oleh Gandipan Nantha Gopalan

Cadangan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk membenarkan graduan asing dari institut pendidikan tinggi negara bekerja dalam sektor teknologi tinggi di Malaysia bercanggah dengan tujuan pelaburan langsung asing (FDI) yang sepatutnya mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Negara kita sedang mengalami isu guna tenaga tidak penuh (underemployment) yang sangat serius, dan isu ini tidak diberi perhatian oleh pihak kerajaan. Data yang terkini oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 20 November 2023 menyatakan bahawa kadar guna tenaga tidak penuh bagi golongan berkemahiran meningkat kepada 7.9%, bersamaan 1.55 juta orang graduan. Ini bermakna bahawa 1.55 juta orang graduan di negara kita berdepan dengan masalah ketidaksepadanan kemahiran, pendidikan dan pengetahuan yang tidak dapat digunakan sepenuhnya dalam pekerjaan semasa mereka.

Kita tidak menafikan peranan dan peluang pekerjaan yang diberikan oleh FDI untuk negara kita. Namun, apakah gunanya sesebuah pelaburan asing apabila ia tidak dapat memanfaatkan tenaga kerja kita yang masih menunggu peluang dan berada dalam keadaan guna tenaga tidak penuh?

Jika betul bahawa graduan tempatan kita tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan pelaburan asing, kerajaan juga harus menyeru dan menambahkan syarat bahawa pelaburan-pelaburan tersebut juga harus melabur dalam program latihan pekerja dan TVET. Kerajaan harus memastikan ekosistem pelaburan asing di negara kita menggalakkan pemindahan teknologi itu berlaku untuk menambah baik kapasiti tenaga kerja di negara kita. 

Pada masa yang sama, kerajaan kita juga harus memastikan bahawa gaji yang setimpal diberikan kepada graduan warga asing yang belajar di institut pendidikan tempatan untuk bekerja dalam industri berkenaan. Pelaburan-pelaburan ini harus dipantau supaya mereka tidak menggunakan peluang ini untuk menekankan lagi paras gaji yang sudah lama berada di tahap yang tidak memuaskan.

Malaysia secara berterusan telah menunjukkan kekuatannya sebagai pemimpin dalam industri pembuatan dan elektrik serta elektronik (E&E) di Asia Tenggara kerana ia telah lama menjadi tulang belakang ekonomi negara kita. Namun, adalah jelas bahawa wujudnya kekurangan impak positif ke atas pemindahan teknologi dan pembinaan kapasiti di negara kita sehingga kita bergantung pada graduan negara asing di negara kita untuk pelaburan asing yang berkaitan dengan sektor E&E.

PSM menyeru kerajaan supaya berhenti memberi “free pass” kepada pelaburan asing yang hanya menggunakan tenaga kerja kita tetapi tidak menyumbang kepada limpahan positif kapasiti tenaga kerja kita. Selain mengambil bahagian secara langsung dalam ekonomi kita untuk mewujudkan peluang pekerjaan bagi graduan baharu dan graduan yang bekerja dalam pekerjaan yang tidak setimpal dengan kemahiran mereka, kerajaan juga perlu ada pelan yang komprehensif untuk menangani FDI supaya kita tidak terlalu bergantung kepada mereka untuk peluang pekerjaan di negara kita pada masa depan.

==========

Gandipan Nantha Gopalan ialah Penyelaras PSM Cawangan Petaling Jaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *