
oleh S. Arutchelvan
Kenyataan Perdana Menteri untuk membuat pindaan terhadap Akta perhimpunan Aman 2012 supaya tidak perlu lagi mendapatkan kebenaran daripada tuan punya premis dalam penganjuran perhimpunan adalah satu pindaan yang wajar dan selari dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dalam bab kebebasan berhimpun. PSM mengalu-alukan pindaan ini termasuk moratorium dalam perkara ini.
Berkenaan isu kebebasan berhimpun yang sama, Parti Sosialis Malaysia (PSM) berharap perkara-perkara di bawah juga akan diambil kira :
1. Tempat untuk rakyat berhimpun di kawasan perkarangan Parlimen hari ini adalah agak terhad di mana pada masa dulu, jambatan yang menuju ke Parlimen adalah kawasan yang dibenarkan untuk rakyat berhimpun. Kawasan Parlimen, iaitu simbol demokrasi negara kita, juga tidak tergolong dalam Jadual 1 mengenai tempat-tempat larangan. Namun demikian, sejak kebelakangan ini, tiada ruang untuk rakyat berhimpun di kawasan parlimen dan kawasan yang biasanya dibenarkan untuk berhimpun oleh pihak polis adalah terlalu kecil dan tidak sesuai. Sesebuah tempat yang strategik untuk rakyat berhimpun yang dapat dilihat secara jelas oleh Ahli-ahli Parlimen semasa mereka pergi ke Parlimen harus dibenarkan.
2. Mengikut Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution, sejak beliau mengambil alih jawatan itu, pihak polis hanya menolak 2-3% permohonan perhimpunan, manakala 98% perhimpunan telah berlangsung tanpa insiden. PSM mengakui dan percaya pada statistik ini. Namun demikian, walaupun hampir semua perhimpunan telah selesai tanpa insiden, tetapi Polis telah memanggil penganjur untuk memberikan keterangan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah selepas banyak daripada perhimpunan ini sudah berlangsung. Amalannya adalah pihak polis menyiasat aduan polis berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh polis sendiri. Amalan ini menimbulkan satu suasana seolah-olah PDRM tidak menghormati hak berhimpun dan memberikan kekangan kepada pihak yang berhimpun. Perkara ini juga harus diperhalusi supaya hak yang diberikan untuk berhimpun tidak ditarik balik apabila penganjur disiasat atas Akta Perhimpunan Aman selepas perhimpunan. Dua insiden kebelakangan ini, di mana penganjur perhimpunan pro-Palestin disiasat berulang kali, termasuk mereka yang pergi bersolidariti di luar balai polis, adalah contoh jelas walaupun ada lagi banyak insiden yang lain.
==========
S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).