oleh S. Arutchelvan

Abdullah CD, atau nama sebenarnya Che Dat Anjang, meninggal dunia pada usia 100 tahun. Beliau yang lahir pada 2 Oktober 1923 di negeri Perak merayakan hari jadinya ke-100 pada bulan Oktober tahun lalu, dan meninggal dunia pada 13 Januari 2024 di rumahnya di Kampung Perdamaian, daerah Sukhirin, Wilayah Narathiwat, Selatan Thailand.

Pemergian Abdullah CD menerima takziah dan pujian memperingati jasanya daripada pelbagai pihak, termasuk Menteri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Muhammad Sabu, yang menyifatkan pengorbanan Abdullah CD dan usahanya untuk memerdekakan Tanah Melayu begitu cemerlang sekali. Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, pula menyifatkan  Abdullah CD sebagai seorang patriot, manakala bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Syed Shahir Syed Mohamud menyifatkannya sebagai tokoh penting dan berharap kerajaan mengiktiraf pengorbanannya.

Pemergian Abdullah CD dan pujian terhadapnya mencabar naratif arus perdana mengenai Parti Komunis Malaya (PKM) memandangkan lensa politik kita diselaputi naratif perkauman. Ramai juga dalam kalangan masyarakat bukan Melayu yang berpendapat bahawa Chin Peng, seorang lagi pemimpin PKM, tidak mendapat pujian sedemikian. Malah, pembawaan balik abu Chin Peng juga telah mencetuskan kontroversi pada tahun 2019.

Inilah caranya sentimen arus perdana perkauman yang cuba memaparkan bahawa PKM itu Cina dan Cina itu Komunis. Tulisan ini berniat memberi beberapa perspektif mengenai PKM untuk mencabar pemikiran dominan dalam kalangan rakyat yang dikongkong oleh propaganda penjajah, mentaliti Perang Dingin dan fahaman perkauman.

PKM dan orang Melayu

Ada dalam kalangan kawan-kawan sekolah saya yang terkejut apabila mengetahui bahawa Pengerusi PKM adalah seorang Melayu. Untuk selama ini, mereka sering disajikan dengan satu nama sahaja, iaitu Chin Peng.

Ramai juga tidak faham bahawa terdapat juga ramai pejuang Melayu yang menyertai PKM. Nama-nama yang mungkin pernah disebut adalah seperti Shamsiah Fakeh, Rashid Maidin, Abu Samah, Kamarulzaman The, Musa Ahmad, Wahi Anwar dan Mat Indera.  

Malah, bumi Temerloh yang merupakan tempat lahirnya Tok Bahaman dikatakan lubuk buaian revolusi di Malaya yang melahirkan banyak pejuang kiri Melayu yang tidak mahu menjadi kaki ampu kepada penjajah.

Rejimen ke-10 yang ditubuhkan pada bulan Mei 1947 merupakan sebahagian daripada Tentera Pembebasan Rakyat Malaya (MNLA) yang kebanyakan ahlinya berbangsa Melayu. Menariknya adalah nama Rejimen ke-10 diambil sempena tarikh 10 Zulhijah iaitu, Hari Raya Korban.

Jika kita membuka tingkap dengan lebih luas, maka organisasi seperti KMM, API, AWAS, PETA, BATAS, PKMM dan Hizbul Muslimin, yang semuanya merupakan organisasi berhaluan nasionalis kiri Melayu secara realitinya meliputi majoriti lanskap perjuangan kemerdekaan sebelum negara kita mencapai kemerdekaan, namun ruang yang diberikan kepada mereka dalam sejarah rasmi amatlah kurang dan tidak signifikan.

Antara organisasi yang besar dan teratur adalah PKM. Namun, media arus perdana biasanya memaparkan PKM hanya dianggotai oleh orang Cina. Memang ramai orang Cina menyertai PKM melalui MPAJA (Tentera Anti-Jepun Penduduk Tanah Melayu) kerana pendudukan tentera Jepun dan penindasan terhadap warga Cina oleh tentera Jepun yang fasis dan zalim.

Semasa saya melawat bekas anggota PKM di Sukhirin, saya terkejut bahawa ada begitu ramai orang Melayu. Selain itu, orang-orang bukan Melayu di sana boleh bertutur dalam Bahasa Melayu dengan begitu fasih dan lancar. Bahasa Melayu yang digunakan oleh mereka juga tidak dicampur aduk dengan Bahasa Inggeris dan risalah-risalah mereka dalam Bahasa Melayu juga ditulis dengan penggunaan Bahasa Melayu yang berkualiti.

PKM dan Islam

Apabila kami menemui Abdullah CD di Sukhirin pad tahun 1998, saya jangkakan akan berdepan dengan seorang komandan dengan pakaian seragam tentera, tetapi orang yang kami jumpa adalah seorang yang berpakaian jubah putih. Menurut isterinya, Suraini, Abdullah CD menjadi kadi dan mengetuai urusan di masjid. Ada juga sebuah masjid besar di kawasan Kampung Perdamaian dan ada tanah perkuburan islam.

Untuk catatan juga, pemimpin PKM seperti Abdullah CD, Rashid Maidin dan Suriani Abdullah pernah dijadikan tetamu oleh Sultan Perak, di samping menunaikan ibadah haji di Mekah atas kelolaan Kerajaan Malaysia. Ini juga membongkar fitnah bahawa PKM itu anti-Islam.

Oleh itu, leburlah persepsi kedua bahawa semua orang PKM itu tidak beragama. Tohmahan selama ini adalah orang Komunis dan PKM tidak beragama dan anti-agama itu, jauh daripada kebenaran. Semasa kami di sana, memang ada azan dan ada sembahyang di masjid. PKM dari segi dasarnya mempunyai dasar kebebasan agama di mana setiap ahlinya ada kebebasan untuk menganuti mana-mana satu agama, mana-mana mazhab dalam agama itu, dan juga ada kebebasan untuk tidak beragama. Namun, tidak ada sesiapa yang boleh memaksa mana-mana orang lain untuk mengikuti apa-apa aliran agama atau tidak beragama.

Dalam satu ceramah pada 1 Januari 1988 mengenai masalah bangsa dan Masalah Nasional di Malaya, Abdullah CD berkata, “Kita menganjurkan polisi bahawa semua bangsa sama darjat, harus melawan polisi yang mendiskriminasi dan memecah-belahkan bangsa-bangsa.

Mengapa PKM teruskan perang selepas kemerdekaan?

Namun, isu yang paling kontroversi dan tidak boleh diterima oleh ramai orang adalah persoalan mengapa PKM meneruskan perang saudara selepas Malaya mendapat kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Untuk menjawab soalan ini, kita harus melihat perjuangan PKM dalam tiga zaman. Zaman pertama ialah zaman melawan penjajah Jepun, diikuti dengan zaman melawan British sejak Darurat 1948 dan akhirnya zaman selepas kemerdekaan sehingga perjanjian perdamaian pada tahun 1989. Mungkin alasan melawan penjajahan Jepun dan kemudiannya British boleh dirasionalkan, tetapi ramai berasa susah untuk memahami perjuangannya pada zaman selepas kemerdekaan. Maka kita perlu memahami rundingan Baling dan perjanjian Hatyai.

Rundingan Baling dan Perjanjian Hatyai

Adalah dikatakan inti pati dan isi Rundingan Baling 1955 dan rundingan untuk Perjanjian Hatyai 1989 adalah sama, tetapi mengapakah Rundingan Baling 1955 gagal manakala Rundingan Hatyai 1989 berjaya?

Mengikut Said Zahari, bekas tahanan politik dan juga bekas ketua editor akhbar Utusan Melayu, memang Rundingan Baling digagalkan oleh Tunku Abdul Rahman akibat daripada campur tangan British pada masa itu.

Rundingan Damai Baling diadakan selama dua hari pada 28 dan 29 Disember 1955 di Baling English School di Baling, Kedah. Wakil Parti Perikatan terdiri daripada Tunku Abdul RahmanTun Tan Cheng Lock dan David Marshall, manakala wakil PKM terdiri daripada Chin PengChen Tien dan Rashid Maidin. Dalam rundingan tersebut, Chin Peng berjanji untuk meletakkan senjata jika PKM diiktiraf dan kebebasan mereka tidak disekat. Namun, rundingan ini gagal akhirnya apabila Tunku menegaskan bahawa PKM perlu menyerah kalah dan menyerah diri kepada pihak keselamatan Malaya. Walau bagaimanapun, di bawah pentadbiran Mahathir pada tahun 1989, Kerajaan Malaysia bersetuju dengan terma-terma PKM dan ahli-ahli PKM tidak perlu menyerah diri, dan akhirnya perjuangan bersenjata PKM tamat dengan termeterainya Perjanjian Damai Hatyai. Wakil PKM dalam penandatanganan Perjanjian Hatyai ialah Abdullah CD selaku Pengerusi PKM, Chin Peng selaku Setiausaha Agung PKM dan Rashid Maidin selaku Komander Regimen ke-10. 

Mengikut Said Zahari, di mana ini disampaikan kepada saya semasa satu pertemuan di rumahnya, memang adalah hasrat penjajah British untuk tidak mahu mengiktiraf PKM dan tidak mahu membenarkan PKM berfungsi sebagai parti politik yang sah. Sebenarnya British langsung tidak mahu Rundingan Baling itu diadakan tetapi Tunku semasa kempen Pilihan Raya Umum 1955 telah mengatakan bahawa jika dia menang, perkara pertama yang akan dilakukannya adalah berunding dengan PKM untuk menamatkan perang. Manifesto dan janji Tunku mendapat sokongan dan beliau menang besar dalam Pilihan Raya Umum tersebut.

British amat takut bahawa Tunku dan PKM akan mencapai persetujuan dan jika ini berlaku, kemungkinan besar kepentingan ketenteraan dan ekonomi British tidak lagi boleh dilindungi.

British juga cukup sedar bahawa tuntutan PKM untuk kemerdekaan adalah jauh lebih tegas daripada UMNO. PKM mahukan kemerdekaan 100% dan tidak mahu pangkalan tentera penjajah kekal di bumi Malaya yang merdeka. Sebagai faktanya, Ketua Polis Negara Malaya yang merdeka masih seorang penjajah British, Tan Sri Claude Harry yang memegang jawatan Ketua Polis Negara sehingga bulan Ogos 1965, iaitu 8 tahun selepas Merdeka. Begitu juga jawatan Panglima Tentera Darat (PTD) Malaya masih dipegang oleh penjajah British selepas Merdeka, iaitu Mej Jen Dato’ FH Brooke sehingga 25 Oktober 1959 dan disambung oleh PTD kedua, Lt Jen Tan Sri Dato’ Sir Rodney Moore, sehingga 4 September 1962.

Ekonomi Malaysia juga masih dikuasai oleh syarikat-syarikat British dan penjajah British yang agak selesa dengan UMNO dan tidak mahu kepentingan ekonomi mereka terjejas. Andai kata PKM dibenarkan untuk beroperasi sebagai sebuah parti yang sah, sudah tentunya agenda imperialis British akan dipersoalkan dan dibantah oleh PKM.

Ramai yang bertanya, mengapa PKM tidak menyerah diri selepas kemerdekaan pada tahun 1957. Namun, bagaimana untuk PKM menyerah diri kerana PKM juga merupakan sebuah kuasa yang anti-penjajah yang berjuang untuk kemerdekaan Tanah Melayu? Mereka tidak mahu menjadi banduan setelah berjuang sekian lama. Pada masa kemerdekaan juga, Tunku Abdul Rahman mengiktiraf sumbangan mereka.

Malah, bekas Pengerusi Citizens International, Allahyarham SM Mohamed Idris, pernah berhujah bahawa menjadi fakta sejarah yang sahih bahawa perjuangan yang dibawa oleh gerakan pembebasan pimpinan Chin Peng, Rashid Maidin, Abdullah CD, Shamsiah Fakeh dan lain-lain telah menyumbang ke arah kemerdekaan Malaya, dan sumbangan gerakan ini diiktiraf sendiri oleh bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Dr Ismail Abdul Rahman dan juga tidak lupa seorang lagi mantan Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Ghafar Baba. Saya sebenarnya pernah melihat gambar foto Ghafar Baba di Muzium Rejimen ke-10 di Sukhirin Thailand bersama gambar pejuang-pejuang yang lain.

Pada tahun 2009, dua puluh tahun selepas Perjanjian Hatyai, Tan Sri Rahim Noor, bekas Ketua Polis Negara dan ketua rombongan perundingan Perjanjian Hatyai, menyatakan bahawa sumbangan PKM dalam perjuangan kemerdekaan tidak patut dinafikan atau dipertikaikan oleh kerajaan. Beliau juga beberapa kali mengatakan bahawa PKM telah akur kepada semua syarat perjanjian, dan yang tidak menunaikan perjanjian itu adalah Kerajaan Malaysia.

Adakah Anwar Ibrahim akan menghargai sumbangan orang kiri?

Pada tahun 2003, Parti Keadilan Nasional (PKN) bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan mula dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat (PKR). Bendera Parti Keadilan kemudian diubah suai dengan memasukkan dua jalur merah di dua belah simbol mata lebam DSAI. Pada ketika itu, Anwar Ibrahim dan Syed Husin Ali mengatakan bahawa Parti Keadilan adalah kesinambungan perjuangan parti-parti dan pejuang-pejuang kiri sebelumnya.

Nama-nama seperti Burhanuddin Helmy, Shamsiah Fakeh, Abdullah CD, Rashid Maidin, Ahmand Boestamam dan lain-lain sering menjadi simbol pejuang kiri. Namun, setiap kali sambutan Hari Kemerdekaan, hanya nama-nama yang serasi dengan politik UMNO sahaja dipaparkan. Dengan Anwar diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia, maka adakah sumbangan daripada perjuangan golongan kiri yang lama dipinggirkan akan diangkat naik? Adakah sumbangan pejuang-pejuang kiri akan diberi penghormatan dan pengiktirafan setelah sekian lama sejarah negara ditulis oleh pihak yang menang dan faktanya berat sebelah? Adakah tempat pejuang-pejuang kiri akan diiktiraf atau ia hanya menjadi seperti dua jalur merah di atas bendera parti keadilan… diketepikan?

=========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *