KUALA KUBU BHARA, SELANGOR – 18 DISEMBER 2024: Golongan bekas pekerja dari 5 buah ladang di Kuala Selangor dan Hulu Selangor membuat aduan polis terhadap Papparaidu Veraman, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri Selangor atas tindakannya yang cuba memecah-belahkan penduduk-penduduk di 5 buah ladang itu dalam penyelesaian isu perumahan bekas pekerja ladang di situ. Mereka meminta pada pihak polis supaya menyiasat motif di sebalik tindakan Papparaidu yang diragui itu.
Penduduk-penduduk dari Ladang Mary, Ladang Bukit Tagar, Ladang Nigel Gardner, Ladang Sungai Tinggi dan Ladang Minyak telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor untuk membuat aduan polis terhadap ahli politik oportunis yang cuba mensabotaj penyelesaian isu perumahan mereka.
“Papparaidu tidak menghormati pekerja-pekerja ladang, kerana dia melantik orang yang rapat dengannya dan tidak pernah terlibat dalam perjuangan perumahan sebelum ini sebagai wakil penduduk untuk membincangkan penyelesaian isu perumahan 5 ladang,” kata Kamalakanan dari Ladang Mary semasa membuat aduan polis. “Setiap kali kami menghantar surat kepadanya, orangnya tidak menerima dan tidak memanggil kami untuk bermesyuarat. Ini isu pekerja ladang. Sudah pasti perlu melibatkan pekerja ladang, barulah tahu keadaan sebenar.”
Selepas perjuangan yang berlarutat bertahun-tahun oleh pekerja-pekerja dari 5 buah ladang tersebut, mereka mencapai kemenangan penting pada 6 Mei 2024 apabila Nga Kor Ming selaku Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk membina Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Selangor bagi menempatkan semula 245 orang pekerja yang terlibat.
“Papparaidu hanya memanggil wakil-wakil yang dikenalinya dari ladang untuk membincangkan penyelesaian perumahan ini. Penduduk-penduduk tidak berpuas hati kerana wakil-wakil yang dilantik itu bukannya mereka yang dipilih oleh penduduk-penduduk dan tidak diberi mandat oleh penduduk-penduduk,” kata Sivaranjani Manickam, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), yang turut hadir bersolidariti bersama bekas pekerja dari 5 buah ladang. “Ini menunjukkan seolah-olah Paparaidu hanya melibatkan kroni-kroni politiknya dalam perbincangan mengenai isu ini.”
Pekerja-pekerja dari 5 buah ladang ini juga akan menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Selangor, dengan tuntutan mereka yang tidak mahu Papparaidu mengendalikan isu ini lagi. Mereka menggesa pada pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kerajaan Negeri Selangor supaya hanya menerima orang yang mempunyai mandat daripada pekerja-pekerja di 5 buah ladang ini untuk mewakili mereka dalam perbincangan mengenai penyelesaian isu perumahan mereka.
“Walaupun Kerajaan Persekutuan sudah hampir menyelesaikan isu pekerja ladang ini dengan bersetuju membina rumah kepada 245 orang penduduk di 5 buah ladang ini, tiba-tiba Papparaidu menimbulkan masalah baharu. Penduduk-penduduk tidak mahu seberang masalah baharu yang memecah-belahkan mereka,” ulas Sivaranjani. “Kami amat berharap isu ini akan selesai secepat mungkin, dan semua pekerja dari 5 buah ladang ini akan mendapat rumah mereka pada tahun akan datang.”