KUALA LUMPUR: 3 orang aktivis daripada GegarAmerika, sebuah gerakan anak muda anti-imperialis dan anti-Zionis yang memperjuangkan kemerdekaan Dunia Selatan daripada imperialisme Barat yang kini memfokus pada bersolidariti dengan Palestin, telah dipanggil untuk disoal siasat oleh pihak polis hanya kerana mereka berprotes terhadap kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang menyokong Israel dalam jenayah genosid di Gaza.

3 orang aktivis GegarAmerika tersebut telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 25 Jun 2024 untuk diambil keterangan. Mereka disiasat di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman kerana berprotes dalam jamuan makan malam sambutan Hari Kemerdekaan AS yang diadakan oleh Kedutaan AS di Malaysia pada 10 Jun 2024 di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. Pihak polis telah memberi tekanan kepada aktivis-aktivis tersebut, termasuk menelefon terus kepada ahli-ahli keluarga mereka, untuk mendesak mereka supaya hadir memberi keterangan di balai polis.

Ini merupakan kali kedua aktivis-aktivis GegarAmerika disiasat polis dalam tempoh sebulan kerana penglibatan mereka dalam protes bersolidariti dengan rakyat Palestin yang sedang menghadapi keganasan genosid oleh rejim Zionis Israel. Pada bulan Mei 2024, 5 orang aktivis GegarAmerika disiasat polis kerana berprotes di luar tempat pameran Defence Service Asia Exhibition (DSA) dan National Security Exhibition (NATSEC) Asia 2024.

Amnesty International menyatakan solidaritinya dengan aktivis-aktivis GegarAmerika yang disiasat oleh polis kerana berprotes dalam acara anjuran Kedutaan AS. “Kita mempunyai hak untuk berprotes tanpa rasa takut akan tindak balas atau intimidasi,” begitu katanya Amnesty International dalam satu hantaran media sosial.  

GegarAmerika menyatakan kekecewaannya terhadap kerajaan Malaysia yang melindungi kepentingan syarikat persenjataan, kapitalis kewangan dan kedutaan yang bersubahat dalam genosid di Gaza, khususnya AS.

“Pada ketika kebebasan kita terus merosot di bawah sebuah kerajaan yang semakin autoritarian, kerajaan mengintimidasi mereka yang berprotes terhadap rejim Zionis yang membunuh dan sekutu-sekutu imperialisnya,” begitu katanya GegarAmerika dalam satu hantaran di laman x (dikenali sebagai twitter sebelum ini). GegarAmerika mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang bersolidariti dengannya. “Tanpa sokongan daripada massa yang meluas, gerakan ini tidak akan berada di sini sekarang. Kami memerlukan lebih banyak rakyat biasa seperti anda untuk terus mengembangkan gerakan kami. Solidariti dalam kalangan kelas pekerja kekal penting dalam menentang imperialisme global.”

“Usaha oleh kerajaan untuk menindas kuasa kelas pekerja adalah sia-sia,” tegas kata GegarAmerika. “Daripada menyasarkan aktivis-aktivis, kerajaan harus cakap biar serupa bikin: menarik diri daripada Latihan Ketenteraan Lingkaran Pasifik (RIMPAC) yang turut disertai oleh Israel, berhenti mengintimidasi perjuangan rakyat Malaysia dan menolak kuasa imperialis AS!”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *