IPOH, PERAK – 26 OKTOBER 2023: Petani-petani di kawasan Kanthan, Chemor, Perak, berjaya mendapat perintah penggantungan interim pada hari ini daripada Mahkamah Tinggi Ipoh untuk memberhentikan sementara tindakan pengusiran paksa terhadap mereka sehingga 12 Januari 2024.
Perintah penggantungan interim terhadap notis pengosongan tanah di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tanah negeri Perak ke atas petani-petani Kanthan ini adalah untuk membolehkan permohonan kebenaran semakan kehakiman daripada pihak petani dapat didengar. Perintah penggantungan interim ini diperoleh selepas pihak berkuasa memusnahkan kebanyakan tanaman yang diusahakan petani-petani di situ selama dua hari pada 24-25 Oktober 2023.
Pada 24 Oktober 2023, 6 orang petani di Kanthan yang menghadapi ancaman pengusiran paksa telah memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman terhadap notis pengosongan tanah yang dikeluarkan terhadap mereka dengan menamakan Kerajaan Negeri Perak, Pentadbir Tanah daripada Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, Ipoh, Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak Dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) sebagai responden. Pendengaran untuk menentukan kebenaran bagi permohonan semakan hakim ini ditetapkan pada 12 Januari 2024. Pihak petani yang memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman ini diwakili oleh peguam Rabinder Singh dan K. Kunasekaran.
Dua hari sebelum ini, pada 24 Oktober 2023, pihak berkuasa tanah negeri Perak telah melakukan operasi pengusiran paksa terhadap petani-petani di Kanthan. Seorang aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) Chong Yee Shan, telah dikasari pegawai penguatkuasa dan mengalami kecederaan. Selain itu, 3 orang aktivis PSM termasuk Dr. Jeyakumar Devaraj yang merupakan Pengerusi Nasional PSM dan seorang petani telah ditangkap polis hanya kerana hendak mempertahankan tanah pertanian yang mengeluarkan makanan bagi masyarakat daripada dimusnahkan sewenang-wenangnya. Mereka yang ditangkap itu disiasat polis di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menggalang penjawat awam dalam menjalankan fungsi jawatannya). Keempat-empat orang yang ditangkap itu dibebaskan dengan ikat jamin polis pada malam hari itu. Chong Yee Shan juga ditangkap dan disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan pada hari keesokannya apabila dia membuat aduan polis mengenai tindakan penguatkuasa tanah yang mengasari dan mencederakannya.
Petani-petani Kanthan yang menghadapi pengusiran paksa ini telah mengusahakan aktiviti pertanian di atas tanah tersebut selama beberapa dekad dan membekalkan sumber makanan untuk kegunaan masyarakat tempatan. PSM berpendirian tegas bahawa petani-petani kecil yang telah lama bertani untuk mengeluarkan makanan kepada masyarakat kita ini harus dikekalkan dan dilindungi hak mereka untuk bertani, bukannya diusir sewenang-wenangnya tanpa menawarkan tanah gantian yang sesuai untuk mereka meneruskan aktiviti pertanian. Lebih-lebih lagi, mengusir petani-petani yang produktif ini pada ketika negara kita sedang berhadapan dengan krisis makanan merupakan sesuatu yang menjejaskan lagi keterjaminan makanan bagi masyarakat kita.