KAPAR, SELANGOR – 30 JULAI 2023: Pasukan Parti Sosialis Malaysia (PSM) kawasan DUN N42 Meru bersama dengan Sivaranjani Manickam, calon PSM untuk kerusi DUN Meru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 2023, telah menganjurkan satu acara sekaneka dan lukisan dinding bersempena Hari Persahabatan Sedunia. Tema untuk acara sambutan Hari Persahabatan Sedunia anjuran PSM ini adalah “Memberdayakan Hubungan Insaniah” yang menekankan kepentingan semangat kemasyarakatan supaya diterapkan sentiasa.
Pasukan PSM Meru telah mengambil masa dua minggu untuk membuat persiapan yang diperlukan sebelum acara ini berlangsung, termasuk mendampingi penduduk di sekitar Jalan Padang, Pekan Kapar, untuk menjemput kanak-kanak turut serta dalam acara anjuran PSM ini. PSM telah mengadakan beberapa acara sukaneka yang menerapkan nilai kerjasama dan kasih sayang dalam diri mereka.
Kanak-kanak yang menyertai program ini juga sangat teruja akan lukisan dinding yang memaparkan slogan “Komuniti Giat Bela Masyarakat”. Calon PSM berpeluang beramah mesra serta memberi pandangan selaras dengan tema sambutan Hari Persahabatan Sedunia yang dibawa oleh Pasukan PSM Meru. Beliau memberitahu pada para peserta bahawa erti slogan itu mengangkat tanggungjawab semua orang demi membela kebajikan masyarakat.
Biarpun hujan mula renyai, kanak-kanak tersebut masih penuh semangat untuk berkarya pada dinding agar mural itu menggambarkan tenaga kerja setiap orang dalam menceriakan persekitaran hiruk pikuk masyarakat, justeru menghidupkan kepercayaan PSM bahawa pentadbiran negara harus inklusif dan merangkumi seluruh rakyat, lagi-lagi kaum pekerja.
Pasukan PSM Meru mengalu-alukan kedatangan orang ramai ke Pekan Kapar untuk menjenguk lukisan dinding tersebut yang terletak di persimpangan Jalan Kelinik dan Jalan Klang – Teluk Intan, bertentangan kedai Guardian merentasi Jalan Kelinik.
2 thoughts on “Memberdayakan hubungan insaniah: Calon PSM untuk Meru sambut Hari Persahabatan Sedunia”