oleh Gandipan Nantha Gopalan 

Peribahasa Tamil “Thai pirandhal vazhi pirakkum” (ketibaan bulan Thai membawa janji permulaan baharu) sangat bergema hari ini. Ketika kenyataan ini ditulis, cahaya harapan menerangi bumi Gaza dengan tercapainya persetujuan untuk gencatan senjata oleh kedua-dua pihak yang terlibat dalam konflik seperti mana yang telah dilaporkan dalam media. Perkembangan ini memberikan kelegaan yang sangat diperlukan bagi kawasan yang telah lama dilanda peperangan, meskipun ia bukan satu penyelesaian yang sepenuhnya. Gencatan senjata ini adalah milik 40,000 nyawa orang awam Palestin yang tidak bersalah yang telah terkorban, dan ia menyalakan harapan untuk perjuangan baharu menentang Israel dan kuasa imperialis lain.

Sambutan Ponggal, yang secara tradisinya adalah perayaan menuai, juga merupakan hari untuk menghormati tenaga kerja dan usaha keras – satu perayaan golongan pekerja. Perayaan ini bukan hanya untuk petani, tetapi untuk setiap pekerja yang berusaha lebih lapan jam sehari demi kemajuan masyarakat. Namun, satu persoalan penting muncul: Adakah pekerja di negara ini menerima pengiktirafan dan faedah yang sewajarnya?

Kini, pada tahun 2025, gaji minimum Malaysia hanya meningkat daripada RM1,500 kepada RM1,700. Kenaikan RM200 yang diumumkan oleh Perdana Menteri ini, walaupun sedikit, jauh lebih rendah daripada kenaikan RM300 yang dilaksanakan semasa pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri. Apa yang lebih mengecewakan adalah wacana mengenai kenaikan ini terhad kepada dua sudut pandangan:

  1. Segelintir pihak mempersoalkan rasional di sebalik kenaikan gaji ini dan mengkritik keputusan kerajaan.
  2. Satu lagi pihak cuba menggambarkan kenaikan RM200 ini sebagai bukti pentadbiran yang mesra buruh.

Malangnya, tiada perbincangan bermakna yang menumpukan sama ada kenaikan ini mencukupi untuk pekerja yang bergantung kepada gaji minimum. Berdasarkan pengiraan kerajaan sendiri, seorang pekerja memerlukan RM2,444 sebagai pendapatan sara hidup. Sebaliknya, Parti Sosialis Malaysia (PSM) mencadangkan gaji minimum RM2,000, yang disokong oleh kesatuan pekerja. Manakala UNICEF mencadangkan RM2,100. Angka-angka ini ditolak dan para pekerja hanya diberikan kenaikan bersifat tokenisme.

Ketika gaji pekerja masih menjadi isu yang membimbangkan, keadaan pengeluaran makanan negara kita pula berada dalam keadaan yang tidak menentu. Pada tahun 2023, Malaysia mengimport makanan bernilai RM75.54 bilion. Kecenderungan kerajaan, yang nampaknya tidak peduli, dalam menangani isu ini kelihatan terhad. Dengan kebergantungan yang berterusan terhadap import, persoalan penting yang perlu kita bertanya adalah: Adakah kita benar-benar memberi sokongan dan memperkasakan petani kecil tempatan?

Di kawasan parlimen Perdana Menteri sendiri, usaha sedang dijalankan untuk mengusir keluar para petani dari tanah yang telah usahakan oleh mereka selama ini. Hal ini langsung tidak menjelaskan bagaimana tindakan mengusir petani kecil, yang mengancam sumber kehidupan mereka, selari dengan atau menyokong matlamat kerajaan yang ingin menjimatkan dana secara keseluruhan.

Di peringkat global, gaji yang adil untuk pekerja sering dikaitkan secara langsung dengan kekuatan dan keberkesanan kesatuan pekerja dalam sesebuah negara. Negara dengan kadar tenaga kerja berkesatuan yang lebih tinggi cenderung memberikan gaji yang lebih baik. Sebaliknya, salah satu faktor utama Malaysia terus mengekalkan gaji rendah tahun demi tahun adalah kadar penyertaan pekerja dalam kesatuan yang kurang daripada 6%. Walaupun kerajaan berjanji untuk meningkatkan kadar peratusan jumlah pekerja dalam kesatuan sekerja, tindakan konkrit masih belum kelihatan. Kami ingin mempersoalkan apakah langkah nyata, jika ada, yang telah diambil untuk meningkatkan penyertaan pekerja dalam kesatuan, atau sekurang-kurangnya menangani isu ini?

Justeru, untuk Ponggal ini, selain daripada meraikan kerja keras para pekerja dan mengucapkan kesyukuran kepada alam, marilah kita merenung cara untuk menangani eksploitasi yang menimpa pekerja serta memperjuangkan keadilan untuk mereka. Sudah tiba masanya untuk mencabar sistem di mana tuntutan golongan pekerja dan rakyat biasa yang sering dipinggirkan berbanding kehendak golongan elit kapitalis. Dengan harapan yang diperbaharui, mari kita raikan Ponggal dan melangkah ke tahun baharu dengan impian untuk sebuah kerajaan yang benar-benar mewakili hak golongan pekerja dan rakyat biasa.

Bagi pihak Parti Sosialis Malaysia, kami mengucapkan selamat menyambut Ponggal kepada semua.

==========

Gandipan Nantha Gopalan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *