oleh Gandipan Nantha Gopalan 

Parti Sosialis Malaysia Cawangan Petaling Jaya (PSM PJ) mengecam dan membantah sekeras-kerasnya tindakan Kerajaan Negeri Selangor yang telah mengambil keputusan untuk menghidupkan semula pembinaan lebuh raya PJD Link setelah pengumuman pembatalan oleh Kerajaan Persekutuan pada 17 April 2024.

Mengimbas kembali apa yang telah berlaku setakat ini, dari 30 Julai 2023 di mana Menteri Besar Selangor telah mengumumkan pembatalan pembinaan lebuh raya PJD Link sehingga hari ini di mana EXCO Negeri Selangor mengesahkan terdapat cadangan baharu untuk lebuh raya PJD Link dan nampaknya setuju dengan penambahbaikan, PSM PJ mendapati bahawa Kerajaan Negeri Selangor adalah sebuah kerajaan yang tidak mampu mengambil sebuah pendirian yang tegas.

Apakah lobi lebuh raya ini sangat kuat untuk Kerajaan Negeri menolaknya dan mengambil pendirian yang berprinsip untuk menolak pembinaan lebuh raya ini? Penduduk Petaling Jaya harus mengambil iktibar bahawa sesebuah kerajaan yang neoliberal, seperti mana yang kita ada hari ini, sentiasa akan mengambil keputusan berpihak kepada keuntungan segelintir pihak berbanding dengan kehendak rakyat.

Kerajaan Negeri Selangor harus memberi penjelasan tentang kenapa ia sangat sukar untuk kerajaan negeri membatalkan terus projek lebuh raya ini yang tidak dipersetujui dan dibantah oleh penduduk-penduduk di sekitar kawasan cadangan pembinaan lebuh raya tersebut. Menteri Besar Selangor sendiri telah memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Selangor telah menerima Laporan Penilaian Impak Sosial yang menyatakan kebanyakan penduduk tidak setuju dengan pembinaan lebuh raya baharu ini. Mengapa kerajaan masih perlu memberi ruang untuk penilaian semula?

PSM PJ menyeru:

  1. Pembatalan projek lebuh raya PJD Link dan semua projek lebuh raya yang hanya menguntungkan kapitalis dan tidak mengutamakan kelestarian negeri Selangor.
  2. Semua ADUN kawasan yang terbabit harus mengumumkan pendirian mereka mengenai pembinaan lebuh raya ini. Penduduk-penduduk di kawasan terbabit dan kumpulan-kumpulan penduduk yang sekian lama telah berusaha dalam menentang pembinaan lebuh raya ini harus memberi tekanan kepada ADUN-ADUN kawasan mereka.
  3. Kerajaan Negeri Selangor harus mengeluarkan dan tidak patut mengklasifikasikan perjanjian konsesi pembangunan penting yang menjejaskan kesejahteraan rakyat di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA). Rakyat berhak mengetahui dan mengakses kandungan dokumen kerana ini adalah hak demokratik kita.
  4. Kerajaan Negeri harus menyediakan satu pelan pengangkutan awam yang baharu sebagai usaha mengurangkan kesesakan jalan raya dan meringankan beban ekonomi rakyat. Pelan ini harus memfokus pada kawasan seluruh Lembah Klang, terutamanya Bandar Utama, Petaling Jaya, Subang Jaya dan Puchong. Bilangan bas awam harus dipertingkatkan dan jangka masa tunggu untuk bas harus dikurangkan. Kerajaan Persekutuan harus menyokong inisiatif ini dari segi kewangan jikalau Kerajaan Negeri Selangor tidak mempunyai kapasiti dari segi kos untuk merealisasikan pelan tersebut.

PSM sentiasa bersolidariti dalam setiap usaha kumpulan dan kolektif penduduk dalam menentang pembinaan PJD Link. Ia bukanlah perkara yang mudah untuk menentang kapitalis-kapitalis dan kerajaan yang sentiasa berpihak kepada kapitalis. Pembinaan lebuh raya ini adalah satu percanggahan yang besar dalam usaha sesebuah negara untuk membentuk sebuah ekonomi dan negara yang memberi kepentingan kepada alam sekitar.

==========

Gandipan Nantha Gopalan ialah Pengerusi Parti Sosialis Malaysia Cawangan Petaling Jaya (PSM PJ).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *