oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Parti Sosialis Malaysia (PSM) amat kecewa dengan kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, yang mengatakan bahawa Kerajaan MADANI sedang mempertimbangkan untuk membuka sayap swasta di hospital-hospital kerajaan di seluruh negara di bawah sebuah program baharu yang dikenali sebagai “Rakan MOH”.

Pendahulu kepada rancanga yang retrogresif ini, Skim Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh (FPP), pada asalnya diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pada tahun 2007. Pada masa itu, PSM menghimpunkan sebuah gabungan NGO dan aktivis untuk membantah rancangan ini dengan menganjurkan siri aksi protes, termasuk di 4 buah hospital pada tahun 2011 yang dipilih untuk mengembangkan skim tersebut.

Protes daripada PSM dan masyarakat sivil telah menundakan pelaksanaan skim ini selanjutnya untuk beberapa tahun kemudian, tetapi selepas itu, kerajaan melaksanakan Skim Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh tanpa mengheboh-hebohkannya di 11 buah hospital besar di seluruh negara.

PSM menggerakkan rakyat untuk membantah Skim Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh kerana kami berpandangan bahawa ia akan mendatangkan kesan buruk kepada rakyat biasa. Masalah dengan hospital-hospital kerajaan di negara kita adalah kita tidak mempunyai doktor pakar kanan yang berpengalaman yang mencukupi untuk merawat kes-kes yang lebih rumit dan melatih doktor-doktor pakar yang muda. Kira-kira 75% daripada doktor pakar dengan pengalaman lebih 10 tahun selepas pengkhususan kepakaran kini berkhidmat di hospital-hospital swasta yang berkembang pesat di seluruh negara, meninggalkan hanya 25% daripada kumpulan doktor pakar kanan berada di hospital-hospital kerajaan di mana lebih 75% pesakit dalaman mendapatkan rawatan dan generasi doktor pakar yang baharu menerima latihan di situ.

Kekurangan kronik dalam doktor pakar yang berpengalaman ini diterjemah ke dalam tempoh masa menunggu yang sangat panjang untuk pesakit-pesakit dengan keadaan yang rumit, kelewatan dalam diagnosis dan rawatan, salah diagnosis, program latihan yang tidak mencukupi untuk doktor-doktor muda yang cuba mendapatkan kepakaran, dan lebih banyak tekanan kepada doktor-doktor muda yang perlu menangani jumlah pesakit yang banyak tanpa sokongan yang mencukupi. Inilah kenapa kami membantah skim FPP pada tahun 2011.

Pelaksanaan skim FPP secara senyap-senyap di 11 buah hospital beberapa tahun kemudian menunjukkan dengan jelas bahawa sebahagian besar kebimbangan kami tentang skim FPP adalah betul. Skim FPP membenarkan doktor-doktor kanan untuk bertemu pesakit-pesakit swasta “selepas waktu pejabat” di premis hospital kerajaan, dan mengenakan caj terhadap mereka mengikut kadar swasta. Ramai doktor pakar kanan di hospital kerajaan mengambil bahagian dalam FPP secara bijak, dan mengehadkan masa bertemu pesakit swasta mereka kepada kurang daripada 10 jam seminggu. Namun, terdapat sebilangan besar juga yang menghabiskan masa secara berlebihan untuk bertemu pesakit-pesakit swasta mereka. Doktor-doktor pakar yang terlalu ghairah ini memperoleh lebih daripada dua kali ganda gaji kerajaan mereka melalui skim ini. Akan tetapi, ini membawa kesan buruk kepada semangat doktor-doktor pakar lain yang perlu memikul tanggungjawab untuk menjaga pesakit-pesakit biasa yang bukannya “pesakit bayar penuh”. Ia juga menjejaskan latihan untuk doktor-doktor pakar muda.

Jika anda menggali lebih mendalam lagi, skim FPP sebenarnya mewujudkan konflik kepentingan yang serius bagi doktor-doktor pakar yang mengambil bahagian dalamnya. Pesakit-pesakit hanya akan datang ke klinik FPP jika senarai menunggu di klinik awam yang percuma itu terlalu panjang dan perkhidmatan di situ sedikit “meragukan”. Salah satu tanggungjawab doktor pakar kanan kerajaan, yang kebanyakannya ketua jabatan masing-masing, adalah untuk meningkatkan prestasi unit mereka – dari segi masa menunggu, kecekapan doktor-doktor pakar muda di jabatan mereka, dan sebagainya. Namun, sebuah klinik awam yang lebih baik dan cekap bermakna kurangnya pesakit pergi ke klinik FPP.

Kami tahu sudah pastinya bahawa Kementerian Kesihatan telah meminta hospital-hospital yang melaksanakan Skim Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh untuk melakukan pengauditan dalaman berhubung kesan skim tersebut terhadap penjagaan pesakit, latihan doktor muda dan semangat doktor kerajaan. Kami telah mendengar bahawa banyak daripada pengauditan dalaman ini adalah agak kritikal terhadap skim ini, setelah mengenal pasti banyak kelemahan. Adakah Menteri Kesihatan sekarang ini meneliti pengauditan dalaman ini? Memang beliau patut berbuat demikian, dan sekiranya hasil pengauditan menunjukkan ia tidak seteruk yang difahami oleh PSM, kemukakan sahaja untuk tatapan orang awam sebelum melaksanakan penyambung skim FPP – skim Sayap Swasta di hospital kerajaan.

PSM ingin mengingatkan rakan-rakan kami dalam Kerajaan MADANI bahawa mereka berkuasa dengan janji mereformasikan kerajaan untuk memanfaatkan rakyat biasa. Kami memang memahami bahawa mereka bimbang tentang hutang negara sebanyak RM1.2 trilion yang sedang dihadapi oleh kerajaan, dan keinginan mereka untuk mengurangkan defisit belanjawan daripada 5% KDNK pada masa ini kepada 3% atau lebih rendah. Kami faham itu. Namun, kami amat tidak bersetuju dengan sebarang langkah yang memindahkan sumber menjauhi daripada rakyat biasa. Sistem kesihatan kita sedang bergelut dengan masalah kekurangan doktor pakar kanan. Sebarang langkah yang mengurangkan ketersediaan doktor pakar untuk rakyat adalah tidak boleh diterima sama sekali. Kami menganggapnya sangat tidak bertanggungjawab.

Kenapa tidak bertanggungjawab? Ini kerana kamu, MADANI, ialah kerajaan. Anda mempunyai lebih banyak kuasa sekarang berbanding zaman kita bersama dalam pembangkang yang mengkritik kerajaan BN. Anda harus menggunakan kedudukan dan kuasa anda untuk menangani persoalan yang sukar, seperti bagaimana sebuah negara dengan KDNK dalam nilai sebenar telah meningkat sebanyak 25 kali ganda (selepas mengambil kira inflasi) dalam tempoh 50 tahun yang lalu, hasil kerajaan telah menurun daripada kira-kira 30% KDNK pada 50 tahun dahulu kepada 14% sahaja sekarang ini. Bukankah ini punca masalahnya? Bahagian yang semakin kecil daripada pendapatan yang dihasilkan oleh negara ini pergi kepada kerajaan.

Itulah sebabnya kerajaan tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk dibelanjakan dalam kesihatan, memulakan skim pencen warga emas sejagat, mempercepatkan peralihan kepada tenaga hijau, memulihara sungai dan hutan kita, dan menaik taraf pengurusan sisa perbandaran kita. Semua ini bukannya perkara yang menguntungkan golongan korporat, maka tidak akan dijalankan oleh sektor swasta. Dalam sebuah ekonomi yang berfungsi dengan baik, bahagian yang munasabah daripada kekayaan yang dijana secara kolektif oleh masyarakat harus disalurkan kepada kerajaan untuk membiayai semua program dan perkhidmatan yang tidak diminati oleh sektor swasta.

Malangnya, di Malaysia, dan juga di banyak negara, bahagian kekayaan masyarakat yang diagihkan untuk menjadikan kehidupan semua rakyat lebih baik itu semakin berkurangan. Kenapa ini berlaku? Bolehkah ia diterbalikkan? Ini ialah isu-isu penting yang harus diberi perhatian oleh kerajaan. Adakah kerajaan MADANI menangani isu-isu ini? Itu merupakan pelaksanaan yang bertanggungjawab untuk kuasa yang diamanahkan oleh rakyat kepada anda.

Jika, bukannya mencari jalan untuk menangani masalah pengagihan kekayaan negara yang tidak betul, sebaliknya kerajaan MADANI meneruskan dasar yang tidak difikirkan dengan lebih baik dan menjejaskan kesejahteraan rakyat, janganlah berharap PSM berpura-pura tidak tahu. Sistem kesihatan awam ialah penjelmaan konkrit keinginan rakyat kita untuk mewujudkan sebuah masyarakat penyayang yang inklusif berdasarkan solidariti semua rakyat yang tinggal di negara ini. Sistem kesihatan awam kita menakrifkan “jiwa” negara kita dengan cara yang sangat nyata. Sebarang langkah yang menjejaskan sistem kesihatan awam kita ialah garisan merah yang terang, bukan sahaja untuk PSM tetapi untuk banyak kumpulan masyarakat sivil. Tolong jangan melintasi garisan merah ini!

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM). Beliau juga merupakan bekas Ahli Parlimen kawasan Sungai Siput.    

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *