oleh Muhammad Yazid Mohammad Naim
Nampaknya tindakan memberikan jawatan-jawatan penting oleh seorang ahli politik kepada ahli keluarganya sudah menjadi tradisi sejak pentadbiran Kerajaan BN hinggalah kini, Kerajaan Madani. Pada bulan November 2024, Nurul Izzah menjadi penasihat pro bono dalam hal-hal ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri kita sendiri, Anwar Ibrahim. Baru-baru ini, kita digemparkan dengan berita bahawa Nurul Hidayah, anak kepada Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, dilantik sebagai ahli lembaga pengarah di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Pada masa lepas, menerusi rakaman video TikTok Sinar Daily, Nurul Hidayah dilihat memberikan pandangan beliau tentang politik semasa. Menurutnya, wanita tidak layak untuk menjadi pemimpin. Hanya para lelaki sahaja yang dilahirkan untuk menjadi pemimpin negara. Mengambil kira hal ini, adakah benar pelantikannya dibuat atas dasar “komposisi berpengetahuan dan berpengalaman”, seperti yang yang menurut surat pelantikan yang ditandatangani Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abd Kadir? Bukankah pelantikan ini bertentangan dengan pandangan regresif yang dibawanya?
Atau adakah ini merupakan pelantikan berasaskan dasar nepotisme atau pilih keluarga, di mana seseorang dilebih-lebihkan untuk pelantikan sesuatu jawatan hanya kerana dia ialah saudara-mara atau ahli keluarga sendiri, dan bukan kerana penilaian objektif? Bagaimanakah boleh kita katakan Nurul Hidayah mempunyai kebolehan atau pengalaman yang sesuai apabila pada satu ketika dia pernah memperlekehkan cadangan bekas Ketua Pejuanita Muda Malaysia, Dr. Nurul Ashikin Mabahwi, mengenai bantuan tuala wanita untuk golongan B40 dengan menanyakan soalah berkaitan penggunaan tuala wanita percuma dengan kemungkinan mengandung?
Selain daripada berpengalaman sebagai pengacara rancangan TV dan terlibat dengan Rejimen Askar Wataniah sebagai sukarelawan, adakah Nurul mempunyai pengetahuan atau pengalaman yang mencukupi untuk menjadi ahli lembaga pengarah sebuah universiti tempatan terkemuka? Apakah pencapaian-pencapaiannya terdahulu yang boleh dijadikan sebab-sebab pelantikannya? Pertanyaan-pertanyaan sebegini pasti tersemat dalam kalbu nurani rakyat jelata yang bersusah payah menjalani cabaran-cabaran kehidupan untuk memperoleh kejayaan, atau, dalam hal ini, boleh sahaja untuk menjadi ahli lembaga pengarah sesebuah universiti.
PSM membantah pelantikan ini sekeras-kerasnya atas beberapa sebab. Seorang ahli lembaga pengarah, atau seseorang yang memegang apa-apa jawatan, haruslah memenuhi syarat-syarat untuk jawatan tersebut berdasarkan kebolehan, pengetahuan dan juga pengalaman, jika perlu. Hubungan dengan ahli politik yang berkuasa tidak sepatutnya disalahgunakan untuk mendapatkan jawatan tersebut. Jelas tradisi sebegini ialah salah satu akibat daripada sistem kapitalisme yang diagung-agungkan oleh mana-mana parti politik yang mentadbir negara.
Bukan itu sahaja, pelantikan ini memalukan institusi pendidikan negara. Apakah yang berada dalam fikiran Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abd Kadir semasa beliau menandatangani surat pelantikan Nurul Hidayah? Apakah mesej yang ingin disampaikan kepada anggota-anggota masyarakat yang menerajui industri pendidikan – guru, pelajar, ibu bapa, dan sebagainya – melalui pelantikan ini? Tanpa pencapaian-pencapaian atau kelayakan-kelayakan yang cukup dan sesuai, jelaslah bahawa pelantikan ini bukan dilaksanakan demi manfaat UPM. Dengan pelantikan ini, jelaslah bahawa para pelajar, generasi muda yang bakal menerajui kepimpinan negara, akan melihat budaya nepotisme ini sebagai budaya yang dibenarkan dan digalakkan.
Akhir kalam, sudah tiba masanya untuk rakyat bangkit membantah sekeras-kerasnya budaya nepotisme ini. Bukan sahaja ia menguntungkan peratus kecil rakyat Malaysia, tetapi juga ia menidakkan peluang untuk sesiapa sahaja yang sepatutnya dipertimbangkan dan dipilih untuk sesuatu jawatan. Kecenderungan budaya nepotisme untuk menguntungkan sesetengah individu atas dasar hubungan individu tersebut dengan orang-orang yang berkuasa ialah salah satu simptom sistem kapitalisme yang semakin parah hari demi hari. Pemegangan jawatan ahli-ahli politik atau ahli-ahli industri yang berpaksikan kepada kemampuan seseorang itu melaksanakan tugasnya adalah perlu untuk kemajuan sesebuah negara.
==========
Muhammad Yazid Mohammad Naim ialah Bendahari Pemuda Sosialis PSM.