oleh Dr. Nasir Hashim

**********

Kami bersua muka
Dicengkam tahanan
pada usia dimamah
masa
Saling memahami nota
pribadi
Namun, sisa
pengalaman
membuahkan
teladan

Saudara ku
Betapa lumrahnya
titisan sejarah
menegur jati diri
Mengapa negara ku
harus begini?
Saban hari dihimpit
tamadun songsang
Bercandukan takhta,
membilang harta dan
kuasa

Maka parut yang lama
dilukai kembali
Negara melutut, parah
tak terperi
Kerana sandiwara
kapitalis dan
dendangan konco
ditayang lagi
Gah berkiblatkan
penindasan dan
mempertuhankan
keuntungan

Saudara ku
Kita pernah dikurung
dan dikeji
Bebas berantai dalam
pasung bersulamkan
batu, duri dan besi

Namun begitu
Kita tidak berputus asa
tidak pula berpatah
arah
Sanggup mendalami
erti setia kawan dan
melumpuhkan
ragam lawan
Saling perkasakan
semangat cinta kasih
yang abadi

Namun ada mendakwa
dimangsa takdir Illahi
Meskipun sendiri tidak
pernah diberitahu
nasibnya harus begini

Lantas yang liar
mengintip durhaka
Menjunjung seribu
satu alasan agar
terbebas jua dari
tahanan

Saudara ku
Biarkanlah mereka
begitu
Suatu masa nanti
mereka akan ditanya
Mengapa sanggup
begini
Mengorbankan anak
cucu dalam negara
yang tercinta ini

Saudara seperjuangan ku
Kita ibarat lilin
pemangkin tanpa
bernoktah
Hilang tak siapa nan
tahu
Berikrar kukuhkan jati
diri dan perkasakan
rakyat lagi

Semoga anak cucu
mengerti mengapa
kami harus begini
Semoga mereka lebih
mantap, lebih gagah
dari kami

Salam perjuangan

==========

Dr. Nasir Hashim ialah mantan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *