KAJANG, SELANGOR – 8 OGOS 2023: Penduduk-penduduk dan peniaga-peniaga kecil di kawasan penempatan sepanjang Jalan Reko, Kajang, yang menghadapi ancaman pengusiran menggesa pada pihak berkuasa supaya mengiktiraf hak perumahan dan melindungi punca rezeki mereka. Seruan ini dibuat dalam satu sidang akhbar khas yang diadakan pada hari ini bersama S. Arutchelvan, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk kerusi DUN N25 Kajang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 di Selangor.

“Isu yang dihadapi oleh golongan peneroka bukanlah sesuatu yang baharu di Malaysia dan sudahpun wujud pada masa negara kita memulakan proses urbanisasi sejak tahun 1980-an lagi. Namun, sehingga hari ini, tiada satu jaminan kepada hak untuk hidup bagi kaum peneroka ini. Disebabkan itu juga masalah-masalah peneroka masih wujud sehingga hari ini. Peneroka tidak seharusnya dipinggirkan dan dimangsakan oleh pembangunan yang rancak. Sebaliknya hak peneroka harus dihormati dan kerajaan harus menjamin hak untuk hidup kaum peneroka,” kata Parames Elumalai, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM yang turut hadir dalam sidang akhbar bersama peneroka-peneroka penempatan Jalan Reko.

“Penempatan di Jalan Reko menghadapi pengusiran pada sejak tahun 2012.  Penempatan ini telah wujud lebih daripada 55 tahun. Penempatan Jalan Reko terletak di atas tanah rizab Jabatan Kerja Raya (JKR), tanah rizab Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan sebahagian tanah milik syarikat persendirian,” kata Arutchelvan. “Penempatan ini bakal diancam pengusiran tanpa sebarang tawaran ganti rumah dan kedai. Ada dalam kalangan penduduk masih membayar cukai taksiran kepada Majilis Perbandaran Kajang (MPKJ).”

Pada tahun 2013, sebanyak 35 buah keluarga dan peniaga menerima notis pengusiran daripada KTMB,  namun berjaya dihentikan apabila PSM terlibat dalam isu ini dan berjaya menghentikan pengusiran. Kemudian atas inisiatif sendiri, mereka membawa kes ke Mahkamah Tinggi Shah Alam tetapi malangnya satu “penghakiman persetujuan” (Perintah dikeluarkan pada 16 Oktober 2018) telah dibuat oleh bekas jawatankuasa penduduk bersama Everland Asia Development Sdn Bhd dan MKH Berhad (pemilik sebahagian tanah) tanpa pengetahuan peneroka dan peniaga lain.

“Penduduk-penduduk di penempatan Jalan Reko kini bimbang dan takut bahawa oleh kerana tanah di sekeliling penempatan Jalan Reko telah dibangunkan dengan jalan kereta api berkembar, kondominium, pelebaran Jalan Reko dan pembinaan taman perumahan, mereka boleh diusir pada bila-bila masa tanpa sebarang alternatif atau penyelesaian,” ulas Arutchelvan.

Penduduk-penduduk dan peniaga-peniaga kecil di kampung peneroka Jalan Reko mengemukakan tuntutan berikut:

  1. Iktiraf penempatan kampung peneroka Jalan Reko dan kekalkan penempatan ini  di tempat asal;
  2. Berikan geran tanah kepada peneroka yang sudah lama menduduki dan berniaga di kawasan ini.
  3. Jika kawasan ini diambil untuk pembangunan, maka satu rundingan harus diadakan sebelum pihak kerajaan ambil sebarang tindakan.

One thought on “Kekalkan kampung peneroka di Jalan Reko

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *