oleh Suresh Balasubramaniam

Pendahuluan

Pada 6 Mac 2025, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) selepas bacaan ketiga. RUU ini bertujuan untuk mengawal selia aktiviti penangkapan dan penyimpanan karbon di Semenanjung Malaysia dan Labuan, dengan harapan dapat menarik pelaburan dan merangsang pertumbuhan ekonomi. 

Walaupun matlamat utama RUU ini adalah untuk mengurangkan pelepasan karbon dan menangani perubahan iklim, terdapat kebimbangan bahawa ia mungkin merupakan satu bentuk “acah hijau” atau “greenwashing”. Istilah ini merujuk kepada tindakan yang kelihatan mesra alam tetapi sebenarnya tidak memberikan impak positif yang signifikan kepada alam sekitar. 

Acah hijau: Pendekatan sebuah organisasi berpura-pura mesra alam tanpa tindakan mampan yang sebenar, semata-mata untuk keuntungan atau imej. (grafik: Pavel Constantin / Cartoon Movement)

RUU CCUS ini akan membenarkan pembinaan dan operasi fasiliti CCUS di Semenanjung Malaysia untuk menangkap dan menyimpan karbon dalam bentuk karbon dioksida. Kerajaan menjangkakan bahawa industri CCUS akan menarik pelaburan melebihi AS$200 bilion dalam tempoh tiga dekad akan datang dan berpotensi mewujudkan 200,000 buah peluang pekerjaan menjelang tahun 2050. 

Namun, beberapa pihak menyuarakan kebimbangan mengenai implikasi jangka panjang RUU ini terhadap alam sekitar dan masyarakat. Gabungan Darurat Iklim Malaysia (GDIMY) berpendapat bahawa keputusan ini dibuat secara tergesa-gesa tanpa perundingan awam yang mencukupi, dan mungkin lebih mengutamakan kepentingan ekonomi berbanding tindakan iklim yang sebenar. 

Selain itu, terdapat juga kebimbangan bahawa Malaysia mungkin menjadi “tempat pembuangan karbon” global jika tidak ada kawal selia yang ketat terhadap aktiviti CCUS. BAKO (Biro Alam Sekitar, Krisis Iklim & Orang Asli) daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa agar RUU ini dikaji semula dan dibahaskan dengan lebih teliti di Dewan Rakyat sebelum diluluskan.

RUU CCUS tidak terpakai di Sabah dan Sarawak: Autonomi negeri dalam pengurusan karbon

RUU CCUS hanya terpakai di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, tidak termasuk Sabah dan Sarawak. Keputusan ini menimbulkan pelbagai reaksi dan persoalan mengenai hala tuju kedua-dua buah negeri dalam menguruskan aktiviti penangkapan dan penyimpanan karbon. Kedua-dua negeri ini menegaskan bahawa hal ehwal tanah dan perhutanan adalah di bawah bidang kuasa negeri masing-masing, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia. 

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Jeffrey Kitingan, menegaskan bahawa urusan tanah dan perhutanan adalah di bawah bidang kuasa negeri, menjadikan RUU CCUS Persekutuan tidak terpakai di Sabah. Beliau menyatakan bahawa Sabah berhasrat untuk menguruskan industri penangkapan karbonnya sendiri, dengan menekankan kepentingan kawalan negeri dalam aktiviti CCUS. ​Kita perlu tunggu dan lihat bagaimana pengurusan kerajaan negeri akan bertindak jika terdapat satu cadangan pembinaan CCUS di Sabah. 

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Jeffrey Kitingan. (foto: Firdaus Latif / Malay Mail)

 Sarawak telah mengambil langkah proaktif dengan menggubal Peraturan Tanah (Penyimpanan Karbon) 2022 untuk mengawal selia aktiviti penyimpanan karbon di dalam sempadannya. Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr. Hazland Abang Hipni, menegaskan bahawa tiada tapak penyimpanan karbon boleh dibangunkan tanpa kelulusan kerajaan negeri. Walau bagaimanapun, terdapat kebimbangan mengenai kelemahan dalam peraturan ini. Peraturan tersebut mungkin tidak menyediakan perlindungan alam sekitar yang mencukupi dan boleh membuka ruang kepada eksploitasi sumber asli tanpa kawalan yang ketat. Selain itu, peraturan ini mungkin tidak selaras sepenuhnya dengan standard antarabangsa dalam pengurusan dan penyimpanan karbon. 

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr. Hazland Abang Hipni. (foto: Borneo Post Online)

Contoh projek CCUS

Malaysia sedang melaksanakan projek penangkapan dan penyimpanan karbon (CCUS) di perairan Sarawak. Dua inisiatif ini ialah Projek Kasawari dan Projek Lang Lebah. 

Projek Kasawari terletak di medan gas Kasawari, kira-kira 200 km di luar pesisir pantai Bintulu, Sarawak. Projek ini dikendalikan oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan melibatkan pembangunan fasiliti CCUS yang pertama di Malaysia. Dengan pelaburan sekitar RM4.5 bilion, projek ini dijangka menangkap sehingga 3.3 juta tan karbon dioksida (CO₂) setahun, menjadikannya salah satu projek CCUS terbesar di rantau ini. Pengeluaran gas pertama dari medan ini dijangka bermula pada tahun 2023. 

Projek gas Kasawari di perairan Laut China Selatan di Sarawak. (foto: Oil and Gas Photographer / Shutterstock)

Projek Lang Lebah terletak di medan gas Lang Lebah dalam blok SK410B, berhampiran perairan Sarawak. Projek ini pada mulanya dikendalikan oleh PTTEP dari Thailand dengan kerjasama Petronas. Namun, pada bulan Februari 2025, PTTEP membatalkan beberapa tender utama untuk projek ini, menyebabkan ketidakpastian mengenai masa depannya. Sebelum ini, projek ini dijangka mula beroperasi pada 2027 dengan kapasiti pengeluaran sehingga satu bilion kaki padu gas sehari.

Projek gas Lang Lebah di perairan Laut China Selatan di Sarawak. (foto: PTT Exploration and Production)

Apa itu karbon?

Karbon ialah unsur kimia dengan simbol C. Ia adalah unsur asas dalam semua benda hidup dan wujud dalam pelbagai bentuk seperti arang, grafit dan berlian.  

Selain itu, karbon terdapat dalam bahan api fosil seperti arang batu, petroleum dan gas asli, yang menjadi sumber tenaga utama dunia. Karbon dioksida (CO₂), sebatian karbon dengan oksigen, memainkan peranan penting dalam fotosintesis tumbuhan dan sebagai gas rumah hijau yang mempengaruhi iklim global. ​ 

Kedudukan Karbon (Carbon) dalam Jadual Berkala Unsur Kimia. Jadual Berkala ialah satu jadual yang menyenaraikan semua unsur kimia yang diketahui manusia. (sumber: Shutterstock)

Mengapa karbon berlebihan menjadi masalah?

Karbon, khususnya dalam bentuk karbon dioksida (CO₂), adalah komponen semula jadi dalam ekosistem kita. Malah, tubuh manusia mengandungi kira-kira 18% karbon. Namun, apabila terdapat lebihan CO₂ di atmosfera, ia menimbulkan masalah alam sekitar yang serius. 

Sejak era pra-industri sekitar tahun 1750, kepekatan CO₂ di atmosfera telah meningkat secara mendadak. Pada masa itu, kepekatan CO₂ adalah sekitar 280 bahagian per juta (ppm). Menjelang tahun 2024, angka ini telah melonjak melebihi 420 ppm, menandakan peningkatan lebih daripada 50%. Kadar peningkatan ini adalah 100 kali lebih pantas berbanding peningkatan semula jadi yang berlaku pada akhir zaman ais terakhir. 

Peningkatan kepekatan CO₂ di atmosfera dari tahun 1750 hingga 2020. (sumber: Climate Change: Atmospheric Carbon Dioxide)

Revolusi Industri menjadi titik tolak utama peningkatan CO₂ atmosfera. Penggunaan bahan api fosil seperti arang batu, minyak dan gas asli dalam sektor industri, pengangkutan dan penjanaan tenaga telah melepaskan sejumlah besar CO₂ ke dalam udara. Selain itu, aktiviti seperti penebangan hutan dan perubahan guna tanah turut menyumbang kepada peningkatan ini. Hutan yang ditebang mengurangkan kapasiti penyerapan CO₂, manakala bahan organik yang mereput melepaskan lebih banyak gas rumah hijau. 

Aliran karbon menunjukkan sumber pelepasan dan penyerapannya. (sumber: Energy Education)

Lebihan CO₂ di atmosfera memburukkan kesan rumah hijau, menyebabkan peningkatan suhu global yang membawa kepada perubahan iklim. Antara impaknya termasuk:​ 

  1. Suhu purata bumi meningkat, menyebabkan gelombang haba yang lebih kerap dan teruk.​ 
  1. Perubahan dalam corak hujan, mengakibatkan banjir di sesetengah kawasan dan kemarau di kawasan lain.​ 
  1. Pencairan ais di kutub menyebabkan paras laut meningkat, mengancam kawasan pesisiran laut dan pulau berkedudukan rendah.​ 
  1. Perubahan suhu dan cuaca menjejaskan habitat semula jadi, mengancam kepelbagaian biologi. 

Alam semula jadi menyediakan mekanisme penyerapan karbon melalui proses fotosintesis oleh tumbuhan. Oleh itu, pemeliharaan dan pemulihan hutan adalah penting dalam mengurangkan CO₂ di atmosfera. Namun, penanaman pokok sahaja tidak mencukupi untuk menangani lebihan karbon yang sedia ada.  

Penukaran hutan paya gambut kepada ladang kelapa sawit juga menyumbang kepada pelepasan gas-gas yang merosakkan alam sekitar kerana tanah gambut sendiri memerangkap sebahagian besar karbon. Aktiviti menanam lebih banyak pokok tidak akan dapat mengurangkan lebihan karbon secara signifikan kerana anak pokok perlu masa untuk membesar sedangkan aktiviti manusia yang mengeluarkan jumlah karbon dioksida jauh lebih banyak daripada jumlah karbon dioksida yang diserap oleh anak pokok. 

Malaysia menyumbang sekitar 0.72% daripada jumlah pelepasan CO₂ global, menjadikannya penyumbang ke-23 terbesar di dunia. Walaupun peratusan ini kelihatan kecil, usaha pengurangan pelepasan tetap penting dalam menangani perubahan iklim secara global. Jika Malaysia dapat mengurangkan pelepasan CO2 secara ketara dengan kerjasama bersama negara-negara sedang membangun yang lain, dalam konteks ASEAN, ia akan memberi semangat kepada negara-negara sedang membangun yang lain dan juga memberi tekanan kepada negara-negara maju. Polisi pengurangan karbon di Malaysia perlu mengadaptasi semangat “internasionalisme”. 

Pelepasan karbon dioksida mengikut negara. (sumber: Union of Concerned Scientists)

Pelaburan asing dan peluang pekerjaan yang tidak mampan lebih penting?

RUU CCUS telah mewujudkan kebimbangan dalam kalangan aktivis alam sekitar dan individu yang terkesan, termasuk Biro Alam Sekitar, Krisis Iklim & Orang Asli (BAKO) Parti Sosialis Malaysia (PSM). Persoalannya bukan sahaja tentang keberkesanan teknologi ini, malah motif sebenar di sebalik pelaksanaannya. 

Walaupun teknologi Carbon Capture, Utilisation and Storage (CCUS) sering dipromosikan sebagai penyelamat iklim moden, realitinya berbeza. Ia merupakan teknologi yang sangat mahal dan tidak mencapai kecekapan yang dijanjikan dalam banyak projek rintis di seluruh dunia. Lebih membimbangkan, kewujudan teknologi ini kadangkala dijadikan alasan untuk terus membakar bahan api fosil dengan tanggapan kononnya kita sudah ada “penapis karbon” yang boleh menyelesaikan segala-galanya. 

Hakikatnya, menangkap karbon yang sudah dibebaskan tidak menyelesaikan masalah utama: iaitu pelepasan karbon itu sendiri. Bukankah lebih logik dan mampan untuk mengurangkan pelepasan dari punca, bukannya bergantung kepada teknologi pasca-pelepasan? 

Menurut perbahasan di Dewan Rakyat, teknologi CCUS dijangka menarik pelaburan global sebanyak AS$1 trilion (sekitar RM4.7 trilion) dalam tempoh 25 tahun akan datang. Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyatakan bahawa Malaysia perlu “merebut peluang” untuk mendapatkan sebahagian daripada pelaburan mega ini. 

Namun begitu, berapa banyak pelaburan ini akan benar-benar menguntungkan rakyat tempatan? Adakah ia akan membuka peluang pekerjaan berkualiti dan mampan, atau sekadar mewujudkan pekerjaan kontrak jangka pendek yang akhirnya membawa pulangan minimum kepada komuniti setempat? Adakah AS$1 trilion ini peluang atau perangkap

Ironinya, ramai pemimpin Pakatan Harapan yang kini menyokong RUU CCUS pernah menjadi tokoh utama dalam bantahan terhadap projek-projek besar yang mencetuskan kontroversi alam sekitar. Antara projek yang pernah ditentang habis-habisan termasuk: 

  1. Lynas Advanced Materials Plant di Kuantan, Pahang (bahan radioaktif); 
  1. Forest City di Johor (isu pemilikan asing dan impak ekosistem); 
  1. Raub Australian Gold Mining di Pahang (pencemaran logam berat); 
  1. Pencerobohan Wilayah Adat Orang Asli di Semenanjung (perampasan tanah dan pembalakan). 

Bukankah pendekatan mereka dahulu ialah “rakyat dan alam sekitar didahulukan”? Kini, persoalannya ialah, apa yang telah berubah? 

Pemimpin Pakatan Harapan menyertai perarakan Himpunan Hijau di Kuantan pada tahun 2012, membantah pembinaan kilang Lynas yang berisiko tinggi terhadap kesihatan dan alam sekitar. (foto: Fernando Fong)
Dr Mahathir Mohamad, semasa pentadbiran Pakatan Harapan (2019–2021), secara terbuka menyatakan bahawa beliau tidak pernah menyokong projek kontroversi Forest City di Johor. (sumber: Free Malaysia Today)

Persoalan yang tidak dijawab oleh Rafizi Ramli

Apabila Rang Undang-Undang CCUS diluluskan oleh Dewan Rakyat secara terburu-buru pada 6 Mac 2025, banyak persoalan yang tidak mendapat jawapan yang memadai. Bahkan, Senator di Dewan Negara pada 25 Mac 2025, lebih banyak mengemukakan soalan-soalan penting yang perlu dijawab dengan lebih mendalam. Saya percaya bahawa memorandum yang kami hantar kepada Dewan Negara pada 19 Mac 2025 sedikit sebanyak telah memanfaatkan 17 orang Senator yang diberi peluang untuk membahaskan RUU CCUS ini. 

  1. Kenapakah CCUS tidak dibangunkan di negara-negara maju itu sendiri seperti Jepun, Singapura dan Eropah, jika CCUS ini bagus dan boleh mewujudkan banyak peluang kerja? Malangnya negara seperti Jepun memilih untuk membina CCUS di negara sedang membangun seperti Malaysia dan menghantar “karbon”-nya untuk disimpan di sini. 
  1. Adakah dengan melaksanakan RUU CCUS, Malaysia akan menjadi negara penerima karbon dari negara-negara industri maju yang terus mencemarkan udara? Ini sekali gus membawa kita kepada soalan besar: adakah Malaysia hanya akan menjadi “kumbahan karbon” untuk negara-negara kaya? 
  1. Jika dilihat dari sejarah, banyak negara di Selatan Global (termasuk Malaysia) telah dieksploitasi oleh negara-negara Utara Global (yang kebanyakannya bekas penjajah). Pembinaan fasiliti CCUS yang berskala besar di negara-negara Selatan Global dilihat berisiko memburukkan lagi jurang kekayaan antara kedua-dua belah dunia ini. 
Perpisahan antara negara-negara Utara Global (warna biru) dan Selatan Global (warna merah) yang mencerminkan sejarah penjajahan dan eksploitasi, di mana negara-negara selatan kekal miskin dan kurang maju. (sumber: Wikipedia)

  1. Adakah menarik pelaburan asing ke Malaysia dengan teknologi yang tidak terbukti lebih penting untuk Rafizi Ramli dan Kerajaan MADANI? 
  1. Mengapakah Rafizi Ramli dan Kerajaan MADANI tidak memacu permulaan ekonomi hijau dengan tenaga yang boleh diperbaharui di Malaysia? Perbelanjaan yang amat tinggi untuk CCUS boleh dialihkan kepada pembinaan dan operasi fasiliti tenaga boleh diperbaharui. Perhatian boleh diberikan dari segi perbelanjaan modal awal yang tinggi untuk pemasangan, cabaran integrasi grid nasional dan isu pembiayaan. 
  1. Adakah pembinaan CCUS merupakan satu perlumbaan ke bawah oleh Malaysia dengan negara ASEAN lain seperti Indonesia? Malaysia adalah antara pengeluar sel fotovolto yang terbesar di dunia, manakala Indonesia dan Filipina mempunyai keupayaan penjanaan tenaga geotermal yang besar. Jadi, mengapa tidak menggunakan kepakaran ini untuk bersama-sama memajukan tenaga boleh diperbaharui di rantau ini? 
  1. Akhirnya, tuduhan yang sering dikemukakan oleh Rafizi Ramli yang menyebut masyarakat sivil memberi cadangan bahawa penanaman pokok boleh menjadi penyelesaian utama kepada masalah karbon di udara juga patut diteliti. Sebagai organisasi yang menentang RUU CCUS, kami tidak pernah menyarankan bahawa penanaman pokok sahaja akan menyelesaikan masalah ini. Malah, kami lebih menekankan bahawa pendekatan holistik yang melibatkan pengurangan pelepasan dari punca utama adalah jauh lebih penting. 
Penyerahan memorandum kepada 58 orang Senator di Dewan Negara, yang menyertakan pandangan dan cadangan daripada 19 kumpulan termasuk BAKO. (Baca selanjutnya: Jangan tergesa-gesa luluskan RUU CCUS)

Kenapa kami bantah RUU CCUS?

Rafizi Ramli sering menegaskan bahawa pembinaan CCUS tidak akan melibatkan dana kerajaan Malaysia. Walaupun ini bukan kebimbangan utama saya buat masa sekarang, saya tetap akan menyentuhnya sebentar lagi. Kebimbangan sebenar saya lebih kepada arah tuju negara Malaysia dalam usaha menggelar diri sebagai negara yang hijau. Bukankah CCUS akan membenarkan syarikat-syarikat bahan api fosil terus meneruskan pencemaran dengan kaedah “perniagaan-seperti-biasa” (business-as-usual)? 

Projek CCUS sering direka untuk keadaan ideal, tetapi menghadapi masalah penyelenggaraan, gangguan operasi dan variasi bahan mentah. 

Global CCS Institute, sebuah badan yang menyokong pembinaan CCUS, sering mendakwa bahawa kadar penangkapan CO₂ boleh mencapai 90% atau lebih. Namun, dakwaan ini selalunya berdasarkan situasi ideal di beberapa projek terpilih seperti di Sleipner, Norway. Di Sleipner, projek ini berjaya menangkap hampir 1 juta tan CO₂ setahun dengan kecekapan hampir 90% dalam pemprosesan gas luar pesisir. 

Logo Global CCUS Institute yang berpusat di Australia. Organisasi ini aktif menggalakkan pembangunan CCUS di seluruh dunia.

CCUS di Sleipner, Norway, di mana teknologi ini dikatakan mampu memerangkap hingga 90% karbon daripada gas yang dikeluarkan. (foto: Harald Pettersen / Equinor ASA)

Namun, contoh seperti Sleipner sering dipromosikan sebagai “senario terbaik” dan tidak mencerminkan keadaan purata kebanyakan projek CCUS di seluruh dunia. Projek Sleipner merupakan projek CCUS yang berskala sederhana yang lebih senang untuk dikawal dan dipantau, keadaan geologi yang sesuai untuk menyimpan karbon dioksida dan insentif dasar, iaitu cukai karbon yang menggalak pelabur, juga antara beberapa beberapa faktor penting yang menyebabkan Sleipner efektif. 

Satu kajian oleh MIT pada 2020 menunjukkan bahawa banyak projek CCUS, terutamanya dalam sektor penjanaan kuasa, hanya mencapai kadar penangkapan karbon yang lebih rendah disebabkan oleh halangan teknikal dan ekonomi. Pada tahun 2022, Institut Ekonomi Tenaga dan Analisis Kewangan (IEEFA) melaporkan bahawa purata kadar penangkapan CO₂ global bagi projek CCUS yang beroperasi adalah hanya 49%. Banyak projek lain seperti Petra Nova (Texas, AS), Gorgon (Australia), dan Kemper County (Mississippi, AS) berprestasi lebih rendah. 

Petra Nova di Texas, AS, hanya berjaya menangkap hampir 33% CO₂ dari loji arang batu antara tahun 2017 hingga 2020, sebelum terpaksa ditutup kerana masalah ekonomi. (sumber: Petra Nova)

Antara sebab mengapa angka yang dilaporkan tidak menggambarkan realiti adalah cabaran teknikal yang besar. Penskalaan projek CCUS berbeza mengikut jenis industri, dan sering kali menjadikan peratusan penangkapan karbon bagi industri bukan gas sangat rendah. Hampir semua projek CCUS memerlukan 20-30% tenaga hanya untuk penangkapan CO₂, yang mengurangkan kecekapan keseluruhan sistem. Kos yang tinggi juga menjadikan banyak projek terpaksa ditutup atau mengurangkan kecekapan apabila harga minyak atau gas jatuh (seperti yang berlaku pada Petra Nova). 

Ucapan Rafizi Ramli di Dewan Negara: Fakta yang boleh dipertikaikan

Ketika menggulung perbahasan RUU CCUS di Dewan Negara, Rafizi Ramli menyatakan beberapa fakta yang boleh dipertikaikan atau yang mungkin tidak diketahui sepenuhnya. Salah satunya adalah mengenai Projek Tomakomai CCS di Jepun yang dikatakan mempunyai data jangka panjang. Walau bagaimanapun, projek ini bermula pada tahun 2016 dan masih belum mengalami gempa bumi besar. Walaupun piawaian kejuruteraan di Jepun adalah tinggi, risiko kebocoran CO₂ semasa gempa bumi kuat masih belum dapat diramal dengan tepat. Gempa bumi Tōhoku 2011 di Jepun, yang menyebabkan pergeseran geologi tidak dijangka, membuktikan betapa sukar untuk meramalkan kesan pergerakan bawah tanah terhadap simapanan CO₂. 

Projek CCUS Tomakomai di Jepun. (sumber: International Energy Agency)

Namun, profil geologi dan gempa bumi di Malaysia berbeza dengan Jepun. Oleh itu, model yang digunakan di Jepun tidak seharusnya disamakan dengan Malaysia tanpa menilai risiko spesifik lokasi. Iklim tropika Malaysia dan banjir monsun menambahkan lagi cabaran kepada kestabilan tapak penyimpanan CO₂. Sebagai contoh, banjir boleh mengganggu kestabilan saluran paip dan tapak penyimpanan. 

CCUS juga memerlukan pemantauan berterusan dan penyelenggaraan yang intensif. Negara-negara sedang membangun, termasuk Malaysia, perlu mempertimbangkan keupayaan pengurusan bencana yang terhad. Contoh yang jelas adalah kejadian Tasik Nyos di Cameroon, di mana karbon dioksida dilepaskan dalam kuantiti besar yang mengakibatkan kematian hampir 1,746 orang dan 3,500 ekor haiwan ternakan. 

Walaupun insiden di Tasik Nyos, Cameroon bukan berpunca dari CCUS, namun adalah penting untuk merujuk kejadian ini kerana ia melibatkan pelepasan karbon dengan kuantiti yang besar ke dalam alam sekitar. (sumber: Wikipedia)

Jika anda ingin lebih memahami masalah CCUS yang dihadapi oleh negara-negara lain, saya mencadangkan untuk melakukan pencarian mengenai projek-projek berikut: 

  1. Shute Creek, USA
  2. Salah, Algeria  
  3. Gorgon, UK 
  4. Great Plains, USA 
  5. Illinois Industrial (IL-CCS), USA 
  6. Kemper, USA 
  7. Petra Nova, USA 
  8. Satartia, Mississippi, USA (paip runtuh)

                Cukai karbon

                Rafizi Ramli telah mengatakan bahawa pembinaan CCUS akan dibiayai oleh cukai karbon yang dikenakan ke atas industri-industri tertentu. Saya secara peribadi bersetuju dengan pengenalan cukai karbon, walaupun saya masih sangsi tentang bagaimana mekanisme cukai karbon ini akan dilaksanakan. Hingga kini, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Alam Sekitar belum membentangkan secara terperinci tentang mekanisme cukai karbon, walaupun perkara ini sudah disebut dalam RUU Perubahan Iklim Negara (RUUPIN). 

                Secara amnya, saya percaya bahawa cukai karbon akan berfungsi sebagai pendorong kepada industri untuk mengurangkan pelepasan karbon, sekali gus menyumbang kepada usaha negara dalam menangani perubahan iklim. Tetapi persoalannya, bukankah lebih baik jika hasil daripada cukai karbon ini digunakan untuk mengembangkan ekonomi hijau yang lebih mampan dan telah terbukti kecekapannya dalam mengurangkan impak perubahan iklim, seperti dalam sektor tenaga boleh diperbaharui? 

                Cukai karbon adalah cukai yang dikenakan ke atas industri yang menghasilkan karbon dioksida sebagai hasil sampingan daripada aktiviti perindustrian mereka. Matlamat utamanya adalah untuk meningkatkan kos aktiviti yang menghasilkan emisi karbon, dengan harapan agar industri tersebut mencari jalan untuk mengurangkan pelepasan mereka atau beralih kepada teknologi lebih bersih. 

                Di peringkat global, beberapa negara sudah lama mengamalkan cukai karbon, termasuk Sweden, yang merupakan antara negara pertama mengenakan cukai karbon pada tahun 1991. Melalui pengenalan cukai ini, Sweden berjaya mengurangkan pelepasannya sebanyak 25% pada tahun 2015 berbanding tahun 1990. Kanada, misalnya, mengenakan cukai karbon sejak tahun 2019, dengan harga CAD 20 per tan CO₂ yang dikeluarkan. Australia pula melaksanakan cukai karbon pada tahun 2012, namun terpaksa membatalkan dasar tersebut pada tahun 2014 selepas mendapat tentangan hebat daripada pelbagai pihak, terutamanya sektor perniagaan. 

                Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, Malaysia mempunyai peluang yang besar untuk memimpin inisiatif penting dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN. Salah satu langkah yang boleh diambil adalah memulakan perbincangan mengenai cukai karbon yang seragam dalam kalangan negara-negara ASEAN. Ini adalah penting untuk mengelakkan perpindahan industri dari sebuah negara ke negara lain hanya kerana perbezaan kadar cukai karbon. Tanpa kesepakatan yang jelas, industri-industri yang menghasilkan emisi karbon yang tinggi mungkin memilih untuk beroperasi di negara-negara dengan cukai karbon yang lebih rendah, sekali gus menghalang usaha kolektif untuk mengurangkan pelepasan karbon di rantau ini. Dengan menyelaraskan dasar cukai karbon di seluruh ASEAN, kita bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan dalam menangani perubahan iklim, tetapi juga memastikan kesaksamaan dalam persaingan perniagaan di kalangan negara-negara anggota. 

                Kos CCUS sedang beralih dari industri bahan api fosil kepada kerajaan di merata tempat di dunia

                Mari kita lihat lebih mendalam sama ada kita boleh benar-benar mempercayai kenyataan Rafizi Ramli bahawa kerajaan tidak akan menanggung sebarang perbelanjaan untuk pembinaan dan operasi CCUS. Berdasarkan satu sesi penerangan oleh Sahabat Alam Malaysia (SAM) baru-baru ini, saya mendapati bahawa subsidi kerajaan untuk pembinaan dan operasi CCUS semakin meningkat setiap tahun (lihat carta di bawah). Apakah maksudnya? 

                Carta di bawah menunjukkan bahawa, meskipun hujah Rafizi Ramli bahawa kerajaan tidak akan menanggung perbelanjaan pembinaan CCUS mungkin benar pada masa kini, hujah ini tidak dapat digunakan untuk 10, 20 atau 30 tahun akan datang. Kita dapat melihat bahawa subsidi kerajaan di seluruh dunia semakin meningkat untuk menyokong pembinaan dan operasi CCUS. Ini menunjukkan bahawa beban kos CCUS secara perlahan-lahan beralih daripada pihak industri kepada kerajaan, yang akhirnya akan ditanggung oleh rakyat. 

                Carta menunjukkan peningkatan subsidi kerajaan untuk projek CCUS di seluruh dunia. (sumber: Oil Change International)

                Pada tahun 2024 sahaja, hampir AS$5 bilion (RM 22 bilion) diberikan oleh kerajaan-kerajaan di seluruh dunia sebagai subsidi kepada projek CCUS. Jumlah keseluruhan yang dibelanjakan untuk pembinaan, operasi, dan pemulihan kemalangan yang disebabkan oleh CCUS mencecah hampir AS$30 bilion. Melihat kepada corak subsidi ini, jelas bahawa perbelanjaan untuk CCUS semakin meningkat dari tahun ke tahun, dan tidak mustahil pada masa depan kerajaan akan menanggung sebahagian besar kos yang sepatutnya menjadi tanggungjawab industri fosil. 

                Menjentolak RUU CCUS di Parlimen

                Bolehkah kita menjustifikasikan tindakan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, yang membuat bacaan pertama RUU CCUS pada 4 Mac 2025, dan hanya dalam tempoh masa 3 hari, bacaan ketiga telah diluluskan oleh Dewan Rakyat? Apakah ini bukan contoh jelas menjentolak (bulldozing) undang-undang di Parlimen, di mana Kerajaan Perpaduan mempunyai majoriti yang selesa, namun tidak memberikan ruang untuk bantahan yang wujud? Di manakah sesi libat urus yang sepatutnya dijalankan bersama masyarakat sivil dan rakyat? Tindakan ini jelas mirip kepada pendekatan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, di mana apa yang kerajaan buat, pasti dianggap sebagai yang terbaik untuk rakyat dan negara, tanpa menghiraukan suara rakyat. 

                Saya juga ingin mengkritik Rafizi Ramli yang dikatakan mengadakan sesi libat urus dengan ahli-ahli Parlimen pembangkang pada waktu makan tengah hari atau waktu solat, menjadikan kehadiran ahli-ahli Parlimen pembangkang dalam sesi tersebut sangat terhad. Adakah ini satu pendekatan yang adil dan inklusif dalam proses perundangan negara? 

                Rafizi Ramli ketika membentangkan RUU CCUS di Dewan Rakyat untuk bacaan ketiga pada 6 Mac 2025. (Sumber: BERNAMA)

                Sebelum ini, Sahabat Alam Malaysia (SAM) pernah mendedahkan bahawa Rafizi dan Kementerian Ekonomi hanya mengadakan satu sesi rundingan awam sebelum RUU CCUS dibawa ke Dewan Rakyat. Sesi tersebut juga terhad kepada rangka kerja yang kabur dan asas yang tidak sempurna, tanpa penjelasan mendalam mengenai implikasi jangka panjang bagi negara dan rakyat. Begitu juga apabila bacaan RUU CCUS “dijentolak” sekali lagi di Dewan Negara pada 25 Mac 2025, dengan bacaan kedua dan ketiga dibuat pada hari yang sama, sekadar untuk memenuhi prosedur dan meluluskan RUU ini secara tergesa-gesa di Dewan Negara. 

                Kesimpulan

                Walaupun RUU CCUS telah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara di Parlimen Malaysia, perjuangan terhadap CCUS ini belum berakhir. Saya berpendapat bahawa isu CCUS adalah terlalu teknikal dan harus dibawa kepada rakyat Malaysia dalam bentuk yang lebih mudah difahami. Di sinilah kumpulan sivil perlu memainkan peranan yang amat penting. 

                Apa yang boleh dicapai dengan memperkasakan rakyat mengenai RUU CCUS? Saya berpendapat bahawa rakyat hanya akan bersuara dan menuntut penyelesaian yang lebih mampan apabila mereka memahami dengan jelas apa itu RUU CCUS dan kesannya. Dengan kelulusan RUU ini di Dewan Negara, ia akan menjadi undang-undang dalam masa yang terdekat, dan banyak wang industri akan dibelanjakan atas nama penyelesaian isu alam sekitar. Pada ketika ini, rakyat perlu bersuara untuk mengubah hala tuju penyelesaian masalah lebihan karbon di udara yang semakin meningkat. 

                Walaupun CCUS itu sendiri dianggap tidak mampan, saya berpendapat bahawa idea penangkapan karbon perlu terus diketengahkan untuk menguji potensi teknologi yang mampan, murah dan mesra alam sekitar di masa hadapan. Dalam hal ini, kita tidak boleh bergantung kepada kajian-kajian yang dilakukan oleh industri bahan api fosil atau firma konsultasi yang berpihak kepada mereka, kerana apa jua yang dilakukan oleh mereka adalah untuk mengekalkan keuntungan mereka dengan menyajikan gambaran acah hijau kepada rakyat dan dunia. Ini memberi kesan negatif kerana ia hanya mengekalkan status quo dalam industri yang terus memberi sumbangan besar terhadap kerosakan alam sekitar. 

                Walaupun ekosistem semula jadi seperti hutan dan paya bakau boleh menyerap karbon, kapasiti mereka terhad, yang menjadikan penyelesaian teknologi sangat diperlukan. Penggunaan teknologi untuk penyingkiran karbon adalah keperluan mendesak untuk mengurangkan pengasidan lautan dan menghadapi kesan iklim melampau yang semakin membimbangkan. Oleh itu, saya percaya bahawa kumpulan sivil dan rakyat perlu terus memperkasakan pengetahuan mereka mengenai perkembangan dalam teknologi ini, kerana pengetahuan rakyat adalah kunci untuk memastikan masa depan yang lebih hijau. 

                Pelaburan yang diterajui oleh sektor awam serta penggunaan teknologi bersih berskala besar adalah sangat penting. Walaupun bukan pengganti kepada pengurangan pelepasan, penangkapan karbon adalah sangat penting untuk memulihkan kerosakan alam sekitar yang telah berlaku dan menstabilkan iklim agar generasi akan datang dapat menikmati alam sekitar yang lebih sihat. 

                ==========

                Suresh Balasubramaniam ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Ketua Biro Alam Sekitar, Krisis Iklim dan Orang Asli (BAKO) PSM.

                Leave a Reply

                Your email address will not be published. Required fields are marked *