oleh Nik Aziz Afiq Bin Abdul

Pengalaman peribadi penulis ketika musim banjir berlaku, perkara pertama yang penulis akan perhatikan adalah warna air banjir. Ada dua kategori, pertama adalah air banjir berwarna putih atau jernih. Kedua pula air banjir berwarna kuning atau keruh.

Kategori pertama biasanya penulis tak kalut mana. Kerana ia menandakan banjir berlaku hanya sebab hujan yang lebat dari kebiasaan. Selepas hujan berhenti, air akan surut dan keadaan akan pulih segera. Kerosakan akan berlaku tetapi dalam jumlah minimum. Bahkan penduduk tempatan yang sudah terbiasa banjir akan berpesta dengan membuat aktiviti air bersama anak-anak seakan tiada apa yang patut dihiraukan.

Berbeza dengan kategori kedua, jika air banjir berwarna kuning, biasanya penulis akan panik. Bukan setakat penulis, seluruh agensi kerajaan dan masyarakat tempatan akan begitu risau. Kerana banjir air kuning adalah berpunca dari sungai yang melimpah. Sekali sungai mengamuk, kita akan lihat kemusnahan fasiliti dalam skala besar. Air banjir bukan setakat memasuki rumah, tetapi membawa bersama lumpur dan selut yang begitu sukar untuk dibersihkan. Kalau banjir air kuning ini sudahpun berlaku di hulu seperti di Kuala Krai dan Gua Musang pada tahun 2014-2015, maka mereka yang di hilir harus segera berpindah kerana amukan air kuning ini akan cetuskan “tsunami darat” di kawasan mereka pula.

Begitulah penangan air kuning apabila melimpah.

Kita semua menerima berita pemergian mengejut Almarhum Tuan Haji Ishsam Shahruddin, YB kawasan DUN Ayer Kuning di negeri Perak selepas serangan jantung ketika menyertai pertandingan bola sepak di Pulau Pinang.

Suka atau tidak, pilihan raya kecil perlu diadakan untuk mengisi kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning. Notis kekosongan telah diserahkan oleh Speaker DUN Perak kepada SPR dan ketika tulisan ini dibuat, SPR belum lagi mengumumkan tarikh pilihan raya kecil yang bakal dilangsungkan.

Atas kertas, kerusi DUN Ayer Kuning adalah kerusi tradisi UMNO-BN yang dimenangi sejak kerusi ini diwujudkan dalam Pilihan Raya Umum ke-7 pada tahun 1986 hinggalah PRU ke-15 pada tahun 2022 yang lalu. Ini bermakna hampir 40 tahun Ayer Kuning mengalir tenang bahkan tidak terjejas dengan persekitaran.

7 orang Perdana Menteri bersilih ganti, Ayer Kuning tetap mengalir biasa.

UMNO-BN hilang kuasa di negeri Perak apabila dirampas Pakatan Rakyat pada tahun 2008, kemudian melalui episod rampasan kuasa setahun kemudian, Ayer Kuning tetap mengalir seperti biasa.

Saat Menteri Besar negeri ini Faizal Azumu “tertomoih” ketika pilihan raya umum lepas dan Parlimen Tambun yang tak jauh mana dari Ayer Kuning akhirnya diwakili seorang Perdana Menteri pun, Ayer Kuning tetap tak terjejas.

Walaupun pilihan raya sama hampir sahaja Presiden UMNO bersara awal ketika menang tipis di Bagan Datuk, UMNO tetap terapung di Ayer Kuning.

Begitulah Ayer Kuning selama ini, syukurlah tak berubah nama kepada Ayer Biru.

Tetapi kalaulah boleh kita angan-angankan. Apakah akan berlaku jika Ayer Kuning melimpah kali ini? Buat kali pertama sejak berdekad Ayer Kuning yang mengalir tenang ini mula melawan arus, keluar dari kebiasaan, lalu membanjiri negara dengan mesej cukup jelas, iaitu PH-BN dan PN perlu dirotan rakyat!

Tidak jemukah kita asyik dihidang dan dipaksa telan antara dua pilihan menu sahaja, iaitu PH-BN atau PN yang mana masing-masing begitu bersungguh berlumba untuk tidak jadi lebih baik antara satu sama lain?

Kesemua mereka pernah memegang tampuk kuasa, adakah dapat dilihat sebarang perubahan ketara yang membezakan mereka? Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat di Parlimen kita lihat wayang yang sama ditayang lagi dan lagi. Sama ada tak datang bersidang, kalau datang bertekak benda tak berfaedah atau paling popular berebut mahu jadi juara diam. Datang, tak bertekak tapi juga tak berfungsi!

Pilihan raya kecil bukan datang selalu, walaupun namanya kecil sebenarnya ia beri kesan besar kerana selama dua minggu tempoh kempen perhatian media seluruh negara akan tertumpu di Ayer Kuning. Semua pimpinan besar setiap parti tiba-tiba akan muncul bersarapan, menoreh getah, pangku anak-anak pengundi Ayer Kuning.

Bahkan jika pilihan raya kecil ini berlangsung selepas Raya Puasa, saksikanlah di setiap bazar Ramadhan, di setiap masjid dan surau akan ada ramai yang begitu “pemurah” memastikan pengundi Ayer Kuning kembung perut menjelang berbuka puasa, moreh dan sahur nanti. Langsir baru, pakaian raya anak-anak, hatta biskut raya pun tahun ini pengundi Ayer Kuning tak perlu fikirkan sangat. Bukan setakat jimat kos sahaja silap haribulan tambah pendapatan lagi dengan sampul raya pelbagai warna parti.

Pengundi Ayer Kuning akan ditatang bagai minyak yang penuh. Minyak motor ada yang isi, minyak hitam ada yang tukar, minyak masak ada yang hulur, minyak angin pun ada yang tolong sapukan kat dahi!

Tetapi selepas pilihan raya berakhir, ketika itulah kita sedari segalanya hanyalah lakonan. Pengundi tidak akan dapat layanan sama lagi selagi tiada pilihanraya kecil lagi yang biasanya jarang berlaku.

Maka pilihan raya kecil ini adalah suatu peluang. Jika Ayer Kuning mahu terus mengalir seperti biasa maka keputusan akhirnya akan seperti biasa. Tiada apa akan berubah.

Tetapi jika pengundi Ayer Kuning mahu ambil peluang, maka pilihan raya kecil ini akan jadi medan limpahan banjir menghanyutkan budaya politik kotor dan lama, melemaskan pemimpin-pemimpin yang selama ini selesa terapung di atas derita rakyat, menyimbah air kesedaran di wajah seluruh rakyat Malaysia bahawa kita semua perlu kasi ajar PHBN dan PN. Dua gergasi politik ini perlu diinsafkan agar mereka bertaubat dari persengketaan yang sia-sia. Kita keluar mengundi tetapi kita berikan undi protes, dengan mengundi calon selain PH-BN mahupun PN.

Kita buktikan diam-diam Ayer Kuning mengalir bukan bermakna rela dipijak, diperkudakan, tiada maruah dan perasaan.

Peluang sekali ini yang jarang terjadi, kita kena ambil keputusan, kita mesti lawan arus biasa. Kita tak boleh lagi biasa-biasa. Kita perlu buat langkah luar biasa.

Tak rugi kalau Wakil Rakyat yang menang nanti bukan PH-BN atau PN. Sebab kerajaan negeri dan Pusat masih sama. Baki tempoh masa untuk pilihan raya umum berikutnya pun dah tak lama. Kalau Wakil Rakyat bukan PH-BN atau PN ini tidak bagus, kita tukar sahaja pilihan raya akan datang.

Tetapi saksikanlah, sekali kita gunakan kuasa kita mengundi yang berbeza, walaupun pilihan raya kecil ini berakhir, parti-parti gergasi tersebut pasti akan terus menerus berusaha menjaga Ayer Kuning kerana mahukan sokongan kembali.

Mahu mengalir seperti biasa, mengangguk bagai hamba bawahan, atau melimpah menjadi titik mula kebangkitan rakyat lawan elit politik kayangan? Ayer Kuning bakal tentukan.

==========

Nik Aziz Afiq Bin Abdul ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *