenerasi lamanya untuk skim perumahan sendiri.

One thought on “Rumah dibina untuk siapa? Siapa mampu beli rumah berharga lebih RM400,000?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *