Sekatan secara aman oleh masyarakat orang asal suku kaum Penan di sepanjang jalan ke tapak Empangan Murum di Sarawak pada tahun 2012. (foto: SCANE/anilnetto.com)

oleh Brian Khow

Pengkomoditian dan pengkomersialan bencana alam sekitar

Kemerosotan alam sekitar berskala besar merupakan salah satu isu yang mengancam masyarakat manusia hari ini. Perubahan iklim dan pelepasan karbon menjadi topik alam sekitar yang hangat dibincangkan sejak kebelakangan ini. Malangnya, penyelesaian arus perdana bagi pelepasan karbon bukanlah dengan menangani punca asalnya. Sebaliknya, para ahli politik, syarikat swasta dan pakar (golongan ini akan dirujuk sebagai golongan elit dalam tulisan di bawah) cenderung untuk menggantikan pelepasan karbon dengan angka, kemudian menjadikannya sebagai komoditi atau kuota, dan menjualkannya kepada syarikat-syarikat yang berminat untuk “mengurangkan” pelepasan karbon di pasaran atau platform perniagaan.

Secara ringkas, pendekatan komodifikasi ini bermaksud jika sebuah syarikat melepaskan 100 tan karbon (kebanyakannya dalam bentuk karbon dioksida), selagi syarikat itu bersedia untuk membeli kuota pelepasan karbon sebanyak 100 tan, mereka berhak mendakwa mereka adalah entiti yang sifar pelepasan karbon, dan harus bebas daripada tuduhan bahawa operasi mereka menyebabkan kenaikan suhu global.

Kuota pelepasan karbon sebanyak 100 tan ini mungkin datang dari hutan hujan tropika di negara kita, kerana tumbuh-tumbuhan di hutan menyerap karbon dioksida dan berupaya menyimpan karbon di dalam tanah. Ini juga bermakna syarikat itu “membeli” keupayaan penyimpanan karbon hutan ini dan dari situ mereka mendapat satu “hak untuk melepaskan karbon” (juga dikenali kredit karbon). Terdapat banyak kontroversi mengenai perdagangan karbon ini, salah satunya adalah ia memberi kesan buruk kepada penduduk yang telah lama tinggal di sekitar hutan ini, di mana komuniti tersebut akan kehilangan sumber kehidupan mereka.

Perdagangan karbon sebegini telah berlangsung bertahun-tahun. Jika syarikat mempunyai kredit karbon yang melebihi keperluannya, mereka boleh menjual kepada syarikat lain yang “memerlukannya”. Selain itu, kredit ini juga mempunyai variasi berbeza yang tidak melibatkan hutan. Syarikat boleh mendakwa bahawa mereka menggalakkan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui dengan membeli kredit daripada tenaga bersih tersebut, kerana berbanding dengan tenaga konvensional yang menggunakan bahan api fosil, ia dapat mengurangkan pelepasan karbon. Kemudian kredit sebegini dinamakan sebagai komoditi yang baharu untuk dipasarkan. Selain nama yang berbeza, perlu juga mengambil kira tentang kemungkinan bahawa setiap pelan atau skim mempunyai formula pengiraan yang berbeza dan ia diiktiraf mematuhi prinsip sains oleh golongan elit.

Walau bagaimanapun, penyelidikan menunjukkan bahawa skim seperti sijil tenaga boleh diperbaharui (renewable energy certificates) yang disebut atas biasanya tidak dapat meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui. Ini kerana pembangunan tenaga boleh diperbaharui memerlukan dana kerajaan, tetapi yang ironinya, kebanyakan pakar menggalakkan kerajaan untuk mengurangkan cukai ke atas syarikat supaya menarik pelaburan syarikat dan seterusnya meningkatkan daya saing negara. Jadi, salah satu masalah yang dihadapi oleh kerajaan adalah kekurangan dana yang diperlukan untuk pelaburan dalam peralihan tenaga.

Selain itu, skim yang “mematuhi prinsip sains” ini telah mewujudkan banyak penipuan. Sebagai contoh, bahan sampingan yang dikeluarkan oleh kilang-kilang di China dan India yang menghasilkan penyejuk untuk penghawa dingin dan peti sejuk dipanggil trifluorometana, yang merupakan gas rumah hijau yang jauh lebih parah berbanding karbon dioksida. Sebahagian kilang tidak menghasilkan penyejuk lagi, sebaliknya menjana kredit karbon yang bernilai lebih tinggi dengan memasang satu peralatan yang murah untuk memusnahkan bahan sampingan tersebut. Meskipun, proses yang “menghasilkan” kredit karbon ini secara sengaja itu tetap melepaskan karbon yang sebenarnya tidak diperlukan.

Analisis teks dalam balasan BCX

Negara kita juga tidak ketinggalan dalam membangunkan dan memasarkan komoditi dan platform perdagangan sebegini secara aktif sejak kebelakangan ini. Salah satu daripadanya ialah sijil tenaga boleh diperbaharui Empangan Murum yang baru-baru ini dikritik oleh pertubuhan alam sekitar Rimba Watch. Mereka mengkritik pembinaan empangan yang memusnahkan hutan, lebih daripada seribu orang asal kehilangan rumah, dan proses permohonan pembinaan yang tidak telus. Yang paling penting ialah kredit sebegini tidak dapat mengurangkan pelepasan karbon kerana hutan yang asalnya menyimpan karbon telah dimusnahkan untuk membina empangan ini.

Sebenarnya, menukar karbon yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar menjadi satu angka yang dapat dilihat, bersama dengan pengiraan menggunakan formula matematik yang berkaitan dengan sains, dan membuat dakwaan yang tidak tepat bahawa ini memberi manfaat kepada masyarakat atau alam sekitar, sambil mengabaikan kesan sebenar ke atas komuniti, terutamanya golongan terpinggir, adalah taktik yang selalu dipakai oleh golongan elit.

Selain itu, pertukaran “produk maya” yang disebut atas menjadi komoditi yang dapat dilihat dengan pelbagai nama yang berbeza untuk dijual demi mengaut keuntungan, supaya syarikat atau individu “bebas” membuat pilihan daripada katalog yang memapar pelbagai komoditi serupa. Inilah yang dipanggil pasaran bebas yang selalu diagung-agungkan oleh golongan elit dan ia merupakan ideologi falsafah kebebasan kapitalisme serta merupakan salah satu penampilan tertinggi perkembangan sistem ekonomi kapitalis terkini.   

Proses ini disokong oleh sistem pendidikan formal dan media arus perdana, dengan ini kefahaman sebegini dapat menyusup ke dalam kesedaran orang ramai secara tidak langsung, dan yang lebih teruk lagi, proses integrasi ini menghapuskan kebijaksanaan, pendapat dan suara golongan bawahan yang tertindas.

Dalam balasan Bursa Carbon Exchange (BCX) terhadap kritikan Rimba Watch, tidak menyebut langsung tentang komuniti orang asal yang terjejas, tetapi menggunakan banyak istilah yang mungkin sukar difahami oleh orang ramai (pelbagai jenis komoditi, platform perdagangan dan piawaiannya), disertai dengan beberapa kata kunci dalam isu alam sekitar yang telah dipopularkan oleh sekolah dan media (contohnya kelestarian) dan memetik sebahagian kandungan dokumen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk meraih sokongan, semua pendekatan yang digunakan dalam balasan itu hanya untuk memapar satu imej bahawa BCX melihat isu alam sekitar dengan kanta yang lebih tinggi dan luas, pada masa yang sama mengaburi orang ramai dengan menutup pendapat dan suara pihak pengkritik dan golongan komuniti orang asal yang tertindas.

BCX dalam balasannya banyak menggunakan istilah pihak berkepentingan (stakeholders) dan pakar (experts). Hanya di akhir baru disebut komuniti tempatan (local communities), tetapi istilah ini hanya mengelirukan orang ramai kerana ia boleh mewakili entiti yang berbeza. Kontraktor kecil tempatan yang terlibat dalam pembinaan empangan ini juga boleh dikategorikan sebagai komuniti tempatan, sedangkan hasrat mereka sudah tentu bertentangan dengan suara komuniti orang asal.

Selain itu, kebanyakan pakar yang dilatih di bawah pendidikan formal akan menaruh harapan yang tinggi pada pembangunan ekonomi yang menjana keuntungan semata-matanya, atau semata-mata mengabaikan isu-isu hak asasi manusia yang tersembunyi di sebalik angka dan statistik.

Balasan BCX juga mendedahkan bagaimana kesedaran elit di Malaysia dibentuk. Golongan elit Malaysia cenderung untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah antarabangsa yang mengekalkan kepentingan kelas mereka, manakala bagi mereka yang belajar di sekolah tempatan, kurikulumnya juga semakin dipengaruhi oleh sistem kapitalisme yang mementingkan keuntungan, ditambah lagi dengan latar belakang pendidikan keluarga mereka, yang hanya menghasilkan semula ideologi kelas mereka supaya memaksimumkan pemeliharaan kepentingan golongan elit.

Kesedaran ini menyebabkan golongan elit mempercayai statistik dan sains secara membuta tuli, yang dapat dilihat dari perenggan dalam balasan BCX (yang lucunya mereka masih memperenggankan bahagian teks ini dengan huruf tebal!), “sains dalam aset alam sekitar masih belum sempurna, tetapi memandangkan keadaan mendesak krisis iklim yang dihadapi dunia hari ini, Bursa Malaysia memainkan peranan kami dengan pihak berkepentingan utama untuk mengambil tindakan iklim hari ini,” tanpa menyebut langsung tentang hak-hak komuniti orang asal yang terjejas.

Pengagihan semula nilai

Sekiranya kita meneliti hubungan antara pemodal besar dengan golongan elit negara kita, kita akan melihat bahawa perdagangan karbon ini sebenarnya adalah satu bentuk pengagihan semula nilai surplus dalam kalangan golongan elit. Pihak pengeluar menghasilkan produk yang bernilai dengan penindasan terhadap golongan pekerja, keuntungan diperolehi selepas penjualan. Keuntungan merupakan salah satu bentuk nilai surplus. 

Syarikat atau pemodal besar lebih mampu melaburkan wang dalam perdagangan karbon, dan mereka cuma melihat ini sebagai satu bentuk pampasan, walaupun hakikatnya, kemungkinan tiada satu sen pun yang masuk ke dalam poket golongan rakyat biasa, kerana pampasan tersebut telah dibahagi-bahagikan oleh golongan elit tempatan.

Perlu dijelaskan lebih lanjut bahawa pengagihan semula nilai surplus dalam kalangan golongan elit boleh berlaku tanpa melibatkan transaksi kewangan secara langsung: syarikat besar menaja kajian yang dijalankan oleh pakar, yang meningkatkan reputasi mereka dalam bidang berkaitan, dan reputasi itu sendiri adalah satu bentuk nilai. Ini menerangkan mengapa kebanyakan pakar menyokong perdagangan karbon seperti ini. 

Syarikat besar yang ingin “menghijaukan” imej mereka percaya bahawa mereka telah melakukan sesuatu yang baik, manakala yang lain atau kebanyakan perusahaan kecil dan sederhana akan merungut tentang peningkatan kos, menafikan krisis, atau enggan terlibat dalam permainan ini, dan perbuatan ini dianggap sebagai sesuatu yang wajar oleh masyarakat sendiri. Oleh itu, walaupun perdagangan karbon tidak mencapai matlamatnya, kebanyakan individu daripada kalangan golongan elit tempatan masih akan membenarkan pedagangan tersebut kerana mereka adalah penerima manfaat daripada pengagihan semula nilai tersebut.

Kita tentu akan menanggung kos yang tidak diingini tidak lama lagi kalau kita masih terjerumus dalam pembangunan yang mengikut kepentingan pemodal besar dan mengabaikan suara rakyat bawahan. Namun malangnya, sebahagian besar kos terpaksa ditanggung oleh golongan rakyat biasa berbanding golongan elit, terutama golongan yang paling terpinggir.

Selagi kita masih tidak dapat melepaskan diri daripada model pembangunan ekonomi yang berdasarkan angka, statistik, dan sains yang direka untuk berkhidmat pada kepentingan golongan elit, kita tidak akan dapat menyelesaikan bencana besar yang dihadapi oleh manusia pada masa ini.

==========

Brian Khow ialah ahli Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *