Berikut ialah kertas kerja yang dibentangkan dalam forum anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) pada 26 Februari 2025 yang membincangkan isu hak kepada makanan dan keterjaminan makanan di Malaysia.

oleh Dr. Jeyakumar Devaraj
Saya mengajak semua orang untuk merenungkan istilah “keterjaminan makanan”. Apakah maksudnya kepada jabatan-jabatan perancangan dalam agensi-agensi kerajaan? Bagaimana perancang-perancang negara kita menilai status “keterjaminan” kita berkenaan dengan bekalan makanan di negara kita? Adakah dengan menyenaraikan tahap sara diri bahan-bahan makanan biasa yang diambil oleh populasi negara kita? Dan kemudian entah bagaimana menjumlahkannya untuk memberikan agregat tahap sara diri secara keseluruhan? Patutkah kita memberi pemberat kepada mana-mana bahan makanan? Adakah semua bahan makanan sama penting apabila menilai keterjaminan makanan?
Saya berpendapat bahawa kita patut menilai dan merancang keterjaminan makanan kita dengan bertanyakan soalan yang penting ini: Adakah kita mampu memberi makanan kepada populasi kita jika berlaku gangguan dalam rantai pembekalan makanan? (nota 1) Dalam mempertimbangkan soalan ini, kita harus mengingati kekurangan solidariti yang ditunjukkan pada tahun 2021, apabila negara-negara kaya memperoleh semua vaksin COVID-19 yang ada, meninggalkan negara-negara termiskin dengan hampir tiada sebarang vaksin. (nota 2) Jika itu respon mereka berkenaan apa yang dianggap sebagai vaksin penyelamat nyawa, adakah kita mengharapkan apa-apa yang berbeza jika wujudnya kekurangan gandum dalam pasaran komoditi antarabangsa? Adalah berkemungkinan bahawa negara-negara kaya akan tergesa-gesa menimbunkan gandum, memburukkan lagi kekurangan dan mendorong harga gandum naik ke tahap yang tidak masuk akal.
Malaysia sebenarnya sangat tidak terjamin berhubung keperluan kalorinya, komponen yang paling penting untuk keterjaminan makanan bagi mana-mana populasi. (nota 3) Keperluan kalori Malaysia dipenuhi terutamanya oleh beras (62%) dan gandum (38%). (nota 4) Pada masa ini kita mengimport semua gandum yang kita guna dan kira-kira separuh daripada beras yang kita guna. Dalam erti kata lain, kita hanya mengeluarkan kira-kira 31% daripada keperluan kalori bagi populasi Malaysia. Jelasnya kita berada dalam keadaan yang sangat terancam! Kita perlu mengalihkan lebih banyak pengeluaran bijirin dan produk makanan kaya kalori yang lain ke dalam negara kita.
Meningkatkan kecukupan kalori
Ini adalah langkah yang penting untuk memperkukuhkan status keterjaminan makanan Malaysia. Dalam konteks ini, kita harus mempertimbangkan perkara-perkara yang berikut.
Berkenaan dengan beras:
– Sekarang ini kita menggunakan kira-kira 640,000 hektar tanah pertanian (daripada jumlah 8.4 juta hektar tanah pertanian di negara kita) untuk pengeluaran beras – bersamaan dengan 7.6%. Namun,
– Produktiviti pesawah kita adalah rendah secara amnya. Hasil purata di wilayah-wilayah penanaman padi utama di negara kita adalah kira-kira 5 tan padi per hektar per tahun. Ini adalah kurang daripada separuh berbanding hasil di Sekinchang, Selangor, di mana petani-petani di situ menghasilkan 11 tan per hektar per tahun.
– Pesawah-pesawah kita, dalam jumlah kira-kira 220,000 orang, merupakan salah satu kumpulan yang termiskin di negara kita. Ini sudah pasti membawa kepada penghijrahan keluar generasi muda dari kawasan tanah sawah dan juga penukaran tanah tanaman padi kepada perumahan dan projek-projek lain.
– Terdapat banyak faktor yang menyebabkan pendapatan rendah dalam kalangan petani-petani, termasuk
- Memiliki plot tanah pertanian yang kecil.
- Sistem pengairan yang tidak berfungsi. Air tidak datang tepat pada masa dan dalam jumlah yang betul.
- Pemotongan berlebihan untuk kandungan lembapan (sehingga 30% daripada berat padi) oleh kilang-kilang yang membeli padi. Selama bertahun-tahun, banyak kilang padi yang lebih kecil telah tutup, meninggalkan bidang yang sangat tertumpu.
- Peningkatan kos benih, racun serangga, perkhidmatan seperti membajak, menanam anak benih, menuai dan sebagainya.
– Kerajaan memberi subsidi kepada sektor padi sebanyak kira-kira RM2.6 bilion setahun. Namun begitu, seperti yang didedahkan oleh Presiden Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), hanya 20% daripada bantuan ini dibayar secara langsung kepada pesawah-pesawah. Yang selebihnya disalurkan melalui agensi-agensi bukan kerajaan yang, mengikut para pesawah, tidak berfungsi dengan cekap (atau jujur) seperti yang sepatutnya. Misalnya, baja yang dibekalkan tidak sesuai untuk keadaan tanah di sesetengah bendang dan selalunya dihantar terlalu lewat.
– Malaysia menggunakan 3 juta tan beras setiap tahun. Kita mengeluarkan hasil yang kurang daripada 50% daripada ini secara domestik.
Berkenaan dengan gandum:
Ini adalah komponen banyak jenis roti yang dimakan oleh warga Malaysia. Malangnya, gandum tidak ditanam di Malaysia. Oleh itu, kita perlu mengimport semua gandum yang kita gunakan. Jumlahnya adalah 1.82 juta tan metrik pada tahun 2024, dengan Australia dan Kanada merupakan dua buah negara sumber yang paling penting.
Bahan makanan lain dengan nilai kalori tinggi – jagung dan ubi
- Jagung tumbuh dengan baik di Malaysia. Begitu juga dengan pelbagai jenis ubi – ubi kayu, ubi keledek, ubi kentang dan keladi. Ubi kayu merupakan makanan ruji bagi banyak keluarga semasa Perang Dunia Kedua.
- Namun begitu, ubi dianggap sebagai pemakanan orang miskin dan tidak begitu popular dalam kalangan orang awam Malaysia.
Langkah-langkah yang diperlukan untuk meningkatkan sara diri kalori
A. Tingkatkan tahap sara diri untuk beras kepada 100%
a/ Pada masa ini, hanya 7.6% daripada tanah pertanian di Malaysia (640,000 hektar) digunakan untuk menanam padi. 71.4% diperuntukkan kepada kelapa sawit dan 11.9% kepada getah. Getah banyak dikeluarkan oleh pekebun-pekebun kecil. Namun, ladang-ladang besar mendominasi sektor kelapa sawit, menggunakan lebih separuh daripada tanah yang diwartakan untuk pertanian di negara kita. Kerajaan harus meminta semua syarikat perladangan yang memiliki lebih 1,000 ekar tanah untuk menukarkan peratusan tertentu daripada tanah mereka untuk menanam padi sawah, supaya dalam tempoh 5 taun akan datang, tanah seluas 200,000 ekar tambahan ditukar kepada penanaman padi. Untuk meletakkan ini dalam perspektif, 200,000 ekar hanya merupakan kurang daripada 5% daripada kira-kira 4.5 juta hektar tanah perladangan yang digunakan sekarang untuk penanaman kelapa sawit. (1.5 juta hektar selebihnya dalam penanaman kelapa sawit diusahakan oleh pekebun-pekebun kecil.)
b/ Dana yang mencukupi diperuntukkan oleh kerajaan untuk meningkatkan kualiti dan kebolehpercayaan pengairan di wilayah-wilayah pengeluar padi tradisional, supaya hasil per hektar dapat ditingkatkan.
c/ Ketirisan dalam sistem subsidi untuk pesawah-pesawah pada masa ini harus dihentikan. Misalnya, pesawah-pesawah telah meminta subsidi baja mereka diberikan dalam bentuk baucar tunai supaya mereka boleh memilih jenis baja yang diperlukan mereka. (Pada masa ini, ia dibekalkan oleh orang tengah.)
d/ Menjaga kebajikan pesawah-pesawah supaya pertanian padi menjadi pilihan kerjaya yang lebih menarik. Antara langkah-langkah yang boleh dilaksanakan adalah:
- Meningkatkan insentif pengeluaran daripada RM500 per tan padi pada masa ini kepada RM900.
- Melaksanakan skim pencen warga emas RM500 sebulan untuk semua pesawah yang sudah menghabiskan masa sejumlah 10 tahun atau lebih dalam sektor pertanian padi apabila mereka mencecah umur 60 tahun.
B. Pelan kontingensi untuk senario apabila wujudnya kekurangan bekalan gandum dalam pasaran antarabangsa
Ini mungkin tidak akan berlaku dalam masa terdekat. Namun, memandangkan perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik, sebarang rancangan yang serius untuk keterjaminan makanan bagi populasi Malaysia harus mengambil kira senario ini, dan membangunkan rancangan yang difikirkan dengan baik untuk menanganinya, sekiranya senario sedemikian muncul. Salah satu komponen dalam pelan kontingensi sedemikian adalah bergantung lebih banyak terhadap ubi, keladi dan jagung untuk kalori yang diperlukan oleh populasi kita.
Pasaran untuk ubi dan keladi bukannya sangat tinggi di Malaysia pada masa ini kerana tepung gandum masih dapat diperolehi pada harga yang berpatutan. Namun, kita harus bersedia untuk keadaan di mana kita mungkin perlu bergantung pada sumber makanan ini untuk keperluan kalori kita. Kerajaan harus:
- Menggalakkan petani-petani tempatan untuk mengeluarkan ubi kayu, ubi keledek, ubi garut, keladi, sagu dan bahan makanan bernilai kalori tinggi lain yang serupa melalui cara membuat kontrak hadapan dengan petani-petani tempatan.
- Membangunkan teknologi untuk menghasilkan tepung daripada ubi-ubi ini.
- Mempromosi ubi-ubi ini dan keladi dengan menganjurkan pertandingan memasak, berkongsi resipi dan menyajikan makanan ini kepada tetamu kehormat dalam acara-acara kerajaan.
Pada masa ini, kita perlu mewujudkan eko-sistem untuk pengeluaran, pemprosesan dan penggunaan pelbagai jenis ubi. Keupayaan ini boleh ditingkatkan secara besar-besaran sekiranya terdapat kekurangan gandum dalam pasaran antarabangsa.
C. Memelihara/meningkatkan keupayaan kita untuk mengeluarkan sayur-sayuran, ikan, daging lembu dan produk tenusu
Walaupun bahan-bahan makanan ini tidak begitu penting berbanding bahan-bahan makanan berkalori tinggi yang kita bincang di atas, bahan-bahan makanan ini adalah penting dalam membekalkan protein yang mencukupi dan pemakanan seimbang kepada populasi kita. Malangnya, banyak daripada sektor-sektor pengeluaran makanan ini telah dilemahkan oleh bentuk-bentuk “pembangunan” yang sedang berlaku di negara kita. Situasinya adalah seperti berikut:
Petani-petani sayur
Kebanyakan petani ini boleh ditemui di sekitar kira-kira 540 buah kampung baru di Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Kampung-kampung baru ini diwujudkan di bawah Rancangan Briggs pada tahun 1950-1952 untuk mencegah populasi luar bandar daripada memberi makanan kepada pemberontakan komunis. Ribuan petani kecil dipaksa oleh pihak British untuk berpindah ke dalam kampung-kampung baru ini. Rumah mereka di atas kebun dirobohkan. Namun, mereka dibenarkan untuk pergi menguruskan kebun mereka pada waktu siang kerana pihak British mengiktiraf kepentingan mereka sebagai pembekal makanan untuk populasi Malaysia.
Kebanyakan petani-petani ini meneruskan aktiviti pertanian mereka selepas kemerdekaan pada tahun 1857, tetapi sangat sedikit dalam kalangan mereka diberikan geran daripada kerajaan Malaya/Malaysia untuk tanah yang diusahakan mereka. Namun, oleh sebab tanah yang diusahakan mereka itu tidak mempunyai nilai ekonomi yang banyak pada masa itu, mereka dibenarkan untuk meneruskannya. Walau bagaimanapun, pembangunan kawasan bandar dan kemunculan pasaran perumahan swasta telah mengubahnya. Kerajaan negeri mula memberikan milik tanah pertanian kepada pemaju perumahan dan projek pembangunan lain, dan ribuan petani sayur-sayuran ini diusir dari tanah yang diusahakan mereka sejak sebelum Perang Dunia II.
Misalnya, kawasan Chemor-Kuala Kuang-Tanah Hitam di Daerah Kinta, Perak, pernah merupakan kawasan pengeluar terbesar untuk sayur-sayuran dan buah-buahan di Perak. Selama lebih 30 tahun kebelakangan ini, 2,900 ekar atau 95% kawasan yang digunakan untuk “pertanian pasar” (nota 5) di kawasan itu diberikan milik kepada sama ada syarikat-syarikat milik kerajaan negeri seperti PKNP (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak) dan PPPNP (Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak) atau pemaju-pemaju swasta. Daripada 2,900 ekar tanah yang dilupuskan, petani-petani yang sedia ada telah diusir keluar dari kira-kira 1,200 ekar. Di tanah 200 ekar lagi, petani-petani sedang menghadapi tindakan mahkamah oleh pemilik tanah yang baharu – syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pemaju swasta (nota 6). Jika kerajaan masih tidak mempedulikan nasib mereka, mereka juga akan diusir keluar, kerana sistem tanah Torrens yang diperkenalkan oleh pihak British semasa zaman penjajahan mengiktiraf hak tanah kepada orang yang diberikan hak milik tanah, tanpa mengira sejarah pendudukan atau penggunaan tanah berkenaan. Petani-petani di 1,500 ekar tanah selebihnya masih belum dikunjungi pemilik-pemilik tanah baharu lagi, tetapi hanya menunggu masa sebelum mereka juga bakal diusir.
Satu lagi masalah yang dihadapi oleh petani-petani sayur adalah import sayur-sayuran dan buah-buahan yang tidak dikawal selia dari negara-negara jiran. Oleh sebab Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN, 99% daripada semua barangan yang didagangkan antara negara-negara ASEAN kini berada pada kadar tarif sifar. FTA ASEAN juga secara khususnya melarang kenaikan mana-mana tarif yang sedia ada. Keadaan ini menyebabkan pasaran Malaysia sentiasa dibanjiri dengan sayur-sayuran dan buah-buahan dari Thailand atau Vietnam setiap kali hasil adalah baik di negara-negara itu. Ini mengakibatkan keruntuhan harga barang-barang ini, kadang-kadang sehingga harga pasaran yang tertekan itu tidak dapat menampung kos penuaian dan pengangkutan sayur-sayuran ke pasar.
Pada masa ini, petani-petani Malaysia hanya mengeluarkan kira-kira 60% daripada sayur-sayuran yang kita gunakan. Pengusiran berterusan terhadap petani-petani sayur dan kegagalan untuk menstabilkan harga sayur-sayuran sedang memusnahkan komuniti pertanian tempatan kita yang mempunyai banyak pengetahuan yang diperoleh daripada 3 generasi menjaga tanah. Malangnya, kepakaran ini tidak dihargai oleh kuasa yang mengawal pemberimilikan tanah, dan akibatnya, sumber manusia yang penting telah dilesapkan dengan cepat.
Penternak ikan/nelayan
Penternak-penternak ikan air tawar berada di kawasan pertanian sayur yang kita bincangkan dalam bahagian sebelum ini, dan mereka telah diusir bersama dengan petani-petani sayur. Penternak-penternak ikan air masin dan nelayan-nelayan pesisir pantai dijejaskan dengan teruk oleh pencemaran yang timbul daripada sisa-sisa buangan rumah dan perindustrian, di samping perlombongan pasir dan projek-projek penambakan tanah.
Wilayah yang terdiri daripada selatan Pulau Pinang dan pantai Seberang Perai hingga utara Perak merupakan tapak sumber ikan yang utama untuk negara kita. Malangnya, wilayah ini akan dijejas dengan sangat teruk oleh projek penambakan tanah pulau buatan Selatan Pulau Pinang yang nampaknya sangat diminati oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Projek penambakan tanah ini akan memusnahkan tapak pembiakan banyak spesies ikan. Selain itu, perlombongan pasir mengakibatkan peningkatan bahan organik di dalam air laut. Ini boleh menyebabkan pertumbuhan hebat alga dan mikro-organisma yang lain yang menghabiskan oksigen yang dilarutkan di dalam air laut, membawa kepada asfiksia ikan.
Sekumpulan nelayan pesisir pantai telah memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar mengenai projek penambakan Selatan Pulau Pinang. Mereka kalah di Mahkamah Tinggi dan telah membawa kes mereka ke Mahkamah Rayuan.
Penternak lembu
Ramai penternak lembu di Malaysia merupakan anak atau cucu kepada pekerja-pekerja ladang yang digalakkan untuk menternak lembu di dalam ladang di mana mereka bekerja. Atas sebab yang tidak dapat difahami, syarikat Sime Darby, yang menduduki 1.25 juta hektar tanah pertanian, telah mengumumkan dasar “lembu sifar”, dan sekarang ini sedang cuba mengusir penternak-penternak lembu ini keluar dari semua ladang Sime Darby.
Dasar Sime Darby adalah membingungkan, kerana banyak kajian menunjukkan bahawa membenarkan lembu meragut di dalam ladang kelapa sawit sebenarnya mengurangkan kos dan meningkatkan hasil tanaman kelapa sawit (nota 7). Ini adalah kerana pihak pengurusan tidak perlu membelanjakan banyak wang dalam menyembur racun herbisid, memandangkan lembu meragut dan mengurangkan pertumbuhan semak belukar. Pengurangan dalam penggunaan herbisid menggalakkan pembiakan burung dan serangga di dalam ladang-ladang ini, membawa kepada kadar pendebungaan yang lebih tinggi, dan dengan itu hasil yang lebih tinggi untuk tandan buah kelapa sawit.
Penternak-penternak lembu yang terjejas telah menubuhkan jawatankuasa penyelarasan nasional dan sedang cuba melibatkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam perbincangan mereka dengan Sime Darby. Setakat ini, pihak Sime Darby masih “berkeras kepala”, walaupun disahkan oleh pakar-pakar Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bahawa pertanian bersepadu sebenarnya mengurangkan kos, meningkatkan biodiversiti dan meningkatkan hasil di ladang-ladang kelapa sawit.
Langkah-langkah yang diperlukan untuk melindungi dan menggalakkan pertanian sayur, ikan dan lembu
Terdapat keperluan mendesak untuk menyedarkan pembuat dasar bahawa memelihara keupayaan negara untuk mengeluarkan makanan adalah penting kepada keselamatan negara dan kesejahteraan populasi kita, dan ia harus diberikan keutamaan yang lebih tinggi apabila rancangan-rancangan “pembangunan” ekonomi dirangka. Banyak yang boleh dilakukan untuk menghentikan hakisan berterusan terhadap keupayaan pengeluaran makanan.
A. Pekebun pasar
- Kerajaan negeri harus mengkaji semula pelupusan tanah pertanian pengeluaran makanan untuk tujuan perumahan atau perindustrian. Jika projek-projek sebegitu difikirkan perlu, tanah pertanian yang digunakan untuk penanaman kelapa sawit harus diambil oleh kerajaan untuk projek-projek pembangunan itu. Tanah pertanian untuk perkebunan pasar harus dipelihara.
- Kanun Tanah Negara harus dipinda untuk mengkehendaki pembentukan sebuah jawatankuasa pengawasan di setiap negari, dengan ahli-ahlinya diambil daripada badan-banda peringkat negeri, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan petani, untuk memantau dan memeriksa pelupusan tanah pertanian untuk “pembangunan”. Jawatankuasa pengawasan ini harus bebas daripada cabang eksekutif negeri supaya ia dapat memainkan peranan yang berkesan.
- Kerajaan harus menarik balik pelupusan tanah pertanian pengeluaran makanan yang belum lagi dimusnahkan. Kerajaan negeri boleh menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk mengambil semula tanah berkenaan, dan memajakkannya kepada petani-petani sayur dengan perjanjian yang mengkehendaki petani-petani untuk hanya menanam tanaman makanan di tanah yang dipajak kepada mereka. Kerajaan Persekutuan mungkin perlu mencampur tangan untuk menyediakan sebahagian daripada dana untuk pengambilan tanah.
- Kerajaan harus merundingkan semula FTA ASEAN untuk membolehkan peruntukan sekatan import supaya melindungi pengeluaran makanan domestik. Peruntukan ini harus membolehkan kerajaan untuk menggunakan campuran tarif dan kuota import dalam memastikan bahawa makanan murah di mana-mana negara ASEAN tidak menjejaskan pengeluaran makanan di negara jirannya.
- Dengan kecerdasan buatan (AI) dan data besar semakin popular, kerajaan harus menyediakan papan maklumat kebangsaan dalam talian yang menjejak dan memaparkan beberapa parameter yang akan membantu petani-petani sayur dalam menentukan jenis sayur yang hendak ditanam pada bila-bila masa. Parameter yang harus dijejaki adalah jumlah pelbagai benih sayur-sayuran yang dibeli setiap bulan, keluasan kawasan yang baharu ditanam sayur-sayuran dan permintaan pasaran untuk pelbagai jenis sayur-sayuran. Ini akan membolehkan petani-petani untuk membuat keputusan yang lebih termaklum mengenai tanaman yang hendak ditanam.
B. Penternak ikan dan nelayan
- Menubuhkan sebuah agensi yang mempunyai kepakaran untuk mengkaji semula rancangan-rancangan pembangunan wilayah pantai dari perspektif memelihara rizab perikanan kita.
- Mengubah suai undang-undang yang mengawal kajian-kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA). Kajian-kajian ini harus ditugaskan oleh Jabatan Alam Sekitar dan bukannya oleh penaja projek. Jabatan Alam Sekitar boleh mengenakan caj ke atas penaja projek untuk perkhidmatan ini. Peruntukan undang-undang sedemikian akan menjadikan kajian-kajian EIA lebih objektif. Di bawah sistem sekarang ini, perunding EIA melakukan segala yang mereka mampu untuk memastikan klien mereka, bakal pemaju itu, berjaya dalam pembidaan projek berkenaan.
- Membatalkan projek penambakan Selatan Pulau Pinang.
C. Penternak lembu
- Hentikan gangguan terhadap penternak-penternak lembu di ladang-ladang Sime Darby.
- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan harus menubuhkan sebuah jawatankuasa yang merangkumi wakil Sime Darby dan wakil penternak lembu untuk merangka satu set garis panduan berkaitan dengan penternakan lembu di dalam ladang kelapa sawit.
Penutup
Seperti yang diketengahkan dalam kertas kerja ini, Malaysia kekurangan kerangka keterjaminan makanan yang koheren walaupun berpura-pura mengambil berat tentang kepentingannya. Kesilapan konsep, kejahilan, fokus berpandangan cetek mengenai keuntungan kewangan segera bagi pihak-pihak tertentu dan kepentingan diri telah menghalang penggubalan sebuah rancangan yang rasional dan komprehensif untuk melindungi dan meningkatkan keupayaan pengeluaran makanan di negara kita dengan penekanan pada pengeluaran bijirin dan ubi bernilai kalori tinggi dalam negara. Jika rintangan ini tidak diakui dan ditangani, kita akan terus bersungguh-sungguh menegaskan bahawa kita sangat prihatin pada keterjaminan makanan sedangkan tindakan kita yang sebenar sedang menjejaskannya dengan serius.
==========
Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).
==========
Nota:
1. Terutamanya jika keadaaan antarabangsa juga mengganggu eksport kita sehingga kita mempunyai imbangan perdagangan yang negatif.
2. Kanada dan Australia membeli 5 kali ganda jumlah vaksin COVID-19 yang diperlukan oleh populasi mereka, sementara negara-negara di Afrika bergelut untuk memvaksinasi populasi mereka. Misalnya, Kenya hanya dapat memberi vaksin kepada 1.4% populasinya pada penghujung tahun 2021, berbanding dengan kadar vaksinasi 61% di Britain.
3. Jabatan Pertanian Amerika Syarikat menggunakan ambang kalori sebanyak 2,100 kalori per kapita sehari untuk menilai status keterjaminan makanan negara. (Lila Cardell et al. Science Direct. Vol 41, June 2024)
4. 2024 – 3 juta tan metrik beras digunakan di Malaysia (https://www.statista.com); 1.82 juta tan gandum digunakan di Malaysia (indexmundi.com).
5. Kebun pasar – penanaman sayur-sayuran, buah-buahan dan ubi serta penternakan ikan air tawar.
6. Kes-kes mahkamah melibatkan petani-petani di Daerah Kinta yang sedang berjalan setakat bulan Februari 2025
Tapak | Bilangan petani / ekar | Pihak yang cuba mengusir petani |
Tanah Hitam | 11 orang / 24 ekar | Pejabat Tanah Kinta |
Changkat Kinding | 7 orang / 35 ekar | Anak syarikat LBS Holdings |
Chemor | 18 orang / 90 ekar | Anak syarikat Liew Yin Yin Land Sdn Bhd |
Kanthan | 5 orang / 30 ekar | PKNP |
Kuala Kuang | 4 orang / 20 ekar | Eadepro Development Sdn Bhd |
7.
i) A financial study of cattle integration in oil palm plantations
J Latif, MN Mamat – Oil Palm Industry Economic Journal, 2002
ii) Cattle-oil palm integration – a viable strategy to increase Malaysian beef self-sufficiency and palm oil sustainability. Natascha A. Grinnell et al. Livestock Science May 2002
iii) Cattle grazing benefits farmland bird community composition in oil palm plantations
KA Tohiran et al. Ornithological science, 2019
C Devendra. Asian-Australasian Journal of Animal Sciences, 2011