(sumber: Wikipedia)

Kuasa Rakyat Kebangsaan (NPP), perikatan politik berhaluan kiri yang diterajui oleh Janatha Vimukthi Peramuna (JVP) atau Barisan Pembebasan Rakyat, memenangi lebih 70% kerusi parlimen dalam pilihan raya parlimen Sri Lanka baru-baru ini.

Pilihan raya untuk Parlimen Sri Lanka diadakan pada 14 November 2024, berikutan Anura Kumara Dissanayake daripada NPP yang dipilih sebagai Presiden Sri Lanka yang baharu pada bulan September 2024 membubarkan parlimen untuk pilihan raya awal supaya membolehkan kerajaan baharunya memperoleh sokongan parlimen yang kuat. NPP yang dipimpin oleh Dissanayake hanya mempunyai 3 kerusi dalam parlimen sebelum pilihan raya terbaru ini, maka ia memerlukan lebih banyak sokongan ahli parlimen supaya kerajaan baharu dapat melaksanakan dasarnya tanpa banyak rintangan daripada badan perundangan, dan tindakan itu terbukti berguna kerana NPP mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya parlimen.

NPP memenangi sebanyak 159 daripada 225 kerusi Parlimen Sri Lanka, meningkat sebanyak 156 kerusi berbanding pilihan raya parlimen 2020. NPP meraih lebih 6.86 juta undi (bersamaan 61.56%), meningkat sebanyak 57.72 titik peratusan. Dengan menguasai 70% kerusi dalam parlimen, iaitu melebihi dua pertiga kerusi, membolehkan Dissanayake untuk memperkukuhkan kedudukannya sebagai Presiden Sri Lanka dan memudahkan usaha pembaharuan yang cuba dilakukan oleh kerajaannya.

Daripada 225 kerusi dalam Parlimen Sri Lanka, 196 dipilih secara langsung mengikut kawasan mengundi, sementara 29 kerusi lain yang dikenali sebagai “Senarai Kebangsaan” diagihkan kepada parti-parti politik yang layak mengikut nisbah undian mereka dalam pilihan raya. NPP memenangi 141 daripada 196 kerusi yang dipilih secara langsung, dan diagihkan 18 daripada 29 kerusi Senarai Parlimen. Dalam pilihan raya yang lalu pada tahun 2020, NPP hanya memenangi 2 kerusi yang dipilih secara langsung dan memperoleh 1 kerusi daripada Senarai Kebangsaan.

Pesaing yang terdekat, iaitu Samagi Jana Balawegaya (SJB) yang dipimpin oleh Sajith Premadasa, hanya menguasai 40 kerusi, kekal sebagai parti politik kedua besar dalam parlimen, dengan undian 17.66%.

Sri Lanka Podujana Peramuna (SLPP), yang dipimpin oleh bekas Presiden Mahida Rajapaksa dan merupakan parti terbesar semasa pilihan raya tahun 2020, hanya memperoleh 3 kerusi, berbanding 100 kerusi yang dikuasainya sebeum ini, dengan undian 3.14%, merosot sebanyak 55.95 titik peratusan.

Ilankai Tamil Arasu Kachchi (ITAK), parti politik yang berfahaman nasionalis Tamil dan mewakili penduduk-penduduk minoriti Tamil, memenangi 8 kerusi untuk mengekalkan kedudukan parti warga Tamil sebagai parti politik ketiga besar dalam parlimen, dengan undian 2.31%. Parti politik minoriti Tamil memperoleh 10 kerusi dalam pilihan raya yang lalu.  

Satu lagi pemain utama dalam politik pilihan raya, Barisan Demokratik Baharu (NDF) yang dipimpin oleh Ranil Wickremesinghe yang menyandang jawatan Presiden sebelum Dissanayake mengambil alih kuasa, hanya memenangi 5 kerusi dengan undian 4.49%.

Kemenangan besar NPP dalam pilihan raya parlimen ini merupakan lanjutan kemenangan bersejarah Dissanayake dalam pilihan raya presiden pada bulan September 2024, sekali gus memberikan keyakinan yang lebih besar kepada kerajaan baharu untuk menjalankan pentadbiran dan melakukan pembaharuan yang diperlukan.

Kemenangan NPP yang dipimpin oleh Dissanayake menjadi kenyataan atas dua faktor utama, iaitu:

  • Penolakan pengundi-pengundi terhadap parti-parti politik arus perdana lama yang sudah dicemari nama mereka dengan pelbagai masalah dan keinginan untuk mencari alternatif baharu yang mampu menyelamatkan negara Sri Lanka daripada kemelut ekonomi yang teruk;
  • Kejayaan NPP dalam menggerakkan sebuah kempen pilihan raya yang melibatkan usaha mobilisasi massa akar umbi yang menekan pada perpaduan nasional dan pemulihan ekonomi.

Kebangkitan NPP sebagai alternatif politik yang berdaya maju untuk menggantikan parti-parti pemerintah tradisional itu berkaitan rapat dengan peranan ketaranya dalam gelombang protes pada tahun 2022 yang menjatuhkan pemerintahan keluarga Rajapaksa. Gelombang protes rakyat yang hebat tercetus di Sri Lanka pada tahun 2022 kerana kegagalan kerajaan dalam menangani masalah ekonomi negara dan kesusahan hidup yang dihadapi pada masa itu, sehingga Presiden pada masa itu Gotabaya Rajapaksa dan abangnya Mahinda Rajapaksa yang memegang jawatan Perdana Menteri terpaksa meletak jawatan mereka. Ranil Wickremesinghe yang menggantikan Rajapaksa sebagai Presiden turut gagal menangani kemelut ekonomi yang berlarutan itu.

Dissanayake menang dalam pilihan raya presiden pada bulan September 2024, tetapi undian pilihan pertama yang diperolehnya hanya 42.31% dan hanya muncul sebagai pemenang dalam pengiraan pusingan kedua dengan undian 55.89%. Lebih-lebih lagi, perikatan parti politik yang dipimpinnya, NPP, hanya menguasai 3 kerusi sahaja dalam parlimen pada ketika dia mengangkat sumpah sebagai Presiden baharu. Oleh itu, kemenangan besar NPP dalam pilihan raya parlimen ini akan membolehkannya untuk memperkukuhkan kedudukan sebagai Presiden dan mengotakan janji-janjinya semasa pilihan raya, termasuk membersihkan negara Sri Lanka daripada rasuah dan menyelamatkan negara daripada masalah ekonomi yang diwujudkan oleh kerajaan-kerajaan sebelum ini.

NPP berjaya memenangi 3 daripada 6 kerusi di Jaffna yang majoritinya penduduk Tamil dan juga bilangan kerusi yang ketara di wilayah-wilayah yang dihuni oleh kaum minoriti, walaupun JVP yang menerajui NPP itu sering dianggap sebagai sebuah parti nasionalis Sinhala dan anti-Tamil. Kemungkinan cara kempen politik yang cuba menonjolkan perdamaian etnik demi menyatukan negara dalam menangani masalah ekonomi itu dapat memenangi sebahagian sokongan daripada golongan minoriti di Sri Lanka yang hidup di bawah bayangan nasionalisme Sinhala selama ini.

Semasa kempen pilihan raya, Dissanayake menyeru pada pengundi-pengundi untuk “membersihkan” parlimen daripada golongan elit lama. Dia juga berkempen menentang pembahagian etnik yang tradisional di negara itu, dengan mengatakan bahawa “zaman pembahagian dan melagakan sebuah komuniti terhadap yang lain sudah tamat” dan berulang kali menyeru untuk “membina negara secara bersama”.

Walau bagaimanapun, cabaran yang akan dihadapi oleh kerajaan pimpinan Dissanayake masih agak besar dan sukar. Kerajaan Sri Lanka sedang menanggung hutang negara yang besar dan menghadapi tekanan daripada peminjam seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk melaksanakan dasar-dasar ekonomi neoliberal supaya terus mendapatkan pinjaman dari luar. Dissanayake pernah berjanji dalam pilihan raya untuk mengubah sasaran yang ditetapkan dalam perjanjian bantuan kewangan IMF yang ditandatangani oleh pendahulunya Wickremesinghe yang terlalu membebankan rakyat. Namun, Dissanayake juga berkata bahawa Sri Lanka akan mematuhi perjanjian dengan IMF dalam penstrukturan semula hutangnya.

Dissanayake juga menjanjikan penggubalan perlembagaan baharu, di samping membawa perubahan ketara kepada budaya politik di negara itu dan membasmi rasuah secara berkesan. Pembasmian rasuah yang dikatakan sebagai salah satu punca utama kepada keruntuhan ekonomi itu sudah pasti merupakan satu cabaran besar, dan menjadi ujian kepada kerajaan pimpinan Dissanayake bahawa ia tidak akan terjerumus dalam amalan korupsi seperti kerajaan-kerajaan sebelumnya. Tambahan pula, penyumbang kepada krisis ekonomi di Sri Lanka bukannya sekadar rasuah, malah yang paling utama ialah sistem ekonomi kapitalis neoliberal yang telah mendominasi negara itu malah dunia kita selama ini. Sejauh mana kerajaan baharu Sri Lanka dapat memutuskan dan membebaskan negara itu daripada dominasi ekonomi neoliberal, akan menjadi penentu kepada kejayaan pembaharuan yang mampu mengubah nasib dan memperbaiki kehidupan rakyat biasa di Sri Lanka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *