KAJANG, SELANGOR – 2 OGOS 2023: S. Arutchelvan, atau lebih dikenali sebagai Arul, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk kawasan DUN N25 Kajang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 di Selangor, mengisytihar hartanya untuk menunjukkan teladan amalan ketelusan dalam penglibatan politik. Pengisytiharan harta Arul diadakan di rumah kediamannya pada hari ini dalam satu sidang media khas.
Menurut akuan berkanun yang mengisytihar hartanya, Arul menyatakan bahawa jumlah nilai aset bersih yang dipegangnya setakat 27 Julai 2023 adalah dianggarkan sebanyak RM324,085. Jumlah nilai aset ini termasuk RM86,207.84 yang disimpan dalam salah satu akaun simpanannya yang bertujuan semata-mata untuk kegunaan Tabung Bantuan Rakyat Semenyih dan Kajang serta aktiviti PSM Semenyih dan PSM Kajang. Arul tidak menanggung apa-apa hutang. Arul ialah seorang aktivis PSM sepenuh masa yang menjalani kehidupan sederhana.
Kandungan surat akuan pengisytiharan harta Arul boleh dibaca atau dimuat turun di sini:
“Pengisytiharan harta adalah sangat penting supaya orang ramai boleh menyemak harta seseorang ahli politik itu sama ada meningkat atau tidak selepas dia menjadi ADUN,” kata Arul. “Ini juga satu amalan yang penting kepada proses ke arah politik yang bebas daripada rasuah.”
“Kami berharap semua calon yang bertanding di Kajang ini akan berani untuk mengisytihar harta mereka, dan menunjukkan mereka adalah bersih dan beramanah,” tambah Arul. “Biar rakyat Kajang menilai calon-calon yang bertanding.”
Pengisytiharan harta calon pilihan raya merupakan amalan yang dipelopori oleh PSM sejak tahun 1999 apabila Dr. Jeyakumar Devaraj (Pengerusi Nasional PSM sekarang ini) bertanding di kawasan Parlimen Sungai Siput, dan kemudiannya menjadi satu tradisi yang diamalkan oleh semua calon pilihan raya daripada PSM. Dalam PRN 2023 ini, selain Arul, dua orang lagi calon PSM sudah pun mengisytihar harta, iaitu Dr. Darren Ong yang bertanding di kawasan DUN N55 Dengkil semasa dia diumumkan sebagai calon pilihan raya dan Sivaranjani Manickam yang bertanding di kawasan DUN N42 Meru dengan cara penyahkotakan. Seorang lagi calon PSM, Sivarajan Arumugam yang bertanding di kawasan DUN N39 Kota Damansara akan mengisytihar harta pada 3 Ogos 2023.
One thought on “Arul isytihar harta”