oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Hari Kemerdekaan menjelang dan kerajaan sedang bersiap sedia untuk acara sambutan yang akan diselangi dengan perarakan, orang ramai yang mengibarkan bendera dan ucapan-ucapan orang kenamaan. Tidak dapat dinafikan bahawa mencapai pemerintahan sendiri pada 31 Ogos 1957 merupakan satu langkah ke hadapan yang besar bagi Malaya. Ia merupakan satu peristiwa yang penting dan bermakna. Namun, adakah kita mampu menggunakan hak untuk pemerintahan sendiri itu?

Sekarang ini, kita hidup di bawah tirani 500 buah syarikat korporat terkaya di dunia dan 5,000 atau lebih orang bilionair yang memilikinya. Negara kita menangguhkan program-program yang akan memanfaatkan rakyat biasa di negara kita – seperti gaji yang lebih baik – kerana kita takut bahawa ia akan membawa rantaian global untuk melabur ke negara Thailand atau Vietnam dan bukannya negara kita. Jadi, kerajaan kita meminta rakyat kita untuk menanggung kesusahan ekonomi – hutang isi rumah telah mencecah tahap yang kritikal dalam kalangan golongan B40 dan M40 – supaya tidak menggoncang bot dan menghalau keluar pelaburan asing (FDI).

Hasil kerajaan sebagai bahagian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah menyusut daripada kira-kira 30% pada tahun 1980-an kepada 15% KDNK pada masa ini. Kenapa? Ini kerana negara kita telah mengurangkan kadar cukai korporat daripada 40% daripada keuntungan kepada 24% pada masa ini. Negara kita sedang berada dalam perlumbaan ke bawah dengan negara-negara jiran kita dalam ASEAN kerana kerajaan kita percaya bahawa struktur cukai korporat yang lebih “mesra perniagaan” akan membawa masuk FDI. Kadar cukai di Vietnam dan Thailand adalah kira-kira 20% daripada keuntungan korporat. Singapura lebih rendah lagi.

Jika kerajaan kita mempunyai hasil yang lebih tinggi, ia boleh melaksanakan banyak dasar untuk memanfaatkan golongan B40 dan M40 seperti memperkasakan sistem kesihatan awam kita yang sedang melebihi kapasitinya, memulakan Skim Pencen Warga Emas, memperkenalkan pengangkutan awam yang bersubsidi di semua bandar kita dan menyediakan pendidikan tinggi yang percuma kepada generasi muda kita dan bukannya membebankan mereka dengan hutang yang melampau pada usia muda lagi. Namun, kita tidak dapat berbuat demikian, kerana kita perlu mengekalkan cukai korporat pada kadar yang rendah supaya kelihatan mesra pelabur.

Hakikat yang menyedihkan adalah Malaysia mengalami defisit belanjawan sepanjang 25 tahun yang lalu – maka negara kita terus mengeluarkan bon baharu untuk membayar balik bon lama, di samping bon baharu yang kita perlukan untuk menampung defisit semasa. Jumlah hutang sekarang mencecah lebih satu trilion ringgit – iaitu RM1,000 bilion – dan kerajaan akan mengeluarkan bon bernilai kira-kira RM190 bilion pada tahun ini. Separuh daripadanya akan digunakan untuk menampung bon yang dikeluarkan sebelum ini yang akan matang pada tahun ini. Tambahan pula, hutang satu trilion ringgit ini memerlukan pembayaran hutang sebanyak RM46 bilion setahun. Hutang yang besar ini benar-benar melemahkan sebarang hasrat dalam kerajaan untuk mengembangkan perlindungan sosial untuk rakyat.

Adakah anda menyedari bahawa gaji minimum purata di Amerika Syarikat (AS) ialah USD 12 sejam? Berdasarkan kerja 8 jam sehari dan 26 hari kerja sebulan, maka jumlahnya ialah RM11,481.60 sebulan (pada kadar pertukaran mata wang RM4.60 kepada satu dolar AS). Ini adalah 7.65 kali ganda lebih tinggi berbanding gaji minimum semasa di Malaysia. Perkara ini sangat penting kerana dalam sistem kapitalis global, pengeluaran adalah untuk mereka mempunyai wang – kuasa beli. Dalam sistem globalisasi ini, pengeluaran lebih menjurus kepada populasi di negara-negara “maju” berbanding jutaan rakyat pekerja di “Dunia Ketiga”. Itulah realiti “pasaran” – pengeluar akan mengeluarkan barangan untuk mereka yang mampu membelinya. Mereka yang berpendapatan rendah tidak begitu bernasib baik. Tiada apa-apa yang peribadi – ia merupakan hukum pasaran!

Jadi, 67 tahun selepas kemerdekaan, negara kita mempunyai sebuah ekonomi yang mengeluarkan bahan mentah dan komponen yang dikehendaki oleh rantaian global terbesar, tetapi hanya menerima sebahagian kecil daripada kos barangan dan perkhidmatan tersebut jika dikeluarkan di negara Barat. Secara per kapita, golongan pekerja kita menerima hanya 1/7 daripada apa yang diterima oleh golongan pekerja di negara-negara maju. Bagaimana berbezanya hal ini berbanding zaman apabila Syarikat Hindia Timur Inggeris memerintah negara kita? Ya, kapal perang itu tidak begitu menonjol sekarang. Namun, mereka tidak memerluan kapal perang pada zaman ini. Golongan elit pemerintah kita melakukan tugas untuk mereka, beria-ia untuk menandatangani perjanjian-perjanjian “perdagangan bebas” yang menjejaskan kedaulatan ekonomi kita dan mengikat tangan kerajaan dengan lebih lanjut lagi. Dan kebanyakan kekayaan yang dihasilkan oleh tenaga buruh rakyat di Dunia Ketiga terus dirampas oleh sistem ekonomi yang ekploitatif. Dan pada masa yang sama kita mengibarkan bendera dan menjerit “Merdeka!” dengan penuh keghairahan?

69 tahun dahulu, terdapat sebuah persidangan bersejarah yang dihadiri oleh pemimpin-pemimpin Dunia Ketiga – Nasser, Nehru, Nkrumah, Zhou Enlai, Tito, Sukarno dan sebagainya – di Bandung, Indonesia. Visi mereka adalah untuk mencapai kemerdekaan supaya negara-negara yang merupakan bekas tanah jajahan itu dapat menjadi tuan yang menguasai nasib mereka sendiri dan menggunakan kekayaan yang dihasilkan oleh negara mereka untuk memartabatkan rakyat mereka. Namun, visi yang besar itu tidak menjadi kenyataan. Rampasan kuasa yang dihasut oleh kuasa-kuasa Barat terhadap pemimpin-pemimpin Dunia Ketiga (Nkrumah di Ghana dan Sukarno di Indosia) merupakan salah satu sebab yang penting. Namun, yang lebih penting adalah hakikat bahawa Dunia Ketiga tidak mempunyai modal mahupun pengetahuan teknologi pada masa itu untuk membangunkan sebuah asas perindustrian pembuatan yang berautonomi. Tragedi sebenar adalah pada masa sekarang, walaupun kita mempunyai modal dan bilangan ahli sains dan orang berpengetahuan teknologi yang mencukupi untuk merealisasikan visi Bandung 1955, pemimpin-pemimpin negara kita pada masa ini telah kehilangan hala tuju sepenuhnya dan tanpa segan silu bermegah tentang kejayaan mereka dalam menarik masuk FDI ke dalam negara. Tunduk kepada kehendak syarikat-syarikat Forbes 500 dan pemilik bilionair mereka, merupakan strategi “kemenangan” mereka!

Inilah sebabnya mengapa rakyat Malaysia yang berpemikiran harus berhenti sejenak dan bertanya pada diri kita – adakah kita benar-benar merdeka? Adakah kita mampu menggunakan kekayaan negara ini untuk memanfaatkan rakyat? Jika jawapannya “tidak”, maka selepas melakukan sedikit aktiviti pengibaran bendera pada 31 Ogos, kita harus mula berbincang tentang strategi jangka masa panjang untuk menguasai semula ekonomi kita dan memastikan bahawa rakyat kita memperoleh bahagian yang lebih adil daripada kekayaan yang dihasilkan oleh mereka.

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

==========

Diterjemah daripada tulisan asal dalam Bahasa Inggeris di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *